Followers

Tuesday, November 23, 2010

SAMBAL BILIS TEMPE

Resepi ini saya dapat dari bibik busu saya yang berasal dari Medan. Tetapi sebenarnya saya telah lupa cara sebenar yang diajar. Jadi ini resepi yang saya cuba-cuba dan alhamdulillah menjadi juga...

Bahan-bahan:

  • Ikan bilis - 1 cawan
  • Ubi kentang - 2 biji (saiz sederhana)
  • Kacang panjang - 5 tangkai
  • Suhun - 1 paket (rendam di dalam air dan tapis)
  • Petai - 2 tangkai (boleh tambah lagi jika suka)
  • Tempe - 1 bungkus (saya gunakan tempe di dalam bungkusan plastik)
  • Tauhu - 1
  • Lada kering - 10 batang (dikisar bersama sebiji bawang putih)
  • Bawang besar - 1/2 biji
  • Garam - 2 sudu teh rata
  • Gula - 1 sudu teh rata
  • Asam keping - 1 keping
  • Minyak untuk menggoreng
Cara:
  1. Ubi kentang, tempe dan tauhu dihiris (jangan terlalu nipis) kemudian digoreng secara berasingan. Setelah itu, goreng ikan bilis pula. Setelah semua digoreng, boleh disatukan di dalam bekas yang sama.
  2. Goreng lada kisar sehingga garing dan bewarna pekat (gaul selalu supaya tidak hangus). Kemudian tambahkan garam, gula dan asam keping dan gaulkannya lagi.
  3. Masukkan pula petai, kacang panjang dan suhun yang telah lembut direndam. Kacau seketika sehingga sayur masak dan akhir sekali tambahkan bahan-bahan yang telah digoreng tadi dan bawang besar. Gaul rata dan angkat setelah cukup masak.

SOTONG MASAK LADA HITAM

Salam sejahtera semua. Resepi saya kali ini adalah sotong masak lada hitam. Sotong ni saya masak sekali dengan sayur. Jadi amat sesuai bagi anda yang hendak menyediakan hidangan ringkas dan cepat.

Bahan-bahan:
  • Sotong - 4 ekor
  • Kacang panjang - 4 tangkai (dipotong)
  • Bawang besar - 1/2 biji (dihiris)
  • Bawang putih - 2 biji (dihiris)
  • Sos tiram - 3 sudu besar
  • Lada hitam - 10 biji (ditumbuk halus)
  • Air - 2 sudu besar
  • Kunyit serbuk
  • Garam
  • Minyak untuk menggoreng
Cara:
  1. Gaulkan sotong dengan kunyit dan sedikit garam. Kemudian goreng seketika.
  2. Semasa menggoreng sotong, masukkan bawang putih, sos tiram, lada hitam dan air. Gaul rata.
  3. Akhir sekali masukkan kacang panjang, bawang besar dan garam. Kaup balikkan lauk tetapi jangan terlalu lama kerana kacang akan layu.
Selamat mencuba...

Monday, November 22, 2010

SOTO BIHUN

Salam sejahtera rakan-rakan semua. Hari ini saya sediakan resepi soto ayam dengan bergedil untuk anda semua cuba. Resepi sup ayam ini saya belajar dari wan saya di kampung. Wan saya tidak menggunakan rempah sup atau rempah soto. Dia menggunakan rempah kurma, dan saya sememangnya setuju dengan pilihannya kerana kuah sup lebih berasa... cubalah sendiri.

