Followers

Tuesday, April 12, 2011

KENALI TANAMAN KELADI - GENUS ALOCASIA






Salam sejahtera kepada semua yang sudi datang ke laman saya, sudi membaca, meninggalkan komen dan meninggalakan jejak... Semoga anda semua sihat, ceria dan dirahmati olehNya. Hari ini saya tak buat entri sarapan sebab saya beli nasi lemak kat kedai je...hihi... Sesekali memang terasa malasnya, lebih-lebih lagi bila anak-anak yang nak ke sekolah semua tak mahu bersarapan...nak minum milo sahaja pagi ni...

Selepas semua ke sekolah dan suami ke tempat kerja, tinggal saya seorang di rumah dan mulalah beraktiviti rutin... Pagi ni, saya ke halaman sekangkang kera saya... Memang ini aktiviti wajib sebab walaupun tak suka gardening, tetapi apa yang saya dah cucuk tanam tu tetap saya jaga dan beri perhatian. Biar dari depan rumah lagi dah nampak serinya mahligai saya ni...hihi...

Hari ini saya nak sembang sikit fasal pokok keladi. Saya ada 3 pasu keladi di rumah...yang kat dalam gambar tu lah... Selepas je melawat dan merawat pokok-pokok dan bunga-bunga, saya mengambil gambar...masuk ke dalam rumah pula, terus saya menggoogle mencari nama-nama dan info tentang keladi saya. Ini yang saya hendak kongsikan bersama anda...

Terdapat banyak specsies keladi ni, antaranya adalah...

Alocasia amazonica
Alocasia araceae
Alocasia brisbanensis
Alocasia calidora
Alocasia cucullata
Alocasia cuprea
Alocasia macrorhiza
Alocasia odora
Alocasia portadora
Alocasia robusta
Alocasia thiboutiana


Saya menanam keladi kerana kecantikan daunnya. Bentuk daunnya yang unik dan warna serta tekstur yang berbeza-beza juga menarik minat saya. Cara penjagaan keladi juga agak mudah berbanding pokok yang berbunga...terutama orkid kesayangan saya tu...


Alocasia amazonica


Alocasia amazonica ini mempunyai bentuk daun seperti anak panah dan bersaiz besar. Tekstur daunnya licin dan mempunyai permukaan berkilat. Selain dari menyiramnya, saya juga mengelap daunnya seminggu sekali kerana bahagian tersebut mudah dihinggapi habuk dan debu...ini akan menjadikannya nampak tidak berkilat dan kurang menarik.



Alocasia aracae

Daun Alocasia aracae ini pula bersaiz lebar tetapi lebih kecil berbanding Alocasia amazonica. Permukaannya juga kesat. Apa yang menariknya adalah warna daunnya yang berurat merah. Urat-urat merah itu seakan-akan dilukis di atas daun. Tetapi keladi saya yang ini tidak berdaun lebat kerana daunnya lebih cepat mati...hampir selalu, apabila tumbuh sehelai daun baru, sehelai daun pula akan layu dan mati.




Alocasia cucullata

Ini pula keladi yang saya baru tanam...daunnya baru 4 helai. Sebenarnya keadaannya sekarang, besar pasu dari pokok...hihi... Sebab itulah anda boleh lihat ada pokok kecil yang menumpang di tanah tu...dah berkali-kali saya cabut, tetapi dia nak tumbuh juga... Mungkin bila keladi di dah besar, daun keladi yang tumbuh akan meredupkan kawasan dan tak adalah lagi pokok yang nak menumpang kat bawah tu...agaknyalah...

Kalau anda perhatikan, daun Alocasia cucullata ini menumbuh tegak ke atas. Bentuknya seperti daun biasa tetapi mempunyai corak bewarna putih...inilah yang menjadikan pokok ini menarik. Bahagian batangnya juga bewarna putih.


Kaedah penanaman
Keladi ini mempunyai bahagian akar yang besar dan berisi yang dipanggil ubi. Jika anda ingin menanam keladi, anda perlu menggali beberapa ketul ubinya beserta daun sekali dan tanam di atas tanah atau pasu. Caranya, buat lubang sedalam 2 sentimeter dari paras atas tanah dan tanam ubi ini. Awas, jika anda menggali terlalu dalam, sistem akarnya sukar terbentuk...


