Followers

Showing posts with label NASI. Show all posts
Showing posts with label NASI. Show all posts

Saturday, May 21, 2011

NASI GORENG BUTTER



Selamat sejahtera semua... Semoga anda semua sihat dan ceria selalu. Hari ini saya nak berkongsi resepi nasi goreng butter...nasi goreng yang mempunyai sejarahnya sendiri...

Beberapa tahun yang lalu...hihi...se saya sedang tunggu keputusan SPM...saya menjaga Makcik di dalam pantang. Makcik saya ni tinggal di Alor Setar. Oleh kerana saya ni sangat terro memasak pada ketika itu...hihi..., maka makcik ajar la saya masak nasi goreng butter ni.

Hampir tiap-tiap hari mesti saya masak ni...sampaikan saya pernah g beli lada sulah 1 plastik (bukan sebesar plastik shoping Jusco yea). Sib bek sepupu dan pakcik tak kesah...hihi... Tapi sekarang ni, nasi goreng butter dah jadi favourite anak bujang saya. Sesekali mesti dia minta saya buatkan...tapi kitorang panggil 'nasik goreng telo' je...Kalau orang bujang, sesuaiilah sangat masak nasi goreng butter ni. Selamat menjamu selera...


Bahan-bahan:
  • 1 cawan beras - masak jadi nasi dulu
  • garam secukup rasa
  • 2 biji telur
  • 2 sudu besar mentega
  • lada sulah secukup rasa
Cara:
  1. Gaulkan garam pada nasi.
  2. Panaskan kuali dan masukkan mentega. Biar sehingga mentega cair, kemudian pecahkan telur dan kacau dengan senduk supaya telur bergentel-gentel.
  3. Campurkan nasi dan lada sulah, kemudian gaul rata. (lada sulah diletak bergantung kepada anda...jika mahu pedas, letakkan lebih)
  4. Angkat dan hidang sewaktu panas.






Sunday, May 8, 2011

NASI TOMATO


Salam sejahtera semua... Diharap anda semua sihat dan ceria selalu... 3 hari saya tak update blog ni sebab keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Asal saya online je, kepala mula berpusing-pusing, sudahnya saya cuma sempat menjejak beberapa je rakan yang tinggalkan jejak di shout atau komen. 3 hari tu rasa macam lamaaa sangat...dan rasa rinduuu sangat nak ketuk-ketuk keyboard ni...hihi...

Hari ni saya nak mulakan pagi dengan berkongsi resepi campak-campak seorang Ummy yang demam. Tekak rasa macam nak makan yang best tapi malas sangat nak mencari bahan kat kedai...maka terjadilah resepi ni. Nasi tomato dan ayam masak sos. Saya gunakan apa je yang ada kat dapur tu. Anda pun boleh cuba nanti sebab rasanya sedap namun tak menyusahkan diri...hihi...

Bahan-bahan:
  • 3 cawan beras - saya gunakan beras biasa je
  • 2 sudu besar mentega
  • 1 sudu besar minyak sapi
  • 1 biji bawang besar - dihiris
  • 1 batang kayu manis
  • 1 bunga lawang
  • 2 buah pelaga
  • 3 bunga cengkih
  • 4 cawan air
  • 6 sudu besar sos tomato
  • 3 sudu teh garam
Cara:
  1. Basuh beras dan toskan.
  2. Di dalam kuali, panaskan mentega dan minyak sapi sehingga cair. Kemudian masukkan bawang besar, kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih. Kacau seketika dan tutup api.
  3. Masukkan beras ke dalam periuk nasi. Tambahkan bahan yang digoreng tadi.
  4. Kemudian masukkan air, sos tomato dan garam. Gaul sehingga sos rata dan masak nasi seperti biasa.
Mudahkan? Selamat mencuba...

Monday, April 18, 2011

NASI AYAM


Selamat petang kawan-kawan... Dah petang ni saya nak berkongsi resepi nasi ayam yang saya masak untuk makan tengah hari tadi... Resepi ini asalnya dari Makcik saya yang saya dapat 10 tahun dulu. Sampai sekarang, walaupun telah mencuba resepi lain, saya tetap sukakan resepi ini... Selamat mencuba.


