Followers

Friday, April 29, 2011

SPIRALS GORENG SIMPLE


Salam sejahtera, selamat pagi dan semoga ceria selalu... Hari ini saya nak kongsikan menu sarapan pagi kami sekeluarga. Kalau anda sudah bersarapan, mungkin boleh cuba resepi ini untuk minum petang atau sarapan esok. Simple je resepinya sebab saya nak cepat siap masak...maklumlah semua cuti, jadi pagi-pagi lagi dah kena sediakan sarapan yang best untuk mereka.

Bahan-bahan:
  • Sebungkus spirals (375gm) - direbus (titikkan sedikit minyak semasa merebus)
  • 3 biji bawang putih - dicincang kecil
  • 1 cm halia - dicincang kecil
  • 4 ketul ayam - dihiris
  • 1 biji tomato - dipotong dadu
  • 3 sudu besar lada kering kisar
  • 3 sudu besar sos cili
  • 2 sudu besar sos tomato
  • 2 sudu besar sos tiram
  • Garam secukup rasa
  • Minyak untuk menggoreng
Cara:
  1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih serta halia. Kemudian, masukkan lada kisar dan masak sehingga lada garing.
  2. Masukkan pula sos cili, sos tomato, sos tiram, tomato dan ayam. Gaul rata sehingga ayam masak.
  3. Tambahkan garam dan masukkan spirals. Gaul rata dan rasa garamnya. Tutup api dan boleh dihidang...
Selamat menjamu selera...

Thursday, April 28, 2011

COKLAT BISKUT



Salam sejahtera semua... Hari ni belajar buat coklat nak? Senang je nak buatnya. Anda cuma perlu dapatkan acuan coklat, biskut dan coklat yang sedap... Selamat mencuba...

Acuan coklat


Peanut Choc Cream- Tiger


Orange Flavoured Cream Sandwich - Julie's
dan juga Biskut Oreo (saya lupa nak snap gambar)


Coklat Beryl's


Cara:
Mula-mula, Cairkan coklat secara 'double boil'. Kemudian tuangkan sedikit coklat ke dalam acuan.


Letakkan biskut


Tuangkan lagi coklat bagi menutupi biskut


Ratakan coklat


Setelah selesai semua acuan, sejukkan coklat di dalam peti sejuk beku.
Jika coklat telah betul-betul keras, anda hanya perlu terbalikkan acuan, dan coklat akan keluar dengan mudah.







Wednesday, April 27, 2011

GIVEAWAY JULUNG KALINYA DARI CIK TOM

bannergiveaways cik tom


Salam sejahtera semua... Diharap anda semua sihat dan ceria selalu... Hari ini buat julung kalinya saya menyertai Giveaway...dari Cik Tom yang juga julung kalinya buat GA. Hihi...sebab syaratnya mudah sahaja, amat bersesuaian dengan tenaga fizikal dan tahap kesibukan melampau saya...dan yang paling penting, saya amat-amat tertarik dengan hadiah lumayan yang ditawarkan...

Hadiah apa? Hihi... Anda jengah-jengahlah Cik Tom... Blog dia best tau...tak de meracau-racau dan sangat banyak info berguna + berfaedah untuk kemajuan blog dan hidup anda. Saya kenal blog Cik Tom ni dari Tok Esah yang sangat rajin bantu membantu sesama rakan...

Ok lah... Kalau ada sesiapa yang suka nak join, leh la g ke blog Cik Tom yea...sila klik mana-mana nama Cik Tom atau klik kat (sini)... Good Luck...


SET MAKE UP 'MARY KAY' SAYA

Salam sejahtera semua... Ingat nak tunggu esok...tapi tak sesabar rasanya nak tunjukkan set make up 'Mary Kay' saya. Terpengaruh betul saya dengan kejelitaan Kak Rokie. Tapi saya beli set make up dulu sebab set skin care lama saya masih banyak lagi... Mungkin later later saya boleh buat tutorial make up kat sini kan? Anak buah saya, Byla sangat pandai make up ni sebab dia buat part time make up pengantin.


Medium-Coverage Foundation
Ivory
8gm
RM65.00



Mineral Powder Foundation
Ivory 2
8gm
RM70.00

Brush
RM65.00



Waterproof Mascara - Black
9ml
RM65.00

Eyeliner - Black
RM35.00



Mineral Eye Color - Iris, Steel, Chocolate Kiss
1.4gm
RM26



Nourishine Lip Gloss
7.5 ml
RM48.00

Creme Lipstick - Apple Berry
3gm
RM48.00

Lip Liner - Neutral
0.25gm
RM40.00

Hihi... Tak sabar nak try pakai... Anda semua leh lah jengah-jengah Kak Rokie yea... Macam-macam boleh tanya dia. Selamat melawa...

Monday, April 25, 2011

SAYA KENAL KAK ROKIE NI.... TAPI DULU LAIN, SEKARANG DAH LAIN....

