Followers

Thursday, March 17, 2011

INFO INFO - ANEKA TEPUNG DAN KEGUNAANNYA

Ada pelbagai jenis tepung yang terdapat di pasaran sekarang. Bagi mereka yang biasa membuat kuih, pasti anda tidak mempunyai banyak masalah ketika memilih tepung yang sesuai. Sebenarnya, saya selalu mencuba resepi-resepi baru samaada saya menciptanya sendiri, belajar dari rakan, saudara mara, melalui buku resepi, majalah, menghadiri kelas, malahan melalui blog-blog masakan. Selain daripada sukatan dan cara, saya akan pastikan saya menggunakan bahan yang tepat seperti di dalam resepi.
Seperti yang saya katakan pada awalnya, terdapat pelbagai jenis tepung yang biasa digunakan dalam masakan. Tepung ini, walaupun rupanya hampir sama tetapi sudah tentu mempunyai peranan yang berbeza bagi meningkatkan mutu dan rasa masakan anda. Di sini, saya ada menyediakan beberapa info berkaitan tepung yang biasa kita jumpa di dalam resepi beserta kegunaannya. Di harap ia dapat menjadi panduan yang berguna untuk kita semua...

1. TEPUNG SERBAGUNA
Tepung serbaguna adalah tepung yang paling biasa kita jumpa di dalam resepi masakan. Secara lazimnya, kita boleh menggunakan tepung gandum biasa sebagai ganti kerana mudah didapati di pasaran.

2. TEPUNG BERPROTEIN TINGGI (HIGH PROTEIN)
Tepung ini juga biasanya dikenali sebagai tepung roti kerana digunakan untuk membuat roti. Tepung berprotein tinggi mempunyai daya menganjal yang agak tinggi, oleh itu ia menjadi lebih sempurna apabila diadun dengan yis dalam pembuatan roti.

3. TEPUNG BERPROTEIN RENDAH
Tepung ini biasanya digunakan dalam pembuatan pau. Saya juga pernah menggunakannya untuk membuat kuih bahulu dan mendapat hasil bahulu yang lembut dan gebu.

4. TEPUNG GANDUM
Ini adalah tepung yang paling mudah didapati di pasaran dan paling selalu ditemui di dalam resepi. Fungsinya adalah sama seperti tepung serbaguna.

5. TEPUNG CREAMER
Creamer adalah seperti susu (berlemak tambahan) yang biasa dicampur dengan teh atau nescafe. Untuk resepi yang menggunakan susu, anda boleh juga menggantikannya dengan bancuhan creamer.

6. TEPUNG NAIK SENDIRI
Tepung naik sendiri mempunyai kandungan serbuk penaik (baking powder) di dalamnya. Anda boleh menggantikan tepung ini dengan tepung gandum atau tepung serbaguna. Ayakkan 250gm tepung bersama 1 sudu makan serbuk penaik sebanyak 3 kali. Hasilnya, sama seperti tepung naik sendiri.

7. TEPUNG ROS
Tepung ros biasa digunakan di dalam resepi biskut. Tepung ini mengandungi bahan tepung jagung yang boleh merangupkan biskut. Ada juga terdapat resepi yang memerlukan anda menggunakan tepung jagung bersama tepung ros. Anda hanya perlu mengikut sukatan yang disyorkan dan hasilnya adalah lebih baik daripada tepung gandum biasa.

8. TEPUNG HONG KONG
Tepung ini juga biasa dikenali sebagai Water Lily Flour, iaitu sejenis tepung yang sangat putih dan seringkali juga digunakan untuk membuat pau. Tepung jenis ini tidak tahan lama kerana senang berkutu atau berkulat. Jika anda sukar untuk mendapatkan tepung Hong Kong ini, boleh menggantikannya dengan tepung pau (antaranya jenama Blue Key) yang lebih mudah di dapati di pasaran.