Bahan-bahan sup:
  • Ayam - 1/2 ekor
  • Bawang merah - 5 biji (kisar)
  • Bawang putih - 3 biji (kisar)
  • Halia - 1 inci (kisar)
  • Rempah kurma - 1 paket kecil (pilihan saya rempah kurma adabi)
  • Sup bunjut - 1
  • Daun bawang dan daun sup
  • Air -3 liter
  • Minyak untuk menumis
Cara membuat sup:
  1. Kecutkat ayam. Caranya, masukkan ayam di dalam periuk dan hidupkan api sederhana. Biarkan ayam seketika di dalam periuk sambil dikacau sehingga air ayam kering. Keluarkan ayam dari periuk.
  2. Tambahkan minyak masak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau. Kemudian masukkan rempah kurma, gaul rata dan campurkan air serta sup bunjut.
  3. Masukkan pula ayam dan biarkan sup mendidih, kemudian tambahkan garam secukup rasa.
  4. Akhir sekali, asingkan ayam dari sup dan siat-siat isinya. Letakkan di dalam mangkuk berasingan.
Bahan bergedil:
  • Ayam - 1 ketul isi ayam
  • Daun sup dan daun bawang - 10gm (dihir halus)
  • Ubi kentang - 2 biji
  • Bawang merah - 3 biji (dihiris)
  • Garam - 1 sudu teh
  • Telur - 1 biji (dipukul-boleh gunakan garfu)
Cara membuat bergedil:
  1. Rebus isi ayam (gunakan isi ayam sup yang telah dibuat tadi).
  2. Potong kasar ubi kentang kemudian digoreng. Selepas digoreng, lenyek ubi kentang tersebut.
  3. Gaulkan isi ayam, ubi kentang lenyek, daun bawang, daun sup, hirisan bawang merah dan garam.
  4. Bentukkan bergedil dan salutkan dengan telur yang telah dipukul. Goreng di dalam minyak panas sehingga garing.
Bahan kicap pedas:
  • Kicap (pilihan saya kicap manis cap kipas udang)
  • Limau kasturi - 1 biji (diperah dan diambil airnya)
  • Bawang putih - 1 biji
  • Cili padi - 20 biji (atau mengikut suka)
  • Garam - 1/2 sudu teh (jika anda menggunakan kicap masin, tidak perlu menambah garam)
Cara membuat kicap pedas:
  1. Campurkan kesemua bahan di dalam mesin kisar dan kisar sehingga hancur.
Bahan lain:
  • Nasi himpit - direbus awal dan disejukkan kemudian dipotong kiub. Saya memilih pek ekonomi (6 bungkus) nasi ketupat NONA, dan untuk resepi ini saya menggunakan 1 bungkus nasi ketupat.
  • Suhun - 1 paket (digoreng dengan minyak)
  • Pucuk tauhu - 1 paket (dibasuh dan digoreng dengan minyak)
  • Kacang tanah - 200gm (dibasuh dan digoreng dengan minyak)
  • Taugeh - 200gm (dibasuh dan dicelur seketika dengan air panas)
  • Bawang goreng - 1 paket kecil
Setelah siap semua bahan anda bolehlah menikmati soto bihun ini. Selamat menjamu selera....

Friday, November 19, 2010

UDANG MASAK MERAH

Salam sejahtera kepada semua pengunjung blog saya. Dah beberapa hari sebenarnya saya tak post apa-apa kerana saya berhari raya di kampung. Walaupun banyak juga resepi yang saya dapat dari mak, mak mentua, mak saudara dan nenek...tetapi tak berkesempatan untuk menulis untuk anda semua. Ini resepi udang yang saya masak untuk dimakan bersama nasi minyak. Bosan dengan hidangan ayam dan daging, saya hidangkan udang masak merah pula. Mungkin anda boleh mencuba dengan nasi hujan panas yang telah saya berikan resepinya sebelum ini.
Bahan-bahan:
  • Udang - 1/2 kg
  • Kunyit serbuk
  • Bawang besar - 1 biji (separuh dikisar dan separuh lagi dihiris)
  • Bawang putih - 5 biji (kisar)
  • Halia - 1/2 inci (kisar)
  • Lada kering kisar - 2 sudu besar
  • Tomato sos - 5 sudu besar
  • Kacang pis - 1/2 cawan
  • Air - 1/2 cawan
  • Garam -2 sudu teh
  • Gula - 3 sudu teh
  • Kayu manis - 1 batang
  • Minyak masak

Cara:

  1. Udang dibersihkan kepala dan dibuang bahagian muncung dan tajam (kulit dibiarkan). Kemudian gaulkannya dengan kunyit dan garam, dan goreng di dalam minyak panas. Setelah garing, angkat dan asingkan.
  2. Tumis bahan kisar sehingga naik bau. Tambahkan pula lada kisar dan goreng sehingga naik minyak. Kemudian tambahkan kayu manis, sos, air, gula dan garam. Biarkan kuah mendidih seketika.
  3. Campurkan udang goreng ke dalam kuah. Masukkan pula kacang pis dan hirisan bawang besar, kemudian gaul rata dan dibiarkan seketika sehingga kacang masak. Angkat dan hidangkan.

