Followers

Wednesday, January 25, 2017

SITI KHADIJAH BINTI KHUWAILID - sebaik-baik wanita penghuni syurga




Siti Khadijah binti Khuwailid merupakan isteri pertama Nabi Muhammad SAW, wanita pertama yang mempercayai risalah Rasulullah, dan wanita pertama yang melahirkan putera-puteri Rasulullah. Dia merelakan harta benda yang dimilikinya untuk kepentingan jihad di jalan Allah. Dialah juga orang pertama yang mendapat khabar gembira bahawa dirinya adalah ahli surga.
.
Nama lengkapnya adalah Siti Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushai. Khadijah al-Kubra, anak perempuan dari Khuwailid bin Asad dan Fatimah binti Za'idah, berasal dari kabilah Bani Asad dari suku Quraisy. Khadijah lahir di Mekah pada 556 Masihi.
.
Ketika bernikah dengan Rasulullah, usia Khadijah ialah 40 tahun dan Rasulullah 25 tahun. Khadijah benar-benar telah jatuh hati dan terpikat terhadap Rasulullah dan telah menyebabkan hatinya terbuka untuk mendirikan rumah tangga walaupun dengan seorang pemuda yang tidak punya apa-apa ketika itu.
.
Malah dikatakan perasaan beliau terhadap Rasulullah itu tidak boleh ditahan-tahan atau dihalang-halang lagi sehingga beliau berkata:
“Jika segala kenikmatan hidup diserahkan kepadaku, dunia dan kekuasaan para raja Iran (Parsi) dan Romawi diberikan kepadaku, tetapi aku tidak hidup bersama Muhammad, maka semua itu bagiku tidak lebih berharga daripada sebelah sayap seekor nyamuk.”
.
Perkahwinan Khadijah dengan Rasulullah dikurniai dengan dua orang putera dan empat orang puteri; Qasim, Abdullah, Zainab, Ruqaiyah, Ummu Kalthum, dan Fatimah (Fatimah az-Zahra). Fatimah kemudiannya berkahwin dengan Ali bin Abi Talib, manakala Ruqaiyah berkahwin dengan Uthman bin Affan. Setelah Ruqaiyah meninggal dunia, Ummu Kalthum pula diperisterikan oleh Uthman. Manakala Qasim dan Abdullah meninggal dunia semasa masih kecil.
.
Khadijah mendampingi Nabi Muhammad SAW dengan setia selama dua puluh empat tahun. Khadijah terus menemani Rasulullah, baik saat sedih mahupun bahagia. Dalam masa pernikahannya, selama 5 tahun Nabi Muhammad SAW sering kali bertafakur atau merenung dan bermunajat (mendekatkan diri kepada Allah) di Gua Hira. Rasulullah pergi ke Gua Hira dengan membawa bekal. Saat bekalnya telah habis, Rasulullah akan kembali ke rumahnya. Sekalipun demikian, Khadijah tidak pernah mengeluh dan tetap melayani Rasulullah dengan baik dan penuh kasih sayang.
.
Setelah mendapatkan wahyu pertama dari Allah, Nabi Muhammad SAW pulang dalam keadaan badan menggigil ketakutan. Khadijah pun berusaha menenangkannya. “Selimuti aku!…., Selimuti aku!…, “ seru Rasulullah kepada Khadijah. Demi melihat keadaan yang seperti itu, tidaklah membuat Khadijah menjadi panik. Kemudian diselimuti dan ditenangkan perasaan suaminya. Rasullullah pun segera menceritakan pada isterinya, kini tanpa disedarinya, tahulah dia bahawa suaminya adalah utusan Allah subhanahu wa ta’ala.
.
Dengan tenang dan lemah lembut, Khadijah berkata : ”Wahai putera pakcikku, Demi Allah, dia tidak akan menghinakanmu selama-lamanya. Kerana sesungguhnya engkau termasuk orang yang selalu menyambung tali persaudaraan, berkata benar, setia memikul beban, menghormati dan suka menolong orang lain”. Tutur kata manis dari isterinya menjadikan Rasulullah lebih percaya diri dan tenang.
.
Khadijah adalah orang pertama yang memeluk agama Islam. Selama Rasulullah berdakwah, Khadijah selalu memberikan sokongan. Tidak hanya sokongan moral, tetapi juga sokongan yang berupa harta benda. Selama mendampingi Nabi Muhammad SAW, Khadijah menjadi satu-satunya isteri Rasulullah hinggalah dia meninggal dunia. Kesetiaan Khadijah dibalas oleh Rasulullah dengan memberi cinta yang tiada terkira.
.
Nabi Muhammad SAW juga pernah mengatakan bahawa Khadijah adalah wanita yang terbaik. Rasulullah bersabda,
“Dia telah percaya dan beriman kepadaku di saat orang lain masih dalam kebimbangan. Dia telah membenarkan aku di saat orang lain mendustakanku. Dia telah mengorbankan semua harta bendanya ketika orang lain mencegah kemurahannya terhadapku. Dia telah melahirkan beberapa putera-puteri yang tidak aku dapatkan dari isteri-isteri yang lain”.
.
Khadijah berada pada kedudukan yang lebih utama dibandingkan para sahabat yang memeluk agama Islam pada awalnya. Penyebabnya adalah sikap Khadijah yang pertama kali beriman dengan ajaran Nabi Muhammad SAW lebih agung dari pada sikap para sahabat yang mendukung dakwah Rasulullah sesudah itu. Setelah itu, Khadijah selalu menenangkan dan menghibur Rasulullah saat bersedih, membantunya dalam berdakwah, merasakan penderitaan saat jihad, dan menolong Rasulullah dengan harta dan jiwanya. Untuk itu, Allah SWT menjadikan Khadijah sebagai penghuni syurga.
.
Khadijah jatuh sakit dan meninggal dunia setelah kaum kafir Quraisy memulaukan Nabi Muhammad SAW dan pengikutnya. Khadijah sakit kuat akibat beberapa tahun menderita kelaparan dan kehausan kerana pemulauan itu. Pada usia enam puluh lima tahun Khadijah telah meninggal dunia. Khadijah dikuburkan di dataran tinggi Mekah, yang dikenal dengan sebutan al-Hajun. Rasulullah sendiri yang mengurus jenazah isterinya dan kalimat terakhir yang beliau ucapkan ketika melepas pemergian Siti Khadijah Binti Khuwailid adalah:
“Sebaik-baik wanita penghuni surga adalah Maryam binti Imran dan Khadijah binti Khuwailid.
.
#SirahRasulullah
#IsteriPertamaNabiMuhammadSAW
#LumiereBeauty
#RealBeautyShine

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...