9. TEPUNG PULUT
Tepung pulut dihasilkan dengan teknologi moden sehingga semua kandungan khasiat yang ada pada beras tidak hilang. Tepung ini mengandungi 100 peratus beras merah asli. Maksud beras merah adalah beras yang tidak dibuang bahagian merah pada mata padinya. Selain kaya dengan vitamin E dan B serta mudah dicerna, pengidap penyakit kencing manis dan ibu mengandung sesuai mengamalkan pengambilannya.

10. TEPUNG OPTIMA
Tepung optima adalah sejanis yang mengandungi kandungan gula di dalamnya dan sesuai digunakan untuk membuat kek keju. Bagaimanapun penggunaan sebagi pilihan anda boleh menggantikannya dengan tepung serbaguna, tepung kastard atau tepung jagung. Anda hanya perlu mengikut ukuran seperti terdapat pada resepi.

11. TEPUNG GANDUM TULEN
Tepung ini mempunyai serat gandum yang tidak hancur, oleh itu ia tidak boleh diayak. Tepung gandum tulen tidak sesuai untuk membuat roti atau kek kerana hasilnya agak berat.

12. TEPUNG HOEN KWEE
Bagi sesetengah masyarakat, tepung ini biasa digunakan dalam resepi kuih muih mereka. Di pasaran, tepung ini biasa dijual dalam pelbagai bungkusan dan warna. Warna bungkusan biasanya mewakili warna tepung itu sendiri. Anda hanya perlu memilih warna yang tepat untuk resepi kuih anda.

13. TEPUNG KASTARD
Tepung kastard mempunyai bau yang wangi dan biasa digunakan untuk membuat kastard dan kek keju. Tepung ini akan menjadikan tekstur kek lebih rapat dan gebu. Anda boleh menggantikan tepung kastard dengan tepung gandum, ataupun menggantikan resepi tepung gandum dengan tepung kastard jika suka.

14. TEPUNG UBI
Tepung ubi ataupun tepung ubi kayu adalah juga tepung kanji. Tepung ini biasanya digunakan sedikit sahaja di dalam resepi untuk meliatkan adunan. Ada juga sesetengah resepi menggantikannya dengan tepung sagu.

15. TEPUNG JAGUNG
Tepung jagung digunakan untuk memekatkan adunan. Biasanya tepung ini juga digunakan untuk memekatkan kuah mi atau sos.

CASHEWNUTS ICE-CREAM COOKIES

Salam semua... mulai hari ini saya akan perbanyakkan entri resepi biskut raya. Sebab saya memang menjual biskut raya, dan kebiasaannya waktu-waktu begini saya memang sedang sibuk mencari dan mencuba resepi-resepi baru untuk menambah kepada koleksi biskut raya saya. Tahun ini pula seawal bulan 5 saya perlu menyediakan biskut raya untuk dihantar ke beberapa jabatan kerajaan. Dan ini merupakan tahun pertama saya berkongsi resepi biskut raya di blog...Selamat mencuba kepada anda semua...

Bahan-bahan:

Bahan (A)
  • 120 gm mentega
  • 120 gm gula aising
  • 1/8 sudu teh pewarna kuning telur
Bahan (B) - diayak bersama
  • 320 gm tepung gandum
  • 40 gm tepung jagung
  • 40 gm tepung kentang
  • 20 gm tepung kastard
  • 1/2 sudu teh serbuk penaik
  • 50 gm gajus - panggang dan kisar
Bahan (C)
  • Kuning telur - untuk disapu di atas biskut sebelum dibakar
Cara:
  1. Di dalam mangkuk adunan, pukul mentega, gula aising dan pewarna kuning telur sehingga kembang.
  2. Masukkan pula bahan-bahan (B) dan gaul sebati sehingga menjadi doh.
  3. Rehatkan doh selama 15 minit dan canai (gelek dengan penggelek). Kemudian terap doh menggunakan penerap berbentuk aiskrim.
  4. Susun di dalam dulang pembakar. Kemudian sapukan kuning telur di atas permukaan dan bakar pada suhu 150 darjah celsius selama 15 - 20 minit. Sejukkan biskut.
Bahan hiasan:
  • Coklat masakan
  • Starflakes
  • Colourful rice
  • Atau sebarang sugar deco...
  • Kertas surih / kertas minyak
Cara:
  1. Masak coklat masakan secara double boile.
  2. Celupkan bahagian atas biskut (bahagian aiskrim) dengan coklat. Letakkan di atas kertas.
  3. Taburkan hiasan mengikut suka...