Selamat mencuba...

Sunday, November 14, 2010

NASI KERABU

Salam sejahtera semua. Kali ini apa kata kalau anda mencuba resepi yang agak rumit sedikit. Saya nak berkongsi resepi nasi kerabu yang saya pelajari dari seorang rakan yang berasal dari Kelantan. Nasi kerabu ni merupakan makanan popular dari Negeri Cik Siti Wan Kembang ni. Saya mula pandai makan nasi kerabu ni semenjak diperkenalkan oleh rakan saya yang menjual sarapan pagi berdekatan rumah saya. Kali pertama mencuba, saya terus sukakannya...Dek kerana sukakan rasanya, saya belajar memasaknya sendiri. Semenjak dah pandai buat sendiri ni, selalu juga saya masak nasi kerabu untuk hidangan keluarga saya. Sesuai dimakan untuk sarapan ataupun makan tengah hari. Ok lah, anda sediakan dulu bahan-bahannya, kemudian bolehlah mencuba...

(a) Nasi
Bahan-bahan:
  • Beras - 4 cawan
  • Air - 4 cawan
  • Pewarna
  • Serai - 1 tangkai (diketuk)
  • Daun limau purut - 2 helai (disiat sedikit)
Cara memasak nasi:
  1. Basuh beras dan isi air bersama beras di dalam periuk nasi.
  2. Tambahkan pewarna (sedikit sahaja). Gaul supaya warna menjadi rata. Tambahkan serai dan limau purut. Masak seperti biasa.
Fakta mengenai warna nasi kerabu:
Asalnya warna nasi kerabu menjadi biru kerana dicampur dengan air sejenis bunga. Dibawah saya sertakan gambar bunga yang saya maksudkan. Beberapa kuntum bunga ini dikisar bersama air. Kemudian ditapis dan airnya digunakan untuk memasak nasi kerabu.
Oleh kerana saya tidak dapat mencari bunga diatas, saya menggunakan pewarna makanan. Pewarna ini memang khas untuk makanan yang bewarna biru seperti nasi kerabu. Ianya antara pewarna yang sering digunakan oleh peniaga nasi kerabu. Pewarna ini saya dapat dari seorang rakan yang tinggal di Kelantan.



Anda juga boleh menggunakan kunyit sebagai ganti pewarna biru. Campurkan sedikit kunyit bersama air dan beras. Oleh itu nasi akan menjadi bewarna kuning.

(b) Sambal kelapa


Bahan-bahan:
  • Kelapa - 1/2 biji
  • Ikan kembong - 1 ekor
  • Serai - 1 batang
  • Bawang merah - 4 biji
  • Bawang putih - 2 biji
  • Halia - 1/2 inci
  • Lada hitam - 15 biji
  • Gula melaka
  • Garam - 1 sudu teh
Cara memasak sambal kelapa:
  1. Rebus ikan dengan air yang sedikit. Setelah masak, keluarkan isi ikan dan tumbuk lumat.
  2. Kisar serai, bawang merah, bawang putih dan serai. Lada hitam pula ditumbuk sehingga hancur.
  3. Goreng kelapa tanpa minyak sehingga bewarna coklat. (jangan berhenti mengacau kerana kelapa akan mudah hangus)
  4. Kemudian, campurkan isi ikan, bahan kisar, lada hitam, gula merah dan garam. Gaul sehingga semuanya rata. Kacau seketika lagi sehingga masak.
(c) Solok lada
Bahan-bahan:
  • Lada hidup - 7 batang (pilih lada bewarna hijau, gemuk dan lurus)
  • Ikan kembung - 1 ekor
  • Bawang merah - 4 biji
  • Bawang putih - 2 biji
  • Halia - 1/2 inci
  • Kelapa - 2 genggam
  • Garam - 1 sudu teh
  • Santan - perah santan dari 1/2 biji kelapa
Cara memasak solok lada:
  1. Basuh lada dan belah untuk disumbat inti. Ketepikan.
  2. Kemudian ambil isi ikan kembong dan ditumbuk lumat. (ikan tidak perlu direbus dahulu)
  3. Setelah itu tumbuk atau kisar bawang merah, bawang putih dan halia. Gaulkan bersama isi ikan, kelapa dan garam.
  4. Sumbatkan bahan tadi ke dalam lada yang telah dibelah. Susun di dalam periuk.
  5. Kemudian tuangkan santan ke dalam periuk. (Santan tidak perlu terlalu banyak, sekadar supaya lada terendam di dalamnya)
  6. Rebus selama 15 minit.

