Followers

Showing posts with label KUIH. Show all posts
Showing posts with label KUIH. Show all posts

Friday, December 9, 2016

ONDE-ONDE LABU / BUAH MELAKA LABU...my style


Assalamualaikum..

Petang tadi saya dan mak mencuba satu resepi baru. Biasanya kalau ayah bawa balik labu, mesti kami buat masak lemak ataupun cekodok labu. Tetapi kali ini, kami cuba buat kuih onde-onde pula. Bila dah direbus, saya cuba rasa seketul labu tu...mak aihh manis lemak rasanya. Memang sedap betul...

Alhamdulillah..bila dah jadi ondeh-ondeh, lagilah bertambah sedapnya. Gabungan lemak manis labu, manis gula melaka asli dan lemak kelapa beserta teksturnya yang terasa lembut tetapi kasar bila digigit tu..memang best. Tak sempat sejuk pun kuih ondeh-ondeh ni dah selamat kami sekeluarga kerjakan..hihi

Korang pun boleh cuba, senang giler nak buat dan bahan-bahannya pun tak banyak..


Bahan-Bahan:

  • 1 paket tepung pulut
  • 1/2 cawan tepung beras
  • 1 biji labu
  • Gula melaka dipotong kiub kecil
  • Kelapa parut - gaulkan bersama sedikit garam halus (2-3 cubit secukup rasa)

Cara:

  • Potong dadu labu dan rebus sehingga empuk. Kemudian tapis dan sejukkan.
  • Di dalam mangkuk besar, penyekkan labu dan campurkan tepung pulut serta tepung beras sedikit demi sedikit. Gaul rata.
  • Ambil sedikit adunan, bentukkan bulat dan leperkan di atas tapak tangan.
  • Ambil sedikit gula melaka dan letakkan di tengah-tengah adunan di tapak tangan. Tutup rapat dan bentukkan bulat semula.
  • Didihkan air di dalam periuk yang sesuai. Masukkan adunan yang telah siap diletak inti gula melaka ke dalam air didih.
  • Apabila adunan tersebut telah timbul, angkat dan toskan.
  • Akhir sekali, salut ondeh-ondeh dengan kelapa parut sehingga rata. Sedia untuk dihidang.

Friday, May 20, 2011

KUIH KOCI



Selamat sejahtera semua... Ingat pagi ni nak letak resepi nasi lemak kukus yang saya buat semalam...tapi entah anak yang mana satu lah dah terdeletekan gambar nasik tu. Nasinye pun dah habis...kot tak, leh gak amek gambar lain...

Tapi takpe lah... Jom tengok resepi kuih koci... Sarapan apa sedara? Saya sarapan kuih koci...hihi...layann...


Bahan-bahan inti:
  • 1 biji kelapa parut yang tidak terlalu tua (putih sahaja)
  • 1 ketul gula melaka - dihiris
  • 1 cawan gula pasir
  • 1/2 cawan air
  • 2 helai daun pandan disiat dan disimpulakan
Cara:
  1. Di dalam periuk, satukan gula melaka, gula pasir dan air. Masak di atas api sederhana sehingga semua gula hancur.
  2. Angkat air gula dan tapiskan pula ke dalam kuali.
  3. Masukkan kelapa parut dan daun pandan ke dalam air gula. Gaul rata.
  4. Nyalakan api sederhana dan masak sehingga inti menjadi kering. Angkat dan sejukkan.


Bahan-bahan doh:
  • 250 gm tepung pulut
  • 1/2 cawan tepung pulut hitam
  • 1 1/2 cawan air
Cara:
  1. Di dalam mangkuk adunan, satukan tepung pulut dan tepung pulut hitam.
  2. Kemudian, tuang air sedikit demi sedikit dan uli adunan sehingga menjadi doh. Doh yang baik mesti tidak melekat pada mangkuk (anda boleh tambah lagi sedikit air jika tidak cukup).
  3. Bentukkan doh bulat bulat sehingga semua doh habis. Ketepikan.


Bahan-bahan lain:
  • Daun pisang - dipotong empat segi ( 5 x 5 inci)...bahagian bucu dipotong melengkung dan dilap
  • Sedikit minyak
  • 1 cawan pati santan dicampur dengan secubit garam

Cara membuat kuih koci:
  1. Ambil sehelai daun pisang dan sapukan dengan minyak pada permukaannya.
  2. Ambil sebiji doh bulat dan leperkan di atas daun pisang.
  3. Gunakan sudu besar untuk meletak inti di tengah-tengah doh leper. Kemudian, tutup doh (bentuk bulat semula).
  4. Tuangkan 1 sudu besar pati santan ke atas doh dan bungkus doh tersebut.
  5. Lakukan sehingga semua doh habis.
  6. Panaskan kukus dan susun kuih. Kukus selama 15 - 20 minit.
Selamat mencuba...