Monday, March 14, 2011

KEK PISANG

Bahan-bahan:
  • 200 gram pisang (pisang emas atau berangan)
  • 150 gram gula halus
  • 4 biji telur (gunakan telur saiz B)
  • 10 gram emulsifier kek (ovallet)
  • 250 gram tepung kek
  • 1 1/2 sudu teh baking soda
  • 1/2 sudu teh baking powder
  • 125 ml susu (boleh gunakan susu kotak atau bancuhan susu tepung)
  • 100ml minyak masak
Cara:
  1. Ayak tepung bersama baking soda dan baking powder. Ketepikan.
  2. Di dalam mangkuk adunan, lenyekkan pisang. Kemudian campurkan gula dan telur, dan pukul sehingga bergaul rata.
  3. Tambahkan pula emulsifier kek dan pukul lagi sehingga 5 - 6 minit sehingga kembang.
  4. Masukkan adunan tepung secara berselang seli dengan susu dan pukul perlahan sehingga adunan sebati.
  5. Akhir sekali tambahkan minyak dan pukul sehingga adunan bergaul rata.
  6. Tuang adunan di dalam 2 acuan panjang 9"x4"x3", atau acuan 4 segi yang sesuai dan telah digris dengan mentega.
  7. Bakar pada suhu 200 darjah celsius selama 35 minit atau sehingga kek masak.
Selamat mencuba...

TAT TELUR (EGG TARTS)


Bahan-bahan pastri:
  • 250 gram tepung gandum
  • 60 gram gula ising
  • 125 gram mentega
  • 1 telur kuning (yolk)
  • 1/2 sudu teh esen vanilla
  • 1 sudu besar air
Cara:
  1. Ayak tepung 3 kali dan campurkan bersama gula ising di dalam mangkuk adunan. Gaul rata.
  2. Masukkan mentega dan gaul adunan sehingga membentuk 'crumbs'.
  3. Tambahkan kuning telur, esen vanilla dan air. Gaul rata sehingga adunan membentuk doh.
  4. Tutup bekas dengan plastik dan sejukkan selama 20 minit di dalam peti sejuk.
  5. Setelah dikeluarkan dari peti sejuk, bentukkan pastri. Caranya tekan doh ke dalam mould tat (jangan terlalu nipis, dan jangan pula terlalu tebal). Potong lebihan doh yang terkeluar dari mould dengan menggunakan pisau kecil.
  6. Setelah itu, cucuk dasar doh dengan pencungkil gigi sebanyak 2 lubang.
  7. Setelah habis adunan, bakar pada suhu 180 darjah celsius selama 10-15 minit. Jika pastri telah benar-benar masak, pastri akan mudah keluar daripada doh apabila mould diterbalikkan. Ketepikan pastri dan dibiar sejuk.
Bahan-bahan inti telur/kastard:
  • 250ml air
  • 125 gram gula
  • 5 biji telur
  • 100 gram susu sejat (pilihan saya susu Ideal)
Cara:
  1. Campurkan air dengan gula dan masak sehingga semua gula hancur. Kemudian biarkan sejuk.
  2. Setelah air gula sejuk, campurkan bersama telur dan susu. Gaul rata dan tapiskan bahan kasar yang tidak larut serta buihnya.
  3. Tuang inti kastard ke dalam kulit tat (pastri) yang telah disejukkan.
  4. bakar pada suhu 180 darjah celsius selama 20 minit.
Selamat mencuba...