Salam sejahtera semua...
Hihihi...ini bukan saya yea...
Ini Kak Rokie...

Saya dah lama kenal Kak Rokie nie... Rasa-rasanya adalah dalam 12 tahun...sejak kitorang bujang sampailah dah beranak pinaks... Sebabnya Kak Rokie duk sekampung dengan saya. Tapi sekarang Kak Rokie dah keje kat KL...dah jarang-jarang balik kampung...dah susah payah nak berlaga pipi dengan dia sekarang ni...

Tup tup terjumpa Kak Rokie pagi tadi...balik cuti gamaknya... Gojesnyer dia sekarang...nampak lebih muda dari usia... Saya bilang bilang umur Kak Rokie ni dah masuk era 40-an dah...tapi nape nampak macam baya baya saya jer?

Haaa...gambar kat atas tu bukan muka Kak Rokie sekarang yea... Tu muka dolu-dolu time fesyen tudung bawal... Tulah dia muka Kak Rokie yang biasa ku kenali. Tak sangka sekarang dah jadi macam ni dah...


Terpengaruh sekejap saya dengar cerita Kak Rokie. Rupa-rupanya Kak Rokie pakai skin care Mary Kay... Skin Care dari US tapi harga yang sedang sedang jer... Ada Skin Care, Body Care, Make up... Acu citer...sape yang tak teruja tengok kengkawan sekampung dulu ala ala aje, sekarang dah jadi gojes macam ni...





Hehehe... Ni gambar yang saya cilok dari (sini)... Nak jadi cerita, masa terserempak tu tak ingat pulak nak bergambar-gambar. Tapi nasib baik bawak pen dengan kertas...leh la tulis URL Kak Rokie ni... Wah Kak Rokie ada belog laaa... Nape saya tak tahu sebelum ni? Anda semua g lah jengah-jengah Kak Rokie yea. Nanti datang la sini balik...saya nak jugak menunjuk-nunjuk apa ke benda yang saya beli dari Kak Rokie...hihi...

ONDE-ONDE KELEDEK

Selamat pagi semua...semoga anda semua sihat dan ceria selalu... Sarapan apa agaknya pagi tadi ek? ...hihi... Saya sarapan kuih onde-onde... Dah kenyang ni n comfirm sedap, boleh lah kongsi resepi dengan anda semua. Mungkin boleh buat untuk minum petang nanti...betul tak? Selamat mencuba...

Bahan-bahan:
  • 300 gm keledek - direbus sehingga empuk dan dilenyek
  • 250 gm tepung pulut
  • 3 helai daun pandan - dikisar bersama 100 ml air suam dan ditapis airnya (jika tiada daun pandan, boleh gunakan sedikit pewarna hijau dicampur dengan 100 ml air)
  • Secubit garam
  • 3 buku gula melaka - dicincang kecil-kecil
  • 1 periuk air dididihkan selepas siap membentuk doh
  • 1/2 biji kelapa parut (putih sahaja) - digaul dengan secubit garam
Cara:
  1. Gaul bersama keledek lenyek, tepung pulut, air pandan dan garam. Uli sehingga menjadi doh.
  2. Bentukkan doh menjadi bola-bola kecil mengikut saiz kesukaan anda. Setelah selesai, penyekkan doh bola tersebut dengan ibu jari dan letakkan 2 sudu teh gula melaka ditengah-tengah. Bentukkan semula doh menjadi bola.
  3. Kemudian, setelah semua doh bola diletakkan gula melaka, masukkan ke dalam air yang mendidih. Jangan masukkan semua sekali, masukkan secara berperingkat-peringkat.
  4. Apabila onde-onde terapung, angkat dan ketepikan.
  5. Akhir sekali golekkan onde-onde di atas kelapa parut. Sedia dihidang...

Sunday, April 24, 2011

MAKAN-MAKAN @ MUARA SUNGAI DUYONG, MELAKA

Salam sejahtera semua... Harap anda semua ceria selalu hari ini walaupun tak puas lagi berhujung minggu...hihi... Tak pe, minggu depan kita cuti 3 hari yea... 1 Mei birthday adik saya Riz ...tulah fasal dia kasi cuti kat semua worang...ngee...

Sebenarnya saya nak sambung cerita aktiviti hujung minggu saya...kalau di sebelah siangnya saya kongsikan cerita kami g karaoke, di sebelah malamnya saya nak kongsi pula cerita kami g makan ikan bakar di Muara Sungai Duyong. Namanya je ikan bakar tau! tapi bukan ikan aje yang dibakar...macam-macam ada... semuanya dimakan dengan nasi lemak... Ini kali ke-2 kami sampai sini...tapi yang bestnyer, kali ini kami g 6 famili sekali... Huru hara jadinya...sampaikan nak amek gambar pun susah...