Bahan-bahan:
  • 1 ekor ayam - dicuci bersih
Cara:
  1. Letakkan ayam di dalam periuk. Masukkan pula air melebihi sedikit paras ayam dan didihkan sebentar ayam tersebut.
  2. Asingkan ayam dari air dan toskan.


Bahan-bahan nasi:
  • 4 cawan beras
  • 5 cawan air didihan ayam
  • 4 sudu besar (rata) marjerin @ mentega
  • 1 biji bawang besar - dihiris
  • 1 inci halia - dihiris
  • 4 sudu teh garam
Cara:
  1. Basuh beras dan toskan.
  2. Di dalam kuali, panaskan magerin sehingga cair dan masukkan bawang besar serta halia. Goreng sebentar sehingga naik bau wangi. Tutup api.
  3. Masukkan beras ke dalam periuk, campurkan air didihan ayam dan margerin dengan bawang dan halia. Tambahkan garam dan masak nasi seperti biasa.


Bahan-bahan perap ayam:
  • 1/2 cawan sos tiram
  • 1/2 cawan sos tomato
  • 1/2 cawan sos cili
  • 1/4 cawan kicap masin
  • 3 sudu besar madu
  • 1/2 sudu teh garam
Cara:
  1. Tuangkan semua bahan ke atas ayam.
  2. Gaulkan ayam bersama bahan-bahan tadi dan perapkan selama 30 minit.
  3. Goreng ayam menggunakan api perlahan.
  4. Tambahkan sedikit air pada lebihan bahan perap dan didihkan atas api. Kemudian tuang ke atas ayam yang telah digoreng.

Bahan-bahan kuah sos:
  • 6 biji lada hidup warna merah
  • 1 biji tomato
  • 2 biji bawang putih
  • 1 sudu besar sos tomato
  • 1 sudu besar sos cili
  • 1 cawan air
  • Garam dan gula secukup rasa
Cara:
  1. Kisar semua bahan. Kemudian didihkan. Boleh tambah air dan sos lagi jika mahu lebih banyak kuah.

Bahan-bahan sup:
  • Lebihan air didih ayam tadi ditambah garam dan halia hiris. Masukkan kaki ayam dan leher jika suka.

Sayur ulam:
  • 1 batang timun
  • 4 biji tomato
  • salad
Cara:
  1. Bersihkan sayur dan hiris.

Saturday, April 2, 2011

NASI LOBAK MERAH UDANG



Selamat berhujung minggu semua... Hari ini saya menerima tetamu, oleh itu memang saya begitu sibuk di dapur menyiapkan apa yang patut... saya masak nasi lobak merah udang, ayam goreng rempah, pajeri nanas dan cup cake vanilla. Dah dekat nak petang ni baru sempat nak post... Semoga anda bergembira di hujung minggu dan selamat menjamu selera...

Bahan-bahan:
  • 4 cawan beras - saya gunakan beras biasa sahaja
  • 5 cawan air
  • 3 sudu makan mentega
  • 1 sudu makan minyak sapi
  • 1 biji bawang besar (yang bersaiz besar - jika bawang anda agak kecil, boleh gunakan 2 biji)
  • 2 cubit halba
  • 3/4 batang lobak merah - disagat
  • 1 sudu teh garam
  • 1 paket kecil maggie cukup rasa
  • 20 ekor udang sederhana besar dibuang kepala sahaja
  • 5 sudu makan tomato sos
Cara:
  1. Cuci bersih beras dan toskan.
  2. Di dalam kuali, panaskan mentega dan minyak sapi sehingga cair. Kemudian masukkan bawang besar, goreng seketika sehingga naik bau. Masukkan pula halba dan tutup api.
  3. Masukkan beras ke dalam periuk nasi, tambahkan bahan yang digoreng, lobak merah yang telah disagat, air, garam dan maggie cukup rasa. Gaul dan masak nasi seperti biasa.
  4. Ketika nasi hampir masak, masukkan udang dan tomato sos. Kacau supaya sos bergaul rata dan tutup kembali periuk nasi. Biarkan sehingga nasi masak.