(d) Sambal cuka



Bahan-bahan:
  • Lada hidup - 5 biji (pilih yang bewarna merah)
  • Cili padi - 10 biji (pilih yang bewarna merah)
  • Cuka - 7 sudu besar
  • Air - 7 sudu besar
  • Gula - 1 sudu besar
  • Bawang putih - 1 biji
Cara membuat sambal cuka:
  1. Gunakan mesin kering untuk mengisar lada, cili dan bawang putih. Tambahkan juga gula.
  2. Setelah hancur, campurkan air dan cuka. Tambahkan lagi air atau cuka jika mahu lebih cair.
(e) Ikan goreng tepungBahan-bahan:
  • Ikan kembong - 7 ekor
  • Tepung beras - i cawan
  • Telur - 1 biji
  • Air - 1/3 cawan
  • garam - 1 1/2 sudu teh
  • minyak untuk menggoreng
Cara Membuat ikan goreng tepung:
  1. Campurkan tepung, telur dan garam ke dalam air dan digaul rata. (gunakan garfu atau pengisar supaya tepung tidak berketul)
  2. Celupkan ikan dan goreng di dalam minyak panas sehingga masak. Angkat dan toskan.
(f) Sayur

Bahan-bahan:
  • Sayur kacang panjang - 5 batang
  • Sayur kobis - 1/4
  • Taugeh
  • Bunga kantan - 1 kuntum
  • Daun kesom - 5 tangkai
Cara menyediakan sayur:
  1. Bersihkan sayur kemudian toskan airnya.
  2. Hiris kesemua sayur kecuali taugeh, kemudian gaul rata.
(g) Bahan-bahan lain:
  1. Keropok ikan - digoreng
  2. Telur masin - direbus
  3. Budu (anda boleh memasaknya atau menikmatinya terus)
Saya tidak menyediakan budu di dalam hidangan nasi kerabu saya tetapi di sini saya sertakan resepi untuk memasak budu. Budu pilihan saya adalah jenama ketereh.
Bahan-bahan:
  • Budu - 1 botol
  • bawang merah - 5 biji
  • Bawang putih - 3 biji
  • asam keping - 1 keping
  • Serai - 1 batang
  • Daun limau purut - 2 helai
  • Gula melaka
  • Air - 1/2 cawan
Cara memasak budu:
  1. Campurkan kesemua bahan di dalam periuk. Masak sehingga mendidih. Untuk gula melaka, tambahkan secukup rasa.
Anda akan dapati rasa budu ini lebih sedap jika dimasak begini.
Baiklah rakan-rakan. Harap anda semua dapat mengikuti dan memahami resepi nasi kerabu yang saya sediakan ini. Semoga anda dapat membuat dan menikmatinya. Selamat menjamu selera...


Ayam Sos BBQ

Salam semua. Terima kasih kerana mengunjungi blog saya. Resepi pilihan saya untuk dikongsi pada kali ini adalah resepi ayam masak sos BBQ. Rasanya pedas-pedas manis.
Bahan-bahan:
  • Ayam - 1/2 ekor
  • Bawang putih - 5 biji (hiris)
  • Halia - 1 inci (hiris)
  • Cili padi - 8 biji (hiris kasar)
  • Sos BBQ - 5 sudu besar (pilihan saya BBQ sauce Life)
  • Sos tiram - 2 sudu besar (pilihan saya sos tiram Adabi)
  • Kicap - 2 sudu besar (pilihan saya Kicap manis cap Kipas Udang)
  • Air - 2 sudu besar
  • Minyak untuk menggoreng
  • Kunyit serbuk
  • Garam
Cara:
  1. Bersihkan ayam dan gaul dengan kunyit serbuk dan garam. Kemudian goreng ayam sehingga garing. Alihkan.
  2. Keluarkan separuh minyak goreng ayam dan tinggalkan selebihnya di dalam kuali. Tumis pula bawang putih dan halia.
  3. Setelah naik bau, campurkan sos tiram, sos bbq dan kicap. Campurkan pula air dan cili padi. Gaul sehingga mendidih dan tambahkan garam secukup rasa.
  4. Masukkan ayam dan gaul lagi sehingga rata. Sedia untuk dihidang.
Mudahkan? Selamat menjamu selera....

