Followers

Monday, November 22, 2010

SOTO BIHUN

Salam sejahtera rakan-rakan semua. Hari ini saya sediakan resepi soto ayam dengan bergedil untuk anda semua cuba. Resepi sup ayam ini saya belajar dari wan saya di kampung. Wan saya tidak menggunakan rempah sup atau rempah soto. Dia menggunakan rempah kurma, dan saya sememangnya setuju dengan pilihannya kerana kuah sup lebih berasa... cubalah sendiri.

Bahan-bahan sup:
  • Ayam - 1/2 ekor
  • Bawang merah - 5 biji (kisar)
  • Bawang putih - 3 biji (kisar)
  • Halia - 1 inci (kisar)
  • Rempah kurma - 1 paket kecil (pilihan saya rempah kurma adabi)
  • Sup bunjut - 1
  • Daun bawang dan daun sup
  • Air -3 liter
  • Minyak untuk menumis
Cara membuat sup:
  1. Kecutkat ayam. Caranya, masukkan ayam di dalam periuk dan hidupkan api sederhana. Biarkan ayam seketika di dalam periuk sambil dikacau sehingga air ayam kering. Keluarkan ayam dari periuk.
  2. Tambahkan minyak masak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau. Kemudian masukkan rempah kurma, gaul rata dan campurkan air serta sup bunjut.
  3. Masukkan pula ayam dan biarkan sup mendidih, kemudian tambahkan garam secukup rasa.
  4. Akhir sekali, asingkan ayam dari sup dan siat-siat isinya. Letakkan di dalam mangkuk berasingan.
Bahan bergedil:
  • Ayam - 1 ketul isi ayam
  • Daun sup dan daun bawang - 10gm (dihir halus)
  • Ubi kentang - 2 biji
  • Bawang merah - 3 biji (dihiris)
  • Garam - 1 sudu teh
  • Telur - 1 biji (dipukul-boleh gunakan garfu)
Cara membuat bergedil:
  1. Rebus isi ayam (gunakan isi ayam sup yang telah dibuat tadi).
  2. Potong kasar ubi kentang kemudian digoreng. Selepas digoreng, lenyek ubi kentang tersebut.
  3. Gaulkan isi ayam, ubi kentang lenyek, daun bawang, daun sup, hirisan bawang merah dan garam.
  4. Bentukkan bergedil dan salutkan dengan telur yang telah dipukul. Goreng di dalam minyak panas sehingga garing.
Bahan kicap pedas:
  • Kicap (pilihan saya kicap manis cap kipas udang)
  • Limau kasturi - 1 biji (diperah dan diambil airnya)
  • Bawang putih - 1 biji
  • Cili padi - 20 biji (atau mengikut suka)
  • Garam - 1/2 sudu teh (jika anda menggunakan kicap masin, tidak perlu menambah garam)
Cara membuat kicap pedas:
  1. Campurkan kesemua bahan di dalam mesin kisar dan kisar sehingga hancur.
Bahan lain:
  • Nasi himpit - direbus awal dan disejukkan kemudian dipotong kiub. Saya memilih pek ekonomi (6 bungkus) nasi ketupat NONA, dan untuk resepi ini saya menggunakan 1 bungkus nasi ketupat.
  • Suhun - 1 paket (digoreng dengan minyak)
  • Pucuk tauhu - 1 paket (dibasuh dan digoreng dengan minyak)
  • Kacang tanah - 200gm (dibasuh dan digoreng dengan minyak)
  • Taugeh - 200gm (dibasuh dan dicelur seketika dengan air panas)
  • Bawang goreng - 1 paket kecil
Setelah siap semua bahan anda bolehlah menikmati soto bihun ini. Selamat menjamu selera....

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...