Friday, January 14, 2011

BUBUR NASI

Bahan-bahan:
  • 2 cawan beras
  • 10 cawan air (cawan yang sama untuk sukat beras)
  • 4 sudu teh garam
  • Taugeh - dicelur
  • Tauhu goreng - dipotong dadu
  • 1 cawan ikan bilis - digoreng
  • 1 cawan kacang tanah - digoreng
  • 2 biji kentang - dihiris dan digoreng
  • 30 biji cili padi
  • 1 biji bawang putih
  • 4 biji limau kasturi
  • 1/2 cawan kicap (pilihan saya kicap manis cap kipas udang)
Cara:
  1. Masak bubur - campurkan beras, air dan 4 sudu teh garam dan masak seperti masak nasi (boleh gunakan rice cooker atau masak secara manual di atas dapur).
  2. Goreng ikan bilis, kacang tanah dan kentang secara berasingan.
  3. Taugeh pula dicelur seketika dengan air panas.
  4. Untuk membuat kuah kicap pula, kisar cili padi bersama 1 biji bawang putih, kemudian campurkan kicap dan perahan limau. Jika menggunakan pengisar basah, campurkan sekali kicap dan perahan limau semasa mengisar.

Sunday, November 14, 2010

NASI KERABU

Salam sejahtera semua. Kali ini apa kata kalau anda mencuba resepi yang agak rumit sedikit. Saya nak berkongsi resepi nasi kerabu yang saya pelajari dari seorang rakan yang berasal dari Kelantan. Nasi kerabu ni merupakan makanan popular dari Negeri Cik Siti Wan Kembang ni. Saya mula pandai makan nasi kerabu ni semenjak diperkenalkan oleh rakan saya yang menjual sarapan pagi berdekatan rumah saya. Kali pertama mencuba, saya terus sukakannya...Dek kerana sukakan rasanya, saya belajar memasaknya sendiri. Semenjak dah pandai buat sendiri ni, selalu juga saya masak nasi kerabu untuk hidangan keluarga saya. Sesuai dimakan untuk sarapan ataupun makan tengah hari. Ok lah, anda sediakan dulu bahan-bahannya, kemudian bolehlah mencuba...

(a) Nasi
Bahan-bahan:
  • Beras - 4 cawan
  • Air - 4 cawan
  • Pewarna
  • Serai - 1 tangkai (diketuk)
  • Daun limau purut - 2 helai (disiat sedikit)
Cara memasak nasi:
  1. Basuh beras dan isi air bersama beras di dalam periuk nasi.
  2. Tambahkan pewarna (sedikit sahaja). Gaul supaya warna menjadi rata. Tambahkan serai dan limau purut. Masak seperti biasa.
Fakta mengenai warna nasi kerabu:
Asalnya warna nasi kerabu menjadi biru kerana dicampur dengan air sejenis bunga. Dibawah saya sertakan gambar bunga yang saya maksudkan. Beberapa kuntum bunga ini dikisar bersama air. Kemudian ditapis dan airnya digunakan untuk memasak nasi kerabu.
Oleh kerana saya tidak dapat mencari bunga diatas, saya menggunakan pewarna makanan. Pewarna ini memang khas untuk makanan yang bewarna biru seperti nasi kerabu. Ianya antara pewarna yang sering digunakan oleh peniaga nasi kerabu. Pewarna ini saya dapat dari seorang rakan yang tinggal di Kelantan.



Anda juga boleh menggunakan kunyit sebagai ganti pewarna biru. Campurkan sedikit kunyit bersama air dan beras. Oleh itu nasi akan menjadi bewarna kuning.

(b) Sambal kelapa


Bahan-bahan:
  • Kelapa - 1/2 biji
  • Ikan kembong - 1 ekor
  • Serai - 1 batang
  • Bawang merah - 4 biji
  • Bawang putih - 2 biji
  • Halia - 1/2 inci
  • Lada hitam - 15 biji
  • Gula melaka
  • Garam - 1 sudu teh
Cara memasak sambal kelapa:
  1. Rebus ikan dengan air yang sedikit. Setelah masak, keluarkan isi ikan dan tumbuk lumat.
  2. Kisar serai, bawang merah, bawang putih dan serai. Lada hitam pula ditumbuk sehingga hancur.
  3. Goreng kelapa tanpa minyak sehingga bewarna coklat. (jangan berhenti mengacau kerana kelapa akan mudah hangus)
  4. Kemudian, campurkan isi ikan, bahan kisar, lada hitam, gula merah dan garam. Gaul sehingga semuanya rata. Kacau seketika lagi sehingga masak.
(c) Solok lada
Bahan-bahan:
  • Lada hidup - 7 batang (pilih lada bewarna hijau, gemuk dan lurus)
  • Ikan kembung - 1 ekor
  • Bawang merah - 4 biji
  • Bawang putih - 2 biji
  • Halia - 1/2 inci
  • Kelapa - 2 genggam
  • Garam - 1 sudu teh
  • Santan - perah santan dari 1/2 biji kelapa
Cara memasak solok lada:
  1. Basuh lada dan belah untuk disumbat inti. Ketepikan.
  2. Kemudian ambil isi ikan kembong dan ditumbuk lumat. (ikan tidak perlu direbus dahulu)
  3. Setelah itu tumbuk atau kisar bawang merah, bawang putih dan halia. Gaulkan bersama isi ikan, kelapa dan garam.
  4. Sumbatkan bahan tadi ke dalam lada yang telah dibelah. Susun di dalam periuk.
  5. Kemudian tuangkan santan ke dalam periuk. (Santan tidak perlu terlalu banyak, sekadar supaya lada terendam di dalamnya)
  6. Rebus selama 15 minit.

