Followers

Sunday, November 14, 2010

NASI KERABU

Salam sejahtera semua. Kali ini apa kata kalau anda mencuba resepi yang agak rumit sedikit. Saya nak berkongsi resepi nasi kerabu yang saya pelajari dari seorang rakan yang berasal dari Kelantan. Nasi kerabu ni merupakan makanan popular dari Negeri Cik Siti Wan Kembang ni. Saya mula pandai makan nasi kerabu ni semenjak diperkenalkan oleh rakan saya yang menjual sarapan pagi berdekatan rumah saya. Kali pertama mencuba, saya terus sukakannya...Dek kerana sukakan rasanya, saya belajar memasaknya sendiri. Semenjak dah pandai buat sendiri ni, selalu juga saya masak nasi kerabu untuk hidangan keluarga saya. Sesuai dimakan untuk sarapan ataupun makan tengah hari. Ok lah, anda sediakan dulu bahan-bahannya, kemudian bolehlah mencuba...

(a) Nasi
Bahan-bahan:
  • Beras - 4 cawan
  • Air - 4 cawan
  • Pewarna
  • Serai - 1 tangkai (diketuk)
  • Daun limau purut - 2 helai (disiat sedikit)
Cara memasak nasi:
  1. Basuh beras dan isi air bersama beras di dalam periuk nasi.
  2. Tambahkan pewarna (sedikit sahaja). Gaul supaya warna menjadi rata. Tambahkan serai dan limau purut. Masak seperti biasa.
Fakta mengenai warna nasi kerabu:
Asalnya warna nasi kerabu menjadi biru kerana dicampur dengan air sejenis bunga. Dibawah saya sertakan gambar bunga yang saya maksudkan. Beberapa kuntum bunga ini dikisar bersama air. Kemudian ditapis dan airnya digunakan untuk memasak nasi kerabu.
Oleh kerana saya tidak dapat mencari bunga diatas, saya menggunakan pewarna makanan. Pewarna ini memang khas untuk makanan yang bewarna biru seperti nasi kerabu. Ianya antara pewarna yang sering digunakan oleh peniaga nasi kerabu. Pewarna ini saya dapat dari seorang rakan yang tinggal di Kelantan.



Anda juga boleh menggunakan kunyit sebagai ganti pewarna biru. Campurkan sedikit kunyit bersama air dan beras. Oleh itu nasi akan menjadi bewarna kuning.

(b) Sambal kelapa


Bahan-bahan:
  • Kelapa - 1/2 biji
  • Ikan kembong - 1 ekor
  • Serai - 1 batang
  • Bawang merah - 4 biji
  • Bawang putih - 2 biji
  • Halia - 1/2 inci
  • Lada hitam - 15 biji
  • Gula melaka
  • Garam - 1 sudu teh
Cara memasak sambal kelapa:
  1. Rebus ikan dengan air yang sedikit. Setelah masak, keluarkan isi ikan dan tumbuk lumat.
  2. Kisar serai, bawang merah, bawang putih dan serai. Lada hitam pula ditumbuk sehingga hancur.
  3. Goreng kelapa tanpa minyak sehingga bewarna coklat. (jangan berhenti mengacau kerana kelapa akan mudah hangus)
  4. Kemudian, campurkan isi ikan, bahan kisar, lada hitam, gula merah dan garam. Gaul sehingga semuanya rata. Kacau seketika lagi sehingga masak.
(c) Solok lada
Bahan-bahan:
  • Lada hidup - 7 batang (pilih lada bewarna hijau, gemuk dan lurus)
  • Ikan kembung - 1 ekor
  • Bawang merah - 4 biji
  • Bawang putih - 2 biji
  • Halia - 1/2 inci
  • Kelapa - 2 genggam
  • Garam - 1 sudu teh
  • Santan - perah santan dari 1/2 biji kelapa
Cara memasak solok lada:
  1. Basuh lada dan belah untuk disumbat inti. Ketepikan.
  2. Kemudian ambil isi ikan kembong dan ditumbuk lumat. (ikan tidak perlu direbus dahulu)
  3. Setelah itu tumbuk atau kisar bawang merah, bawang putih dan halia. Gaulkan bersama isi ikan, kelapa dan garam.
  4. Sumbatkan bahan tadi ke dalam lada yang telah dibelah. Susun di dalam periuk.
  5. Kemudian tuangkan santan ke dalam periuk. (Santan tidak perlu terlalu banyak, sekadar supaya lada terendam di dalamnya)
  6. Rebus selama 15 minit.

(d) Sambal cuka



Bahan-bahan:
  • Lada hidup - 5 biji (pilih yang bewarna merah)
  • Cili padi - 10 biji (pilih yang bewarna merah)
  • Cuka - 7 sudu besar
  • Air - 7 sudu besar
  • Gula - 1 sudu besar
  • Bawang putih - 1 biji
Cara membuat sambal cuka:
  1. Gunakan mesin kering untuk mengisar lada, cili dan bawang putih. Tambahkan juga gula.
  2. Setelah hancur, campurkan air dan cuka. Tambahkan lagi air atau cuka jika mahu lebih cair.
(e) Ikan goreng tepungBahan-bahan:
  • Ikan kembong - 7 ekor
  • Tepung beras - i cawan
  • Telur - 1 biji
  • Air - 1/3 cawan
  • garam - 1 1/2 sudu teh
  • minyak untuk menggoreng
Cara Membuat ikan goreng tepung:
  1. Campurkan tepung, telur dan garam ke dalam air dan digaul rata. (gunakan garfu atau pengisar supaya tepung tidak berketul)
  2. Celupkan ikan dan goreng di dalam minyak panas sehingga masak. Angkat dan toskan.
(f) Sayur

Bahan-bahan:
  • Sayur kacang panjang - 5 batang
  • Sayur kobis - 1/4
  • Taugeh
  • Bunga kantan - 1 kuntum
  • Daun kesom - 5 tangkai
Cara menyediakan sayur:
  1. Bersihkan sayur kemudian toskan airnya.
  2. Hiris kesemua sayur kecuali taugeh, kemudian gaul rata.
(g) Bahan-bahan lain:
  1. Keropok ikan - digoreng
  2. Telur masin - direbus
  3. Budu (anda boleh memasaknya atau menikmatinya terus)
Saya tidak menyediakan budu di dalam hidangan nasi kerabu saya tetapi di sini saya sertakan resepi untuk memasak budu. Budu pilihan saya adalah jenama ketereh.
Bahan-bahan:
  • Budu - 1 botol
  • bawang merah - 5 biji
  • Bawang putih - 3 biji
  • asam keping - 1 keping
  • Serai - 1 batang
  • Daun limau purut - 2 helai
  • Gula melaka
  • Air - 1/2 cawan
Cara memasak budu:
  1. Campurkan kesemua bahan di dalam periuk. Masak sehingga mendidih. Untuk gula melaka, tambahkan secukup rasa.
Anda akan dapati rasa budu ini lebih sedap jika dimasak begini.
Baiklah rakan-rakan. Harap anda semua dapat mengikuti dan memahami resepi nasi kerabu yang saya sediakan ini. Semoga anda dapat membuat dan menikmatinya. Selamat menjamu selera...


1 comment:

UmiQaisara said...

Dear, copy resipi boleh tak?? nampak sedap jer.. ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...