Tuesday, May 10, 2011

KUIH ABUK-ABUK SAGU



Selamat sejahtera semua...sarapan apa pagi ni? Hari ni saya nak berkongsi resepi kuih abuk-abuk. Masa mak mentua saya buat kuih ni, habis sepinggan saya makan, sebab memang dah lama tak jumpa abuk-abuk ni. Kat orang jual sarapan pagi pagi depan rumah saya ni pun tak de jual.

Sebab masih tak puas lagi makan kuih ni, tu lah saya buat sendiri. Sedap makan pagi-pagi hari sambil minum teh susu panas...hihi... Boleh la anda cuba nanti yea... Selamat mencuba...

Bahan-bahan:
  • 250 gm sagu
  • 220 gm kelapa parut - diambil yang putih sahaja
  • 1/2 sudu teh garam
  • 180 gm gula melaka - dihiris
  • Daun pisang - dipotong saiz 16cm x 28sm dan dibentukkan kon (sematkan dengan pencungkil gigi yg dipotong 3)
Cara:
  1. Basuh sagu dan letakkan di dalam tapis.
  2. Gaul bersama kelapa parut dan garam. Kemudian tambahkan sagu dan gaul rata.
  3. Ambil kon, masukkan 1 sudu besar sagu dan tekan hingga ke dasar kon.
  4. Letakkan sedikit gula melaka. Kemudian, tambahkan lagi sagu sebanyak 2 sudu besar.
  5. Tutup bahagian bawah kon dengan kemas dan susun di dalam pengukus. Lakukan langkah 3 & 4 sehingga semua adunan sagu habis.
  6. Kukus sehingga masak selama 10 - 15 minit.
P/S: Jika tidak menggunakan daun kelapa, anda juga boleh gunakan loyang untuk mengukus. Letakkan selapis adunan sagu di dasar loyang, kemudian gula melaka dan tutup dengan adunan sagu lagi. Kukus sehingga masak...

Sunday, November 7, 2010

KUIH APAM BUNGA

Salam Suhaila dan rakan-rakan. Ini kali pertama saya ingin berkongsi resepi kuih untuk anda mencuba. Agak mudah untuk menyediakannya, tetapi selain dari bahan mentah, anda perlu mendapatkan 2 bahan lain iaitu acuan dan cawan kertas (cup). Anda boleh membuat apam bunga kecil mahupun besar menggunakan resepi yang sama, cuma perlu menyediakan acuan dan cup mengikut pilihan anda.

Ini dia acuan yang saya gunakan. Acuan ini bersaiz kecil. Anda boleh mendapatkannya di kedai yang menjual bahan membuat kek dengan harga RM2.00/12pcs. Sekarang kita lihat pula bahan-bahan lain yang diperlukan, seterusnya cara membuat.

Bahan-bahan:
  • Tepung gandum - 370gm

  • Gula - 500gm

  • Telur - 3 biji

  • Ovallete - 1 sudu besar

  • Aiskrim soda - 250ml (pilihan saya FnN kerana lebih bergas)

  • Pewarna - ikut suka (pilihan saya pink dan oren)

Cara:

  1. Satukan kesemua bahan di dalam mangkuk pembancuh, kecuali aiskrim soda dan pewarna.

  2. Putar sehingga rata (jangan bimbang jika adunan agak pekat).

  3. Tambahkan aiskrimsoda dan putar lagi sehingga sebati (anda akan dapat lihat lapisan atas adunan tersebut berbuih-buih).

  4. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian. Titikkan pewarna pilihan anda dan gaul sedikit (tidak perlu digaul rata supaya kelihatan corak warna yang bertona).

  5. Letakkan cup ke dalam acuan dan sudukan adunan ke dalamnya. Letak sehingga penuh cup.

  6. Akhir sekali, kukus selama 12 minit (untuk apam bersaiz kecil- masa mengukus menjadi lebih panjang bg apam yang bersaiz lbh besar). Ulang langkah 5 dan 6 sehingga selesai.

Selamat mencuba....
















Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...