(d) Sambal cuka



Bahan-bahan:
  • Lada hidup - 5 biji (pilih yang bewarna merah)
  • Cili padi - 10 biji (pilih yang bewarna merah)
  • Cuka - 7 sudu besar
  • Air - 7 sudu besar
  • Gula - 1 sudu besar
  • Bawang putih - 1 biji
Cara membuat sambal cuka:
  1. Gunakan mesin kering untuk mengisar lada, cili dan bawang putih. Tambahkan juga gula.
  2. Setelah hancur, campurkan air dan cuka. Tambahkan lagi air atau cuka jika mahu lebih cair.
(e) Ikan goreng tepungBahan-bahan:
  • Ikan kembong - 7 ekor
  • Tepung beras - i cawan
  • Telur - 1 biji
  • Air - 1/3 cawan
  • garam - 1 1/2 sudu teh
  • minyak untuk menggoreng
Cara Membuat ikan goreng tepung:
  1. Campurkan tepung, telur dan garam ke dalam air dan digaul rata. (gunakan garfu atau pengisar supaya tepung tidak berketul)
  2. Celupkan ikan dan goreng di dalam minyak panas sehingga masak. Angkat dan toskan.
(f) Sayur

Bahan-bahan:
  • Sayur kacang panjang - 5 batang
  • Sayur kobis - 1/4
  • Taugeh
  • Bunga kantan - 1 kuntum
  • Daun kesom - 5 tangkai
Cara menyediakan sayur:
  1. Bersihkan sayur kemudian toskan airnya.
  2. Hiris kesemua sayur kecuali taugeh, kemudian gaul rata.
(g) Bahan-bahan lain:
  1. Keropok ikan - digoreng
  2. Telur masin - direbus
  3. Budu (anda boleh memasaknya atau menikmatinya terus)
Saya tidak menyediakan budu di dalam hidangan nasi kerabu saya tetapi di sini saya sertakan resepi untuk memasak budu. Budu pilihan saya adalah jenama ketereh.
Bahan-bahan:
  • Budu - 1 botol
  • bawang merah - 5 biji
  • Bawang putih - 3 biji
  • asam keping - 1 keping
  • Serai - 1 batang
  • Daun limau purut - 2 helai
  • Gula melaka
  • Air - 1/2 cawan
Cara memasak budu:
  1. Campurkan kesemua bahan di dalam periuk. Masak sehingga mendidih. Untuk gula melaka, tambahkan secukup rasa.
Anda akan dapati rasa budu ini lebih sedap jika dimasak begini.
Baiklah rakan-rakan. Harap anda semua dapat mengikuti dan memahami resepi nasi kerabu yang saya sediakan ini. Semoga anda dapat membuat dan menikmatinya. Selamat menjamu selera...


Friday, November 5, 2010

NASI UDANG


Salam Nurul Sofiah dan semua yg mengikuti resipi saya. Pernah tak anda masak nasi udang atau makan nasi udang ni kat mana-mana? Resepi yang saya nak bagi ni memang resepi saya sendiri yang saya reka setelah mencuba berulang kali resepi-resepi yang berbeza. Kiranya, nasi udang ni memang menepati citarasa saya dan keluarga..