Mula-mula kena g pasar dulu...hihi...g pilih lauk laa...


Nak pilih ni pun kena beratur sebab punyalah ramainye orang... Bila dah pilih, kita beritahu sekali, nak buat masak apa. Suami dengan kakak ipar yang buat pilih memilih ni...yang lain-lain tu buat aktiviti masing-masing la...yang budak lelaki cerita sal otromen, yang budak perempuan cerita sal barbie, yang lelaki dewasa g bakar duit, yang perempuan dewasa bukak chanel melodi...ngeee...kalau dah berkumpul reramai ni, macam-macam cer la yang keluar...


Otak-otak sampai dulu...


Ini kicap cicah...inilah yang buat sedapnyer...perah dulu limau kasturi tu sebalum makan...
Disebabkan yang lain-lain tak sampai lagi, so kami cicah le otak-otak dengan kicap ni.
Itupun sodapppp...


Buah-buahan siap potong pun ada... Kegemaran mak buyong...
hihi...ada yang terasa ke?


Kepah - lauk pertama yang sampai... Perlu diingatkan, gambar ini dan yang seterusnya mungkin bukan gambar dengan jumlah benda di atas pinggan yang asal...sebab sebaik dihidang je, banyak tangan yang ambil...tak sempat nak snap yang full load...hihi...


Ini lauk ke-2 yang sampai...
Sayur campur panas-panas, sayurnya dimasak sedang sedang jer... jadi masih rangup. Hmmm...saya dan Eni makan yang ni dulu dengan nasi lemak sebab kami tak makan kepah!


Bestnye Ikan Bakar Muara Sungai Duyong ni sebab benda ni lah...
(tak tahu la anda pernah jumpa atau tak)...


Saya pun dah lupa namanya, tapi rupanya ala-ala ulat beluncas...hihi... Kegemaran Kak Long dan Haziq ni. Susah nak dapat tau, sebab yang ni ada kat pantai Sabah jer... Jadi dari jauh lah diorang datang nih...hihi... Rasanya liat-liat sikit...dan bila dikunyah, ada semacam air yang akan pecah dalam mulut...hmmm...yummilicios... Nak try? Kena lah datang sini yea...

Ok...ini yang terbaru saya update selepas mendapat komen dari kawan-kawan blogger... Nama makanan kat atas tu adalah pepahat atau bahasa inggerisnya bamboo clam. Saya dah Google image...memang itulah dia rupanya... Credit to Sarah & Fad dan Mizz Coki ... Terima kasih daun keladi...



Ini lauk-lauk yang sampai seterusnya...
Dah tak leh nak kira dah...
Lah...gambar sotong goreng tepung tak de la...


Yang bertingkat-tingkat ni ada kerapu steam dan pari bakar...
Saya sibuk makan ni...tak sempat nak menjelajah satu-satu untuk snap gambar...hihi...
imagine sendiri jelah...



Ngee...macam malu je nak upload gambar ni...
errkk...Alhamdulillah
Harga? Hehe...dah bayar dah...


Ini gambar pakcik yang bakar otak-otak...


Kat luar pulak, betul-betul kat pintu masuk...ada jual mainan...


Lahai, masa nak masuk tadi budak-budak ni tengah lapar, jadi sorang pun tak perasan menda alah ni... Bila dah kenyang, memasing ada tenaga otromen...'Pilihlah anak-anak n anak-anak buah...' I tak masuk campur...hihi...(dok jejauh sikit...)

Selesai beli mainan...kami pun bertepuk tampar, bersalam salam dan berpeluk bye bye... Susah juga nak kumpul sekali 6 bas ni... Saat yang happy berakhirlah sudah setakat ini... Semoga berkumpul di lain kali... Sayang kamu, kamu dan kamu semua...hihi...



Saturday, April 23, 2011

KARAOKE DI MELAKA






Yuhoo...Salam sejahtera semua dan semoga ceria selalu... Terima kasih kepada kawan-kawan yang sudi menjengah saya semalam walaupun tak sempat saya nak letak entri baru. Hihi...another hectic weekend!!! Semalam kami habiskan masa dengan mengukur Bandar Melaka... Medical Checkup, kereta checkup, pasar checkup, makan-makan dan santai-santai...

Dalam banyak-banyak aktiviti tu, ada 2 yang saya nak kongsikan bersama... Yang pertama, saya dah jumpa satu new cool place untuk karaoke di Giant Bachang, Melaka. Best tau...sebelum ni memang saya selalu sangat dah pergi Giant Bachang sebab dekat dengan rumah adik...tapi tempat karok ni memang baru lagi ada...

Biasalah dah kalau tempat baru tu, equipment semua masih baru...mic pun belum berbau lagi...hihi... Charge yang dikenakan berpatutan, sound system ngam, tempat selesa, bersih dan tak ramai orang so tak banyak gangguan...sesuailah untuk karok dengan famili... Melepaskan stress 5 hari bekerja...5 hari bersekolah...hihi...