TAT KEJU BLUEBERRY (BLUEBERRY CHEESE TART)

Salam semua... Untuk resepi tat ini, saya sediakan resepi pastri yang sesuai digunakan untuk tat keju, tat telur, tat badam blueberry, tat kacang hazel, tat buah-buahan dan tat coklat. Bahan lain yang perlu anda sediakan adalah mould tat. Ada pelbagai corak tepi mould tat dan saiz yang boleh dibeli di kedai menjual bahan kek. Setelah mendapatkan mould yang anda suka, bolehlah mencuba resepi ini...

Bahan-bahan pastri:
  • 250 gram tepung gandum
  • 60 gram gula ising
  • 125 gram mentega
  • 1 telur kuning (yolk)
  • 1/2 sudu teh esen vanilla
  • 1 sudu besar air
Cara:
  1. Ayak tepung 3 kali dan campurkan bersama gula ising di dalam mangkuk adunan. Gaul rata.
  2. Masukkan mentega dan gaul adunan sehingga membentuk 'crumbs'.
  3. Tambahkan kuning telur, esen vanilla dan air. Gaul rata sehingga adunan membentuk doh.
  4. Tutup bekas dengan plastik dan sejukkan selama 20 minit di dalam peti sejuk.
  5. Setelah dikeluarkan dari peti sejuk, bentukkan pastri. Caranya tekan doh ke dalam mould tat (jangan terlalu nipis, dan jangan pula terlalu tebal). Potong lebihan doh yang terkeluar dari mould dengan menggunakan pisau kecil.
  6. Setelah itu, cucuk dasar doh dengan pencungkil gigi sebanyak 2 lubang.
  7. Setelah habis adunan, bakar pada suhu 180 darjah celsius selama 10-15 minit. Jika pastri telah benar-benar masak, pastri akan mudah keluar daripada doh apabila mould diterbalikkan. Ketepikan pastri dan dibiar sejuk.
Bahan-bahan inti:
  • 250 gram krim keju
  • 20 gram mentega
  • 60 gram gula halus
  • 1 biji telur
  • Jem blueberry
Cara:
  1. Pukul krim keju, mentega dan gula sehingga kembang. Kemudian tambah telur dan pukul sehingga sebati.
  2. Tuang adunan ke dalam pastri yang telah dimasak (separuh). Kemudian letak sedikit jem blueberry. Tuang lagi adunan di atas jem sehingga penuh pastri.
  3. Setelah selesai, letak sedikit jem blueberry di atas tat dan bentukkan corak dengan pencungkil gigi.
  4. Bakar pada suhu 180 darjah celsius selama 10 minit.
Selamat menjamu selera...

Sunday, March 13, 2011

ROTI MANIS (BAN MANIS/ SWEET BUN)


Salam semua... Anda pernah mencuba buat roti sendiri di rumah? Hari ini saya ingin berkongsi resepi roti yang biasa saya sediakan untuk keluarga saya. Sebenarnya ada 2 resepi yang biasa saya gunakan... 1 resepi yang saya gunakan untuk roti dimakan di rumah, dan 1 lagi resepi yang mempunyai cara penyediaan agak rumit dan saya hanya gunakan untuk membuat kelas roti dan untuk tempahan sahaja. Ini cara yang mudah dan selain dari membuat ban kosong, anda boleh juga gunakan resepi yang sama untuk buat ban berinti seperti sardin, sambal bilis, mini piza, keju dan pelbagai lagi mengikut kreativiti masing-masing.