Penjagaan
  1. Keladi sesuai ditanam di tempat yang terlindung dari sinaran matahari terik yang boleh melecurkan daunnya jika terdedah secara berpanjangan.
  2. Pastikan medium tanamannya lembap sentiasa. Elakkan air bertakung atau kekeringan pada medium tanamannya kerana salah satu dari keadaan ini boleh mengakibatkan kematian tanaman ini. Siram 2 kali sehari pada hari panas dan kurangkan siraman jika pokok terdedah terus pada titisan air hujan.
  3. Baja organik seperti najis ayam atau kelawar adalah terbaik untuk pertumbuhan pokok ini kerana ia dapat mengekalkan segala nutrien yang diperlukannya. Sebagai pilihan, anda boleh gunakan baja kimia bewarna hijau untuk pertumbuhan daunnya yang lebat dan cantik. Bila menabur baja, jangan terlalu dekat dengan batang ataupun daunnya kerana ini boleh melecurkan bahagian tersebut.
Oklah... Itu yang saya dapat kongsikan setakat ini. Semoga kunjungan anda ke laman saya memberi manfaat yang berguna... Selamat berkebun...

MARBLE CHEESE CAKE


Salam sejahtera semua....saya buat entri cheese cake ni khas bagi memenuhi permintaan Mica... Termasuk Marble Cheese Cake ni, ada 2 lagi resepi cheese cake yang telah saya buat sebelum ini... Sila rujuk Kek Keju Dingin Oreo dan Kek Keju Dingin Blueberry.

Bahan-bahan:
  • (A)
  • 1 kilo krim keju
  • 4 biji telur (saiz kecil)
  • 1 biji lemon - diparut kulitnya dan perah jusnya
  • 70 gm tepung serbaguna
  • 300 gm gula halus
  • 100 gm double cream - dipukul sedikit
  • 1 sudu besar jus lemon
  • 20 gm koko

  • (B)
  • 120 gm biskut marie - ditumbuk kasar
  • 120 gm mentega cair

Cara:
  1. Satukan bahan (B) dan ratakan di dalam acuan bulat 'loose base'. Jadikan ini sebagai dasar kek.
  2. Di dalam mangkuk adunan, pukul keju dan gula. Secara perlahan-lahan, tambahkan poula telur sebiji demi sebiji.
  3. Setelah semua bahan bergaul rata, masukkan kulit lemon beserta jusnya. Pukul rata.
  4. Akhir sekali, tambahkan double cream yang telah dipukul sedikit dan tepung.
  5. Tuang adunan ke atas dasar kek (bahan(B)). Tinggalkan sedikit adunan dan gaulkan bersama koko. Corakkan adunan koko ini di atas adunan plain.
  6. Bakar pada suhu 150 darjah selcius selama 2 jam di atas dulang yang mempunyai air (steam). Caranya - sediakan dulang yang diletakkan air, letak pula acuan loose base yang telah diisi adunan kek di tengah-tengah dulang tersebut.
Selamat mencuba...

Monday, April 11, 2011

TUTTI FRUTTI ICE CREAM


Salam sejahtera dan selamat pagi... Anda da tengok gambar kat atas tu kan? Hihi...hari ni saya makan ais krim untuk breakfast... Permulaan hari yang tidak sihat?... Tapi saya mixkan dengan 4 jenis buah-buahan segar...jadi kira sihat la juga kan? Hihi... Jom tengok apa yang saya letak...

Bahan-bahan:
  • 5 scoop aiskrim - vanilla, keladi dan coklat (ini bukan ais krim yang saya buat sendiri macam hari tu...beli kat kedai sebab sangat bz, tak sempat nak buat)
  • 1/2 biji epal merah
  • 1/2 biji mangga masak
  • 1 biji pisang
  • 4 biji anggur
  • 1 sudu besar jus mango (yang untuk buat air tu)
  • 1 sudu besar chocolate rice
Cara:
  1. Potong buah-buahan ikut suka...
  2. Scoopkan ais krim ke atas piring, susun buah-buahan dan tuangkan jus mango ke atas mereka. Hihi...
  3. Akhir sekali, taburkan chocolate rice.
Hish...Sebenarnya saya lupa, saya ada nata de coco dalam peti ais...kalau taburkan sekali pun sedap tu... Selama menjamu selera...