Wednesday, November 10, 2010

UDANG GORENG TEPUNG

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada rakan-rakan semua. Terima kasih kerana mengunjungi blog resepi saya. Hari ini saya ingi berkongsi satu lagi resepi udang yang saya reka sendiri resepinya. Sebenarnya banyak resepi udang goreng tepung yang telah saya cuba, tetapi resepi ringkas ini yang paling memikat selera saya sekeluarga. Anak-anak saya memang sukakan masakan yang ringkas, lebih-lebih lagi yang bergoreng dan rangup.
Bahan-bahan:

  • Udang - 14 ekor (dibersihkan kepalanya dan dibuang muncung serta bahagian yang tajam sahaja).

  • Tepung gandum - 5 sudu besar (sukatan seperti di dalam gambar)
  • Tepung jagung - 2 sudu besar
  • Garam - 1 sudu teh rata
  • Maggie cukup rasa - 2 sudu teh rata
  • Baking powder - 1 sudu teh rata
  • Air suam - 1/2 cawan (tambahkan sedikit lg jika terlalu pekat)

Cara:

  1. Gaulkan semua bahan kecuali air suam dan udang. Setelah rata baru tambahkan air dan dikacau sehingga sebati.
  2. Celupkan udang dan digoreng di dalam minyak panas dengan api sederhana. Goreng sehinnga kekuningan.
  3. Angkat, tos dan hidang.

Masakan ini sedap dinikmati kala panas. Selamat mencuba dan selamat menjamu selera.






Tuesday, November 9, 2010

IKAN BAWAL SOS TIRAM

Salam semua. ini resepi ikan saya yang pertama di blog. Resepi ini saya cuba-cuba sendiri dan hasilnya not bad...ok, kita sediakan bahan-bahannya dulu later bolehlah anda mencuba.
Bhan-bahan:
  • Ikan Bawal - seekor bawal hitam
  • Kunyit serbuk - untuk menggoreng ikan
  • Kentang - dihiris dan digoreng
  • Bawang besar - sebiji
  • Bawang putih - 3 biji
  • Halia - sedikit (ikut suka)
  • Cili padi - 5 batang (kalau mahu lebih pedas boleh tambah lg)
  • Asam jawa - bancuhkan kira-kira 1 sudu besar asam jawa dgn 3 sudu besar air. Kalau menggunakan asam jawa tanpa biji, ambil sesudu kecil.
  • Sos tiram - 3 sudu besar
  • Tepung jagung - 1/2 sudu besar dibancuh dengan 3 sudu besar air.
  • Garam secukup rasa

Cara:

  1. Mula-mula goreng kentang sehingga garing dan ketepikan.
  2. Kemudian goreng ikan yang telah disalut kunyit dan garam. Setelah garing, angkat dan ketepikan.
  3. Kurangkan sedikit minyak yang telah digunakan untuk menggoreng ikan tadi. Tumis pula bawang putih dan halia. Kemudian masukkan air asam jawa dan sos tiram. kacau seketika.
  4. Masukkan pula tepung jagung yang telah dibancuh, bawang besar, cili padi dan garam. (boleh juga ditambah sedikit air jika kuah terlalu pekat). Kacau sehingga mendidih.
  5. Akhir sekali, campurkan kentang yang telah digoreng. gaul dan curahkan kuah di atas ikan bawal.

Selamat menjamu selera...