Yang banyak pegang mic anak dara saya lah...siap menari-nari lagi...yang bujang suka backup je...pemalu sikit bujang saya ni... Nyanyi pelan-pelan, dengar tak dengar jer... ' Abang kunyah lirik la...'hihi... Tapi cukup dia suka bila disuruh pergi kaunter untuk tambah duit bayar lagu...'Kat dalam ni bising, macam nak gugur jantung abang...'

Yang pilih lagu pun anak-anak... Macam-macam tajuk yang keluar... 'kakak nak lagu ni...selalu dengar kat YouTube'...hihi...memang kaki tenet anak-anak saya ni... Maka keluarlah lagu-lagu yang adakalanya saya dan suami tak dapat nak catch up pun. Macam lagu profesor klon...tergagap-gagap kitorang...hihi...belasah je lah...

Bagusnya karaoke ni...anak-anak cepat belajar membaca, sebab diorang kan kena ikut senikata lagu kat bawah tu... Nak nak yang lagu Inggeris... Anak-anak saya memang dari kecil selalu karok. Yelah selain dari membaca buku-buku cerita, ini pun salah satu cara untuk bagi anak cepat membaca. Interesting way of learning... Hmmm...ada yang setuju tak?

Ok lah... Kalau anda yang berada berdekatan atau bercadang nak cuti-cuti Melaka boleh lah singgah meninggalkan jejak kat 'Suara Karaoke' Giant Bachang, Melaka ni... Mesti best punye...

Thursday, April 21, 2011

AYAM GAJUS SOS TIRAM


Salam sejahtera semua...diharapkan anda semua sihat dan ceria selalu. Mesti semua dah makan tengah hari kan?... Hihi... Kebelakangan ini saya lambat sikit update entri...sebab sibuk sikit dengan rutin yang padat. Terkadang dah menyinggah blog kawan-kawan barulah balik blog sendiri untuk buat entri. Selalunya rasa macam-macam nak tulis sebab saya suka sangat membaca, jadi rasa banyak sangat nak dicurahkan di sini...akhirnya...yang ado... Tak sempat sempat...jadi letak resepi lah juga...hihi...

Ini menu makan tengah hari saya hari ni... Adalah juga lauk lain, tapi saya dah pernah letakkan resepinya kat sini... Resepi campak-campak je ni...tapi anak-anak saya makan bertambah. Hihi... Boleh lah anda cuba hujung minggu nanti ek...

Bahan-bahan:
  • 1/3 ekor ayam - dibersihkan dan dipotong kecil-kecil
  • 5 sudu besar sos tiram
  • 3 ulas bawang putih - dicincang kecil
  • 1/2 inci halia - dicincang halus
  • 3 sudu besar kicap masin
  • 10 biji gajus - digoreng sekejap
  • 4 batang kacang panjang
  • 1/3 timun - dipotong dadu
  • 1 biji tomato - dipotong dadu
  • 3 tangkai lada hidup warna merah - dihiris
  • Garam
  • Minyak untuk menggoreng
Cara:
  1. Gaul ayam dengan 2 sudu besar sos tiram dan sedikit garam. Perapkan selama 1/2 jam.
  2. Panaskan minyak dan goreng ayam sehingga masak. Ketepikan.
  3. Masukkan pula bawang putih dan halia cincang dan goreng sebentar sebelum masukkan 3 sudu besar sos tiram dan kicap masin. Kacau rata.
  4. Tambahkan kacang panjang, timun dan gajus. Gaul rata.
  5. Akhir sekali masukkan tomato, lada merah dan garam. Kacau sebentar dan boleh tutup api.
Semasa mengangkat lauk dari kuali, akan ada banyak lebihan minyak. Saya biarkan minyak itu tinggal di dalam kuali... Selamat mencuba...


Wednesday, April 20, 2011

PEMENANG TEKA HARGA DURIAN...

Harga durian ini untuk 10 bijik ialah ... RM487.00 tunaiii... Dan pemenangnya ialah .... eh sat.. Dan ini bermakna , sebijik durian berharga , RM48.70 .. Durian ni dari baka Musang King .. Haaa.. ni pon pemberian dari rakan wife aku .. Rasanya ? Hurm.. mmg kaw abis laaa ... Jangan ditanya betul atau tidak harga tu ... Dah tuan yang bagi kata gitu , maka aku bagitau korang tu la harganya ...hehe

Ini En. Ben yang tulis yea...hadush hai...saya teka RM6.50 jer...hihi...x jd laa nak menang gamaknya...

AGAR-AGAR BERLAPIS MANGGA PANDAN



Selamat pagi dan salam sejahtera semua...Sarapan apa agaknya hari ni ye? Saya makan agar-agar je...hihi...ni yang dibuat semalam, tetapi sedap dimakan hari ni sebab dah sejukkan dalam peti sejuk... Ok, macam biasa, saya akan kongsikan dengan anda semua... Selamat mencuba yea...

