Followers

Thursday, March 17, 2011

INFO INFO - ANEKA TEPUNG DAN KEGUNAANNYA

Ada pelbagai jenis tepung yang terdapat di pasaran sekarang. Bagi mereka yang biasa membuat kuih, pasti anda tidak mempunyai banyak masalah ketika memilih tepung yang sesuai. Sebenarnya, saya selalu mencuba resepi-resepi baru samaada saya menciptanya sendiri, belajar dari rakan, saudara mara, melalui buku resepi, majalah, menghadiri kelas, malahan melalui blog-blog masakan. Selain daripada sukatan dan cara, saya akan pastikan saya menggunakan bahan yang tepat seperti di dalam resepi.
Seperti yang saya katakan pada awalnya, terdapat pelbagai jenis tepung yang biasa digunakan dalam masakan. Tepung ini, walaupun rupanya hampir sama tetapi sudah tentu mempunyai peranan yang berbeza bagi meningkatkan mutu dan rasa masakan anda. Di sini, saya ada menyediakan beberapa info berkaitan tepung yang biasa kita jumpa di dalam resepi beserta kegunaannya. Di harap ia dapat menjadi panduan yang berguna untuk kita semua...

1. TEPUNG SERBAGUNA
Tepung serbaguna adalah tepung yang paling biasa kita jumpa di dalam resepi masakan. Secara lazimnya, kita boleh menggunakan tepung gandum biasa sebagai ganti kerana mudah didapati di pasaran.

2. TEPUNG BERPROTEIN TINGGI (HIGH PROTEIN)
Tepung ini juga biasanya dikenali sebagai tepung roti kerana digunakan untuk membuat roti. Tepung berprotein tinggi mempunyai daya menganjal yang agak tinggi, oleh itu ia menjadi lebih sempurna apabila diadun dengan yis dalam pembuatan roti.

3. TEPUNG BERPROTEIN RENDAH
Tepung ini biasanya digunakan dalam pembuatan pau. Saya juga pernah menggunakannya untuk membuat kuih bahulu dan mendapat hasil bahulu yang lembut dan gebu.

4. TEPUNG GANDUM
Ini adalah tepung yang paling mudah didapati di pasaran dan paling selalu ditemui di dalam resepi. Fungsinya adalah sama seperti tepung serbaguna.

5. TEPUNG CREAMER
Creamer adalah seperti susu (berlemak tambahan) yang biasa dicampur dengan teh atau nescafe. Untuk resepi yang menggunakan susu, anda boleh juga menggantikannya dengan bancuhan creamer.

6. TEPUNG NAIK SENDIRI
Tepung naik sendiri mempunyai kandungan serbuk penaik (baking powder) di dalamnya. Anda boleh menggantikan tepung ini dengan tepung gandum atau tepung serbaguna. Ayakkan 250gm tepung bersama 1 sudu makan serbuk penaik sebanyak 3 kali. Hasilnya, sama seperti tepung naik sendiri.

7. TEPUNG ROS
Tepung ros biasa digunakan di dalam resepi biskut. Tepung ini mengandungi bahan tepung jagung yang boleh merangupkan biskut. Ada juga terdapat resepi yang memerlukan anda menggunakan tepung jagung bersama tepung ros. Anda hanya perlu mengikut sukatan yang disyorkan dan hasilnya adalah lebih baik daripada tepung gandum biasa.

8. TEPUNG HONG KONG
Tepung ini juga biasa dikenali sebagai Water Lily Flour, iaitu sejenis tepung yang sangat putih dan seringkali juga digunakan untuk membuat pau. Tepung jenis ini tidak tahan lama kerana senang berkutu atau berkulat. Jika anda sukar untuk mendapatkan tepung Hong Kong ini, boleh menggantikannya dengan tepung pau (antaranya jenama Blue Key) yang lebih mudah di dapati di pasaran.

9. TEPUNG PULUT
Tepung pulut dihasilkan dengan teknologi moden sehingga semua kandungan khasiat yang ada pada beras tidak hilang. Tepung ini mengandungi 100 peratus beras merah asli. Maksud beras merah adalah beras yang tidak dibuang bahagian merah pada mata padinya. Selain kaya dengan vitamin E dan B serta mudah dicerna, pengidap penyakit kencing manis dan ibu mengandung sesuai mengamalkan pengambilannya.

10. TEPUNG OPTIMA
Tepung optima adalah sejanis yang mengandungi kandungan gula di dalamnya dan sesuai digunakan untuk membuat kek keju. Bagaimanapun penggunaan sebagi pilihan anda boleh menggantikannya dengan tepung serbaguna, tepung kastard atau tepung jagung. Anda hanya perlu mengikut ukuran seperti terdapat pada resepi.

11. TEPUNG GANDUM TULEN
Tepung ini mempunyai serat gandum yang tidak hancur, oleh itu ia tidak boleh diayak. Tepung gandum tulen tidak sesuai untuk membuat roti atau kek kerana hasilnya agak berat.

12. TEPUNG HOEN KWEE
Bagi sesetengah masyarakat, tepung ini biasa digunakan dalam resepi kuih muih mereka. Di pasaran, tepung ini biasa dijual dalam pelbagai bungkusan dan warna. Warna bungkusan biasanya mewakili warna tepung itu sendiri. Anda hanya perlu memilih warna yang tepat untuk resepi kuih anda.

13. TEPUNG KASTARD
Tepung kastard mempunyai bau yang wangi dan biasa digunakan untuk membuat kastard dan kek keju. Tepung ini akan menjadikan tekstur kek lebih rapat dan gebu. Anda boleh menggantikan tepung kastard dengan tepung gandum, ataupun menggantikan resepi tepung gandum dengan tepung kastard jika suka.

14. TEPUNG UBI
Tepung ubi ataupun tepung ubi kayu adalah juga tepung kanji. Tepung ini biasanya digunakan sedikit sahaja di dalam resepi untuk meliatkan adunan. Ada juga sesetengah resepi menggantikannya dengan tepung sagu.

15. TEPUNG JAGUNG
Tepung jagung digunakan untuk memekatkan adunan. Biasanya tepung ini juga digunakan untuk memekatkan kuah mi atau sos.

2 comments:

Gimi said...

tepung bedak sejuk

EiyraMeseJi said...

Thank you.. it was good information thou..:-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...