Sunday, November 7, 2010

KUIH APAM BUNGA

Salam Suhaila dan rakan-rakan. Ini kali pertama saya ingin berkongsi resepi kuih untuk anda mencuba. Agak mudah untuk menyediakannya, tetapi selain dari bahan mentah, anda perlu mendapatkan 2 bahan lain iaitu acuan dan cawan kertas (cup). Anda boleh membuat apam bunga kecil mahupun besar menggunakan resepi yang sama, cuma perlu menyediakan acuan dan cup mengikut pilihan anda.

Ini dia acuan yang saya gunakan. Acuan ini bersaiz kecil. Anda boleh mendapatkannya di kedai yang menjual bahan membuat kek dengan harga RM2.00/12pcs. Sekarang kita lihat pula bahan-bahan lain yang diperlukan, seterusnya cara membuat.

Bahan-bahan:
  • Tepung gandum - 370gm

  • Gula - 500gm

  • Telur - 3 biji

  • Ovallete - 1 sudu besar

  • Aiskrim soda - 250ml (pilihan saya FnN kerana lebih bergas)

  • Pewarna - ikut suka (pilihan saya pink dan oren)

Cara:

  1. Satukan kesemua bahan di dalam mangkuk pembancuh, kecuali aiskrim soda dan pewarna.

  2. Putar sehingga rata (jangan bimbang jika adunan agak pekat).

  3. Tambahkan aiskrimsoda dan putar lagi sehingga sebati (anda akan dapat lihat lapisan atas adunan tersebut berbuih-buih).

  4. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian. Titikkan pewarna pilihan anda dan gaul sedikit (tidak perlu digaul rata supaya kelihatan corak warna yang bertona).

  5. Letakkan cup ke dalam acuan dan sudukan adunan ke dalamnya. Letak sehingga penuh cup.

  6. Akhir sekali, kukus selama 12 minit (untuk apam bersaiz kecil- masa mengukus menjadi lebih panjang bg apam yang bersaiz lbh besar). Ulang langkah 5 dan 6 sehingga selesai.

Selamat mencuba....
















LAKSA JOHOR


Salam semua. Sajian laksa yang saya nak kongsi di sini merupakan laksa yang paling saya gemari. Resepi ini pernah diterbitkan di dalam majalah rasa bulan Mei 2010. Mungkin ada di antara anda yang sudah mendapatkannya dan pernah mencuba... Mungkin juga ada yang terlepas edisi tersebut. Oklah.. jom mencuba...resepi ini yang sesuai untuk hidangan 5-8 orang.

Bahan-bahannya:
  • Spageti - 500gm (direbus- semasa merebus, boleh dicampurkan sesudu teh minyak masak ke dalam air supaya spageti tidak bercantum)
  • Lobak merah - 1/2 biji (disagat)
  • Timun - 1/2 biji (dihiris nipis)
  • Kacang panjang - 4 batang (dipotong kecil)
  • Taugeh - 50gm
  • Limau kasturi - 5 biji

Bahan kuah:

  • Bawang kecil - 7 biji (dikisar)
  • Bawang putih - 1/2 labu (dikisar)
  • Ikan kembung - 1/2kg (dibersihkan dan direbus)
  • Rempah kari daging - 60gm (pilihan saya rempah kari adabi)
  • Kelapa - 1 biji (diambil santan pekat)
  • Daun kesom - 2 tangkai
  • Bunga kantan - 2 kuntum
  • Asam keping - 4 keping
  • Garam - secukup rasa

Bahan sambal:

  • Lada merah - 3 batang
  • Cili padi - 5 tangkai
  • Belacan - 1/2 inci (dibakar sebentar)
  • Limau kasturi - sebiji

Cara:

  1. Anda boleh mulakan dengan membuat sambal belacan dahulu. Tumbuk semua bahan dan akhir sekali perahkan limau kasturi.
  2. Rebus spageti dan asingkan. Kemudian sediakan bahan ulam iaitu sayur-sayurnya. Letakkan di dalam mangkuk yang berasingan.