CHICKEN BALL MASAM MANIS

Hmmm...kesukaan anak-anak saya... Dah lama sebenarnya tak masak lauk macam ni. Tapi memang kalau buat, malam nak kena masak lauk lain lah pulak...sebab dah habis sepinggan anak-anak belasah...hihi... Selamat mencuba...

Bahan-bahan:
  • 1/2 paket bebola ayam bersalut istimewa - jenama Ayamas
  • 4 sudu besar lada kering kisar
  • 2 sudu besar sos cili
  • 2 sudu besar sos tomato
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1 keping asam keping
  • 1 biji bawang besar - dihiris
  • 2 ulas bawang putih - dihiris
  • garam dan gula secukup rasa
  • minyak untuk menggoreng
Cara:
  1. Goreng chicken ball sehingga kekuningan. Angkat dan ketepikan.
  2. Kurangkan sedikit minyak untuk menggoreng tadi dan tumis bawang putih .
  3. Masukkan pula lada kering kisar dan masak sehingga pecah minyak.
  4. Tambahkan sos cili, tomato dan tiram. Gaul rata dan masukkan asam keping, bawang besar, garam, gula dan chicken ball yang telah digoreng tadi. Gaul rata, angkat dan hidang.

Sunday, April 10, 2011

THI HI HI .....

Suatu sesi temu duga dijalankan untuk mencari seorang jurujual. Malangnya daripada 15 calon yang hadir, tiada seorang pun yang ada pengalaman, hinggalah masuk calon terakhir...

Pengurus jualan: Awak ada pengalaman? Maksud saya pengalaman sebagai jurujual dan mendapat hasil jualan yang membanggakan...

Calon: Ada, tuan. Saya jual rumah, kereta dan barang kemas isteri saya...

JOM BLOGWALKING SAMBIL MAKAN CEKODOK...


Salam sejahtera dan selamat pagi semua... Sarapan apa ye hari ni? Kalau yang bekerja mungkin sarapan di kedai aje agaknya. Macam saya ni, buat apa sahaja yang terasa nak makan, yang berat boleh yang ringan pun ok. Macam hari ni rasa nak sarapan yang ringkas-ringkas je sebab nak cepat blogwalking...hihi... Mesti ramai yang pandai buat cekodok ni...tapi yang saya buat ni ada letak daun kunyit, kiranya lain sikit la... Kata anak saya, "kenapa ada rasa macam rendang ummy?..." hihi...

Bahan-bahan:
  • 300gm tepung gandum
  • 1 cawan air
  • 1 biji telur
  • 1 sudu besar udang kering - ditumbuk lumat
  • 2 sudu besar ikan bilis - dikerat-kerat dengan gunting atau pisau (supaya lebih terasa)
  • 1 biji bawang besar - dihiris
  • 1/2 helai daun kunyit - dihiris halus (boleh juga kalau nak letak lebih)
  • garam secukup rasa
  • minyak untuk menggoreng
Cara:
  1. Gaulkan semua bahan di dalam mangkuk dan panaskan minyak di dalam kuali.
  2. Sudukan adunan sesudu besar dan masukkan ke dalam minyak panas.
  3. Goreng sehingga kekuningan. Angkat dan hidang.
Selamat menjamu selera....


SENDA MALAM...

Sedang berjalan menghala ke arah balainya, topi seorang anggota polis tiba-tiba melayang-layang ditiup angin yang bertiuo kencang. Suspek yang sedang diiringinya pantas berkata, "Tuan, perlukah saya kejar topi itu?"

Jawab anggota polis berkenaan, "Apa engkau ingat aku ni bodoh sangat? Kalau aku cakap 'ya', engkau bukan ambil topi tu, tapi engkau terus cabut lari.."

Suspek terkulat-kulat. Polis tersebut dengan muka bengis berkata lagi, "Sekarang engkau tunggu sini, biar aku ambil sendiri," lalu polis berkenaan pun berlari mengejar topinya yang bergolek-golek di atas jalan, meninggalkan si suspek seorang diri!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...