Bahan-bahan:
  • 20 gm agar-agar kering
  • 2 helai daun pandan
  • 1 biji @ 250 gm buah mangga
  • 250 ml susu dalam kotak - saya guna susu dutch lady
  • 6 cawan air - untuk masak agar-agar
  • 3 sudu makan gula
  • Acuan agar-agar - saya gunakan acuan tupperware
  • Ceri atau mix fruit dalam tin untuk menambah rasa

ini acuan tupperware yang saya guna


Cara:
  1. Ambil isi mangga dan kisar bersama 1/2 cawan air. Ketepikan.
  2. Kisar pula daun pandan bersama 1/2 cawan air dan tapis untuk mengasingkan hampasnya. Ketepikan.
  3. Masak agar-agar bersama 6 cawan air hingga larut. Kemudian masukkan gula dan terus kacau sehingga gula larut.
  4. Akhir sekali masukkan susu dan kacau rata.
  5. Bahagikan agar-agar kepada 3 bahagian. Mula-mula tuangkan agar-agar adunan asal ke dalam semua acuan. (1/3 penuh).
  6. Satu bahagian agar-agar dicampurkan dengan air pandan dan satu lagi dicampurkan dengan pes mangga. Anda memerlukan 2 periuk kerana adunan yang telah dicampurkan air pandan dan pes mangga ini perlu sentiasa dipanaskan pada api perlahan supaya tidak mengeras.
  7. Apabila adunan asal hampir membeku, tuangkan adunan campuran pandan. Setelah adunan ini pula hampir membeku, tuangkan adunan campuran pes mangga.
  8. Biarkan sehingga agar-agar beku sebelum dihidang.

BEN ASHAARI suruh teka harga durian ini !

Santai Bersama BEN ASHAARIDSC_0694 Inilahlah durian nan sebijik yang Ben suh saya teka berapa regenye....huhuhu...lama tak makan durian....Kalau ada yang nak join, leh la klik (sini) yea...

Monday, April 18, 2011

GIGI SUMPIK (CHIPPED TEETH)


Salam sejahtera semua... Diharapkan anda semua sihat dan ceria selalu... Hihi...dah tengok gambar di atas kan? Mungkin ada di antara anda yang pernah menghadapi masalah ini... Sebenarnya ini yang saya pernah hadapi setahun lalu. Gigi hadapan saya sumpik dek kerana makan ketam! Biasalah kalau makan ketam, saya yang menjadi tukang kopek untuk anak-anak. Memang saya dah hentak kaki ketam dengan lesung sebelum memasaknya supaya bahagian tersebut retak, tetapi tak tahu di mana silapnya...agaknya syok sangat menggigit, saya tak sedar langsung gigi hadapan saya tersumpik.

Selesai makan dan mencuci mulut, barulah saya terasa seperti ada yang tidak kena dengan gigi hadapan saya...apa lagi, bersuluhlah depan cermin. Macam nak pengsan bila nampak gigi depan dah jadi macam tu. Buruk betul rupanya bila saya tersenyum. Memang tak dapat nak sembunyi walaupun suami dan anak-anak berulang kali kata tak perasan sangat...huhuhu...

Mulanya saya fikir tidak ada penyelesaian, saya pula malu nak bertanya... 3 hari saya terpaksa cover mulut bila berborak atau tergelak depan kawan-kawan... Rupanya mereka perasan jugak... Hihi... Masuk hari ke-4, cuti hujung minggu...inilah masa yang sesuai untuk saya pergi berjumpa dentist. Alhamdulillah, rupa-rupanya boleh juga dibaik pulih gigi tu. Kosnya RM450.00 dan saya buat di sebuah klinik pergigian di Seri Kembangan...ni alamat dan no telefonnya:

KLINIK PERGIGIAN WONG & HO

2A-1 (1st floor), Jalan Equine 9F,

Taman Equine,

Bandar Putra Permai,

43300 Seri Kembangan

Tel: 03-89438334


Sebenarnya ini bukan klinik yang saya biasa pergi untuk rawatan gigi saya dan keluarga, tetapi setelah disurvey, klinik ini menawarkan rawatan dengan harga yang lebih murah. Kalau untuk whitening yang biasanya mencecah harga RM1000 di klinik yang saya biasa pergi tu, di sini hanya RM800 sahaja dan rawatannya dibuat 2 kali iaitu sehingga gigi benar-benar putih. Anda yang duduk di kawasan berhampiran boleh lah try-try cuba.