Bahan-bahan:


  • Beras basmati - 4 cawan (seperti biasa, sy pilih beras mogul)

  • Mentega - 4 sudu besar

  • Kayu manis - sebatang

  • Bunga lawang - 2 kuntum

  • Bunga cengkih - 4 kuntum

  • Bawang besar - sebiji

  • Halia - sebesar ibu jari, 1/2 inci

  • Air - 8 cawan(gunakan cwn sama utk menyukat beras)

  • Udang - 250gm (atau ikut suka) bahagian ekor jgn dibuang

  • Sayur campur - banyaknya ikut suka

  • Sos tomato - 8 sudu besar (pilihan saya sos spagetti kimball perisa original)

  • Maggie cukup rasa -2 sudu kecil

  • Garam - 2 sudu kecil

Cara:



  1. Basuh beras dahulu dan toskan.

  2. Di dalam periuk nasi, panaskan mentega dan masukkan bawang besar, halia, kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih. Kacau seketika sehingga naik bau.

  3. Kemudian masukkan beras dan air. Tambahkan maggie cukup rasa dan garam. Tutup periuk dan biarkan nasi sehingga separuh masak.

  4. Buka periuk dan masukkan pula sos tomato, udang dan sayur campur. Gaul rata dan tutup semula periuk. Biarkan sehingga nasi masak.

Mudahkan? Senang je sebenarnya nak masak nasi udang ni.. kalau tak ada beras basmati pun ok. Guna sahaja beras yang biasa anda guna, cuma airnya mengikut sukatan beras. Nasi udang ni best kalau dimakan dengan acar timun, pajeri nenas, ayam masak merah, kari daging atau dalca. Kalau nak senang, masak je sambal ayam.. sedia untuk dimakan... Selamat mencuba... Salam sayang utk Arif....Mmuuuahhh...

Wednesday, November 3, 2010

NASI HUJAN PANAS


Salam Hafilah n rakan-rakan. Nak try resepi nasi hujan panas untuk weekend ni tak? Bila time cuti mesti nak makan lain sikit dari hari-hari biasa kan? Bolehlah cuba resepi ni..lauknya pulak anda boleh masak ayam sambal, ayam goreng berempah atau ayam masak merah..kena pulak dengan lauk dalca..memang cun..

Bahan-bahan:

  • Beras basmati - 4 cawan(pilihan saya beras mogul sbb jadi lebih lembut dan gebu)

  • Bawang besar - 2 biji (pilih yg sederhana)

  • Bawang putih - 4 biji

  • Halia - sebesar ibu jari (1/2 inci)

  • Bunga lawang - 2 kuntum

  • Kayu manis - sebatang

  • Bunga cengkih - 4 kuntum

  • Minyak sapi - 2 sudu besar

  • Mentega - 2 sudu besar

  • Gula batu - segenggam

  • Susu cair - 1 tin

  • Air - 8 cawan (gunakan cwn yg sama utk menyukat beras)

  • Daun pandan - 2 helai

  • Garam - 2 sudu kecil

  • Pewarna - merah, kuning, hijau

  • Hiasan - gajus, kismis dan badam. Gajus dan badam dibakar dlm oven dahulu atau digoreng tanpa minyak)

Cara:

  1. Panaskan periuk (kalau guna periuk nasi elektrik, panaskan je pd tempatnya). Masukkan minyak sapi dan mentega, kacau hingga semuanya cair.

  2. Masukkan pula bawang besar, putih, halia, bunga lawang, kayu manis dan cengkih. Kacau seketika hingga naik bau.

  3. Kemudian masukkan segenggam gula batu dan kacau seketika. Masukkan pula susu cair dan air. Biarkan sehingga mendidih.

  4. Setelah mendidih, masukkan beras dan garam. Kacau sedikit, letakkan daun pandan dan tutup periuk.

  5. Ketika nasi hampir masak, titikkan pewarna merah, hijau n kuning pd nasi. Jgn titikkan semua pewarna pd satu tempat yg sama... gaulkan nasi (jgn terlalu kuat krn nasi akan hancur). Korang boleh nampak nasi menjadi berwarna warni dgn warna yg bertompok-tompok.

  6. Tutup semula periuk dan biarkan nasi masak....sebelum menghidang, taburkan hiasan...

Kalau anda nak guna beras biasa pun boleh. Airnya mesti lebih secawan dari beras. Eg- 4 cawan beras, gunakan 5 cawan air. ok...selamat menjamu selera...salam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...