Bahan-bahan:
  • 500 gram tepung roti
  • 1 biji telur (dipecahkan dan ditimbang 65 gram, tetapi jika berat telur tidak sampai 65gm anda boleh menambah air masak sehingga mencapai berat tersebut)
  • 75 gram gula halus
  • 10 gram soft pro (pembaik roti) - jika anda membeli bahan di Melaka, ada kedai yang menjualnya dengan nama magic.
  • 5 gram garam
  • 210 ml air
  • 10 gram yis (saya gunakan jenama mauripan)
  • 45 gram susu pekat manis
  • 60gm lelemak sayuran (shortening)
Cara:
  1. Jika anda tidak mempunyai mesin pengadun roti, anda boleh menggunakan tangan untuk mengadun. Mula-mula campurkan semua bahan di dalam mangkuk pengadun kecuali lelemak sayuran. Adun dengan pemukul 'hook' selama 3 minit. Jika mengadun menggunakan tangan, adun sehingga semua bahan bergaul rata dan membentuk doh.
  2. Tambahkan lelemak sayuran dan adun lagi selama 10 minit atau sehingga adunan berbentuk elastik dan tidak mudah putus bila diregangkan.
  3. Tutup mangkuk adunan dengan plastik dan rehatkan adunan selama 10 minit.
  4. Kemudian bahagikan adunan 60gm setiap satu dan bentukkan bulat bulat sehingga adunan habis.
  5. Akhir sekali bentukkan adunan mengikut suka dan letakkan ke dalam loyang yang telah digris dengan mentega. Doh hendaklah diletakkan jarak jarak diantara satu sama lain kerana ia akan mengembang. Biarkan doh selama 2 jam. (jangan dikacau atau dialihkan doh semasa proses kerana doh yang telah kembang akan jatuh dan kemik)
  6. Jika anda ingin meletakkan inti, selepas proses 4, lempengkan (gelek) doh 60gm tersebut kemudian letakkan inti diatasnya dan balut semula doh menjadi bentuk bulat. Pastikan bahagian bawah doh benar-benar rapat supaya inti tidak terkeluar. Lakukan pula proses 5.
  7. Jika anda menggunakan oven yang kecil, anda memerlukan loyang yang banyak untuk membakar kerana semua doh akan mengembang serentak. Oleh itu anda perlu menyusun doh (proses 5) sehingga semua doh habis dan tidak boleh mengalihkannya selepas proses itu.
  8. Akhir sekali bakar pada suhu 180 darjah celcius selama 15 - 20 minit.
Selamat mencuba...

KEK OREO KUKUS

Salam semua... Kek oreo kukus ni saya cuba-cuba buat sebab dah selalu sangat buat kek coklat. Perbezaan ketara yang saya mula-mula nampak ialah warnanya...kalau kek coklat warnanya coklat, tapi bila saya gunakan biskut oreo, warnanya lebih hitam. Tapi jangan bimbang, sebab rasanya tetap sedap...Oleh kerana ini percubaan pertama saya, jadi saya cuma guna adunan 2 biji telur je. Kalau anda nak buat kek yang lebih besar, boleh lah gandakan adunan. Tetapi kukusnya juga harus besar ya...

Bahan-bahan:
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 sudu teh baking powder
  • 2 biji telur
  • 1 cawan gula kastor
  • 1/2 cawan mentega
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • 100 gram biskut oreo dibuang inti dan dikisar
  • 125 ml susu dipanaskan sebentar ( boleh gunakan susu kotak ataupun bancuhan susu tepung)
  • 2 sudu besar susu pekat manis
  • 1/4 cawan minyak masak
Cara:
  1. Ayak tepung bersama baking powder, kemudian campurkan oreo kisar dan gaul rata. Ketepikan.
  2. Di dalam mangkuk adunan, pukul telur, gula dan mentega sehingga kembang. Kemudian masukkan adunan tepung sedikit demi sedikt sambil dikaup balikkan. (tak perlu pukul)
  3. Masukkan susu suam, susu pekat dan minyak masak. Pukul sebentar cukup sehingga adunan bergaul rata sahaja.
  4. Masukkan adunan ke dalam loyang yang telah digris dengan mentega dan dialas kertas. Kukus selama 45 minit.
Bahan toping:
  • 4 sudu besar susu pekat manis
  • 60 gram biskut oreo dibuang inti dan dikisar
  • 2 sudu besar mentega
  • 2 sudu besar air masak
Cara:
  1. Campur semua bahan didalam mangkuk yang sesuai dan masak secara double boiler.
  2. Setelah kek sejuk, bolehlah curahkan toping dan hias mengikut suka.
Selamat mencuba...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...