Baiklah...sekarang saya nak bercerita pula tentang apa yang dilakukan kepada gigi sumpik saya tu. Dentist tu telah melakukan tanpalan pada bahagian sumpik. Prosedurnya mengambil masa lebih kurang sejam setengah...kejap jer... Tanpalan yang digunakan adalah jenis 'composite resin' iaitu tanpalan yang mempunyai warna yang sama dengan gigi. Ada kelebihan dan keburukannya tampalan ini:

Kebaikan:

  • Warnanya hampir sama dengan gigi ( sangat sesuai utk gigi hadapan)
  • Melekat pada permukaan gigi
  • Tidak perlu membuang banyak struktur gigi

Keburukan:
  • Tak tahan lama ( mungkin tahan dalam 5 tahun sahaja )
  • Tak berapa kuat ( mungkin boleh pecah jika dibuat pada gigi belakang)
  • Prosedur lama sedikit kerana tampalan ni memerlukan ketelitian ( tak boleh kena air liur atau darah)
  • Semasa proses pengerasan, bahan ini mengecut sedikit, jadi boleh menyebabkan gap antara gigi dan tampalan. Ia boleh menyebabkan rasa sensitif dan gigi rosak semula
  • Harganya mahal
  • Lama kelamaan, warnanya akan bertukar dan memerlukan tampalan baru
Pesanan dentist kepada saya jangan menggigit benda keras menggunakan gigi hadapan, seperti epal, daging dan KETAM!...hihi... Tanpalan baru juga perlu dibuat selepas beberapa tahun jika berlaku pertukaran warna atau sumpik semula... Alhamdulillah setelah setahun berlalu, saya belum melihat apa-apa perubahan berlaku pada bahagian gigi yang ditampal. Tetapi saya memang berhati-hati apabila menggunakan gigi hadapan saya dan telah setahun sebenarnya saya sekeluarga berpantang KETAM!...hihi...
OKlah...setakat ini dulu, semoga entri saya hari ini dapat memberi manfaat kepada anda yang membaca. Jangan segan-segan bertanya bila menghadapi masalah, kerana kita saling memerlukan satu sama lain... Sharing is caring...Have a nice day!

NASI AYAM


Selamat petang kawan-kawan... Dah petang ni saya nak berkongsi resepi nasi ayam yang saya masak untuk makan tengah hari tadi... Resepi ini asalnya dari Makcik saya yang saya dapat 10 tahun dulu. Sampai sekarang, walaupun telah mencuba resepi lain, saya tetap sukakan resepi ini... Selamat mencuba.


Bahan-bahan:
  • 1 ekor ayam - dicuci bersih
Cara:
  1. Letakkan ayam di dalam periuk. Masukkan pula air melebihi sedikit paras ayam dan didihkan sebentar ayam tersebut.
  2. Asingkan ayam dari air dan toskan.


Bahan-bahan nasi:
  • 4 cawan beras
  • 5 cawan air didihan ayam
  • 4 sudu besar (rata) marjerin @ mentega
  • 1 biji bawang besar - dihiris
  • 1 inci halia - dihiris
  • 4 sudu teh garam
Cara:
  1. Basuh beras dan toskan.
  2. Di dalam kuali, panaskan magerin sehingga cair dan masukkan bawang besar serta halia. Goreng sebentar sehingga naik bau wangi. Tutup api.
  3. Masukkan beras ke dalam periuk, campurkan air didihan ayam dan margerin dengan bawang dan halia. Tambahkan garam dan masak nasi seperti biasa.


Bahan-bahan perap ayam:
  • 1/2 cawan sos tiram
  • 1/2 cawan sos tomato
  • 1/2 cawan sos cili
  • 1/4 cawan kicap masin
  • 3 sudu besar madu
  • 1/2 sudu teh garam
Cara:
  1. Tuangkan semua bahan ke atas ayam.
  2. Gaulkan ayam bersama bahan-bahan tadi dan perapkan selama 30 minit.
  3. Goreng ayam menggunakan api perlahan.
  4. Tambahkan sedikit air pada lebihan bahan perap dan didihkan atas api. Kemudian tuang ke atas ayam yang telah digoreng.

Bahan-bahan kuah sos:
  • 6 biji lada hidup warna merah
  • 1 biji tomato
  • 2 biji bawang putih
  • 1 sudu besar sos tomato
  • 1 sudu besar sos cili
  • 1 cawan air
  • Garam dan gula secukup rasa
Cara:
  1. Kisar semua bahan. Kemudian didihkan. Boleh tambah air dan sos lagi jika mahu lebih banyak kuah.

Bahan-bahan sup:
  • Lebihan air didih ayam tadi ditambah garam dan halia hiris. Masukkan kaki ayam dan leher jika suka.

Sayur ulam:
  • 1 batang timun
  • 4 biji tomato
  • salad
Cara:
  1. Bersihkan sayur dan hiris.

Sunday, April 17, 2011

RASA KASIH SAYANG...