Cara membuat kuah:

  1. Rebus ikan kembung yang telah dibersihkan. Asingkan isi dari tulang. Kisar isi ikan dan letak di dalam mangkuk.
  2. Kemudian kisar tulang, ekor dan kepala ikan. Campurkan air rebusan semasa mengisar. Tapis bahan tersebut, simpan air tapisan di dalam mangkuk berasingan.
  3. Panaskan minyak dan tumis bawang kisar sehingga naik bau.
  4. Bancuhkan rempah kari dengan sedikit air. Masukkan ke dalam minyak dan terus menumis. Kemudian masukkan daun kesom dan bunga kantan.
  5. Campurkan pula isi ikan dan air tapisan tulang ikan. Kacau rata, kemudian masukkan santan.
  6. Akhir sekali masukkan asam keping dan garam. Biarkan mendidih.

Alhamdulillah...siap sudah laksa johor kita. Laksa ni sedap dimakan semasa kuahnya panas.

Friday, November 5, 2010

NASI UDANG


Salam Nurul Sofiah dan semua yg mengikuti resipi saya. Pernah tak anda masak nasi udang atau makan nasi udang ni kat mana-mana? Resepi yang saya nak bagi ni memang resepi saya sendiri yang saya reka setelah mencuba berulang kali resepi-resepi yang berbeza. Kiranya, nasi udang ni memang menepati citarasa saya dan keluarga..

Bahan-bahan:


  • Beras basmati - 4 cawan (seperti biasa, sy pilih beras mogul)

  • Mentega - 4 sudu besar

  • Kayu manis - sebatang

  • Bunga lawang - 2 kuntum

  • Bunga cengkih - 4 kuntum

  • Bawang besar - sebiji

  • Halia - sebesar ibu jari, 1/2 inci

  • Air - 8 cawan(gunakan cwn sama utk menyukat beras)

  • Udang - 250gm (atau ikut suka) bahagian ekor jgn dibuang

  • Sayur campur - banyaknya ikut suka

  • Sos tomato - 8 sudu besar (pilihan saya sos spagetti kimball perisa original)

  • Maggie cukup rasa -2 sudu kecil

  • Garam - 2 sudu kecil

Cara:



  1. Basuh beras dahulu dan toskan.

  2. Di dalam periuk nasi, panaskan mentega dan masukkan bawang besar, halia, kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih. Kacau seketika sehingga naik bau.

  3. Kemudian masukkan beras dan air. Tambahkan maggie cukup rasa dan garam. Tutup periuk dan biarkan nasi sehingga separuh masak.

  4. Buka periuk dan masukkan pula sos tomato, udang dan sayur campur. Gaul rata dan tutup semula periuk. Biarkan sehingga nasi masak.

Mudahkan? Senang je sebenarnya nak masak nasi udang ni.. kalau tak ada beras basmati pun ok. Guna sahaja beras yang biasa anda guna, cuma airnya mengikut sukatan beras. Nasi udang ni best kalau dimakan dengan acar timun, pajeri nenas, ayam masak merah, kari daging atau dalca. Kalau nak senang, masak je sambal ayam.. sedia untuk dimakan... Selamat mencuba... Salam sayang utk Arif....Mmuuuahhh...

KEK KEJU DINGIN BLUEBERRY



Salam semua... Nak cuba buat cheese kek yg simple tak? Kalau anda semua x pernah lagi buat cheese kek, cubalah buat yang ni. Kalau ikut betul-betul langkah yang saya bagi ni, mesti boleh jadi punya... Ok, kita dapatkan bahan-bahannya dulu..kemudian bolehla anda cuba buat sendiri. Selamat mencuba..


Bahan-bahan:

Lapisan tapak
  • Biskut marie (pilih perasa original) - 120gm (dihancurkan)
  • Mentega cair - 120gm
Kek
(a)
  • Telur kuning - 2 biji
  • Gula - 150gm
  • Susu (guna susu kotak eg. susu dutch lady) - 160gm
(b)
  • 2 1/2 sudu besar gelatin dilarutkan dlm 6 sudu besar air didih (kacau sehingga gelatin larut sekata)
(c)
  • Krim keju - 250gm
  • Double krim - 1250gm
(d)
  • 1/2 sudu besar jus lemon
Untuk hiasan
  • Blueberry pie filling - 250gm
  • Whipping cream @ butter cream

Cara:

Untuk lapisan tapak
  1. Cairkan mentega dgn cara letakkan mentega di dlm bekas memasak dan masak di atas api.
  2. Setelah cair, campurkan biskut marie hancur (dihancurkan dgn cara menumbuk- jangan dikisar kerana biskut akan menjadi terlalu hancur). Uli sehingga membentuk doh.
  3. Bentukkan lapisan dasar di dalam acuan bulat 9" (gunakan yg loose base). Padatkan lapisan dasar dengan menekankan jari sehingga doh betul-betul mampat.
Untuk kek
  1. Masak bahan (a) dengan menggunakan cara double boiler, kemudian ketepikan.
  2. Pukul double krim (sebentar sahaja). Kemudian pukul krim keju sehingga licin di dalam mangkuk berasingan.
  3. Setelah krim keju lembut dan licin, tambah bahan (a), (b), (d) dan double krim. Kacau sehingga rata.
  4. Tuangkan bahan kek atas biskut hancur yang telah dibentukkan sebagai lapisan dasar di dlm acuan.
  5. Sejukkan kek di dalam peti sejuk (bahagian chill) selama 4-5 jam.
Untuk menghias

  1. Setelah kek menjadi keras, keluarkan dari acuan. Caranya dgn menolak losse base ke atas dan ketepikan bahagian tepi acuan.
  2. Tuangkan blueberry pie filling di atas kek.
  3. Hiaskan bahagian tepi dengan whipping cream atau butter cream. Whipping cream yang mudah nak guna, boleh beli yang dalam tin jer...shake, kemudian spray..





Wednesday, November 3, 2010

NASI HUJAN PANAS


Salam Hafilah n rakan-rakan. Nak try resepi nasi hujan panas untuk weekend ni tak? Bila time cuti mesti nak makan lain sikit dari hari-hari biasa kan? Bolehlah cuba resepi ni..lauknya pulak anda boleh masak ayam sambal, ayam goreng berempah atau ayam masak merah..kena pulak dengan lauk dalca..memang cun..

Bahan-bahan:

  • Beras basmati - 4 cawan(pilihan saya beras mogul sbb jadi lebih lembut dan gebu)

  • Bawang besar - 2 biji (pilih yg sederhana)

  • Bawang putih - 4 biji

  • Halia - sebesar ibu jari (1/2 inci)

  • Bunga lawang - 2 kuntum

  • Kayu manis - sebatang

  • Bunga cengkih - 4 kuntum

  • Minyak sapi - 2 sudu besar

  • Mentega - 2 sudu besar

  • Gula batu - segenggam

  • Susu cair - 1 tin

  • Air - 8 cawan (gunakan cwn yg sama utk menyukat beras)

  • Daun pandan - 2 helai

  • Garam - 2 sudu kecil

  • Pewarna - merah, kuning, hijau

  • Hiasan - gajus, kismis dan badam. Gajus dan badam dibakar dlm oven dahulu atau digoreng tanpa minyak)

Cara:

  1. Panaskan periuk (kalau guna periuk nasi elektrik, panaskan je pd tempatnya). Masukkan minyak sapi dan mentega, kacau hingga semuanya cair.

  2. Masukkan pula bawang besar, putih, halia, bunga lawang, kayu manis dan cengkih. Kacau seketika hingga naik bau.

  3. Kemudian masukkan segenggam gula batu dan kacau seketika. Masukkan pula susu cair dan air. Biarkan sehingga mendidih.

  4. Setelah mendidih, masukkan beras dan garam. Kacau sedikit, letakkan daun pandan dan tutup periuk.

  5. Ketika nasi hampir masak, titikkan pewarna merah, hijau n kuning pd nasi. Jgn titikkan semua pewarna pd satu tempat yg sama... gaulkan nasi (jgn terlalu kuat krn nasi akan hancur). Korang boleh nampak nasi menjadi berwarna warni dgn warna yg bertompok-tompok.

  6. Tutup semula periuk dan biarkan nasi masak....sebelum menghidang, taburkan hiasan...

Kalau anda nak guna beras biasa pun boleh. Airnya mesti lebih secawan dari beras. Eg- 4 cawan beras, gunakan 5 cawan air. ok...selamat menjamu selera...salam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...