Salam sejahtera semua... Diharap anda semua berada dalam keadaan sihat dan ceria bagi memulakan hari pertama minggu ini. Mungkin ada di antara anda yang telah puas bercuti dan merehatkan badan... mungkin juga ada yang terasa penat di rumah melayan karenah anak-anak dan membereskan kerja rumah yang tak pernah-pernah nak selesai... Lantas keluar bekerja labih menggembirakan...

Bagi saya yang sepenuh masa di rumah, hujung minggu atau hari-hari biasa sama sahaja sibuknya...bezanya cuma bila hari bersekolah, telinga ini kurang mendengar perkataan Ummy... "Ummy, Ummy ni apa?"... "Ummy, Ummy nak milo"... "Ummy, Ummy homework ni susah lah"... Kalau saya tidak bersilat di dapur, bertaekwondo di ruang tamu atau berkarate di halaman, jari jemari ni pula sibuk menari-nari di atas keyboard dan otak bertungkus lumus menghasilkan idea untuk entri baru... Memang benarlah, kerja rumah tak pernah selesai...lebih-lebih lagi pada mereka yang pandai-pandai suka-suka hati menambah banyakkan kerja - berblogging macam SAYA ni...hihi...

Sebenarnya saya ingin berkongsi rasa dengan anda semua... Rasa kasih sayang dan rindu kepada suami dan anak-anak... Setiap kali mereka ingin melangkah keluar dari lingkungan pemerhatian saya, pasti saya hadiahkan peluk cium yang benar-benar ikhlas beserta kata-kata semangat, pujian atau ucapan 'I luv U'... Saya lakukan bukan sebagai rutin tetapi saya lakukan dengan seikhlas hati dan bersama perasaan sayang untuk melepaskan mereka pergi...

Jika anda boleh melupakan sejenak persekitaran anda dan hanya fokus kepada ruang antara anda dan orang yang anda sayangi...anda pasti dapat merasakan perasaan yang saya maksudkan. Melepaskan suami dan anak-anak seperti mereka akan pergi mengembara...mengambil masa yang lama dan menjangkaui jarak perjalanan yang jauh...biarpun tempat kerja atau sekolah mereka hanya sejengkal dari rumah!

Hasilnya...saya tidak hilang fokus sebagai seorang isteri dan Ummy kepada ahli keluarga saya. Sentiasa apa yang dilakukan adalah untuk kebaikan kami bersama... InsayaAllah dengan izinNya, kita tidak mudah terpesong dari tanggungjawab dan sentiasa menilai diri untuk menjadi isteri dan Ummy terbaik... Sentiasa mempersiapkan diri dan mahligai kita untuk menyambut kepulangan mereka nanti...

Suami yang keluar bekerja pula, hatinya riang dan senang kerana tahu mereka disayangi dan sentiasa ingat tanggungjawab mereka yang besar terhadap jatuh bangunnya sesebuah keluarga... Jika suami memulakan harinya dengan keriangan dan keceriaan...prestasi kerjanya juga akan meningkat, usahanya pasti berlipat ganda, secara sedar atau tidak, isteri telah meniupkan semangat kepadanya... Rindunya pula suami kepada rumah tangga mengelakkan mereka merindui yang selain darinya...

Anak-anak pula, sentiasa terpahat dihatinya bahawa mereka disayangi dan tidak sampai hati mereka untuk menyakitkan orang yang menyayangi mereka. Jika anda sendiri dipeluk cium dengan penuh kasih sayang dan dibisikkan dengan kata-kata indah di telinga...pasti lama mengambil masa untuk melupakan detik tersebut...betul kan? Begitu juga dengan anak-anak ini... Jangan nanti biarkan mereka mendapatnya dari kekasih mereka pula... Biarlah ibu bapa yang menjadi orang pertama... Biarlah anak-anak berkasih sayang, berindu-rinduan dengan ibu bapa dahulu sebelum mereka mengenal kasih sayang yang selainnya...

Rasa kasih sayang dalam keluarga mesti disuburkan oleh ahli keluarga sendiri... Tak ada saudara mara, jiran tetangga atau handai taulan yang boleh membantu... Hanya suami, isteri dan anak-anak di dalam keluarga itu sendiri yang boleh merasainya...orang lain hanya boleh memerhati dan mendengar...tetapi rasa kasih sayang itu sebenarnya tak dapat diungkapkan bagaimana rupanya, tak dapat digambarkan betapa banyaknya dan tak dapat dinilaikan betapa dalamnya...

Mulakanlah hari yang indah untuk setiap ahli keluarga... Hargai suami, isteri dan anak-anak... Doakan yang terbaik untuk mereka, InsyaAllah hidup anda akan rasa lebih bahagia dan lebih bermakna...

Saturday, April 16, 2011

JEMPUT-JEMPUT LABU


Salam sejahtera... 2 hari saya tidak menyentuh PC dek kerana sibuk melayan anak-anak yang cuti sekolah... Hari ini (dah hampir petang), barulah saya kembali berkongsi resepi. Tetapi bukan itu sahaja, saya ingin bercerita sedikit bagaimana mulanya saya boleh menyediakan jemput-jemput labu ini.
Semuanya bermula kerana anak saya yang bersekolah tadika...kecik-kecik lagi cikgunya dah mengajar memasak di sekolah! Sebenarnya bagus juga, sebab pagi-pagi lagi anak saya dah teruja sangat nak ke sekolah sebab "hari ni cikgu nak ajar masak"...kali pertama tu... Seperti yang dipesan cikgunya, saya menyediakan bekas kecil untuk anak saya bawa ke sekolah...untuk diisi dengan hasil masakan mereka nanti...hihi...
Tiba masa saya ambil anak, masuk sahaja ke dalam kereta terus dia kata "Ummy, ahli keluarga kita ada 12 orang kan?"..."Hah! Kenapa ramai sangat?"...hairan saya sebab anak saya ada 3 orang je...jadi kalau termasuk saya dan suami mestilah 5 orang...Anak saya membalas..."Nenek, Wan, Datuk...........Pakcik Loli"...hihi, rupanya habis sekali dengan adik beradik saya dan suami dia senaraikan (walaupun ada yang tertinggal)..."Ok lah, kenapa Adik tanya?"..."Adik nak bagi jemput-jemput labu dengan mashroom goreng tepung kat semua"...
Huhuhu...sambil dia cakap, ditunjukkan kepada saya bekas isi jemput-jemput tu... Sekali tengok saya dah nampak ada 3 biji cekodok dengan 5 keping mashroom... Beria-ria anak saya ni nak bahagi-bahagikan makanan tu...sampaikan abang dan kakak yang baru balik sekolah pun disuapkannya seorang secubit sahaja... Hihihi... Itulah yang saya suruh dia ingatkan resepi jemput-jemput labu ni, boleh Ummy buat banyak-banyak...nanti barulah ramai yang boleh merasa...
Tajam juga ingatan anak saya ni...dia ingat bahan-bahan yang perlu ada cuma tak tahu jumlah je... Saya pun mencuba-cuba lah kiranya ni... Dapatlah hampir semua 12 orang ahli keluarga yang disebut tu merasa...hihi... Best tau kalau dimakan masa minum petang nanti, rasanya lemak-lemak manis... Selamat menjamu selera...


Bahan-bahan:
  • 1/2 biji labu
  • 3 cawan tepung gandum
  • 1 1/2 cawan air
  • 1 sudu teh garam
  • 5 sudu makan gula
Cara:
  1. Potong labu dan rebus sehingga empuk. Kemudian keluarkan labu tersebut dan dilenyek.
  2. Campurkan tepung, garam, gula dan air. Gaul rata.
  3. Goreng sehingga masak. Untuk menggoreng, lebih mudah menggunakan 2 batang sudu semasa hendak memasukkan adunan ke dalam kuali.


Thursday, April 14, 2011

KAMBING BBQ


Daging kambing diperap selama 5 jam


Alas bahagian bawah daging dengan aluminium foil semasa membakar



Salam sejahtera semua... Hari ini saya nak kongsi resepi kambing bbq dengan anda semua. Sebenarnya resepi ini adalah atas permintaan seseorang...kira-kira seminggu yang lalu. Permintaan ini dibuat di shout saya, tetapi sebabkan susah sangat nak cari resepi yang sedap, dah tu pula mengambil masa untuk saya try satu persatu...akhirnya saya dah tak dapat menjejak tuan yang meminta tu... Shout saya dah penuh...tak dapat nak cari balik mesej yang ditinggalkan... Sungguh saya betul-betul terkilan dan sedih... Cuma saya berharap adalah kiranya empunya badan datang melawat laman saya lagi dan dapat resepi ini...

Bahan-bahan:
  • 15 keping daging kambing (saya gunakan daging kambing yang siap dipek dan dijual di pasar raya)
  • 1/2 botol sos HP
  • 1/2 botol sos salsa
  • 1/4 cawan sos tomato
  • 1/4 cawan kicap manis
  • 5 biji bawang merah - dikisar
  • 5 biji bawang putih - dikisar
  • 2 kuntum bunga lawang - dikisar
  • 3 sudu besar lada hitam
  • gula dan garam secukup rasa
Cara:
  1. Gaul semua bahan kisar, garam dan gula beserta sos. Selepas cukup rasa masin dan manisnya, barulah dimasukkan daging kambing.
  2. Perap daging selama 5 jam sebelum dibakar... Saya menggunakan aluminium untuk mengalas daging semasa membakar.
  3. Kuah yang berlebihan boleh dididihkan di atas api untuk dijadikan cicah...
Terima kasih kepada Puan Sue kerana berkongsi resepi ini dengan saya...
Selamat mencuba....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...