Followers

Monday, March 14, 2011

TAT TELUR (EGG TARTS)


Bahan-bahan pastri:
  • 250 gram tepung gandum
  • 60 gram gula ising
  • 125 gram mentega
  • 1 telur kuning (yolk)
  • 1/2 sudu teh esen vanilla
  • 1 sudu besar air
Cara:
  1. Ayak tepung 3 kali dan campurkan bersama gula ising di dalam mangkuk adunan. Gaul rata.
  2. Masukkan mentega dan gaul adunan sehingga membentuk 'crumbs'.
  3. Tambahkan kuning telur, esen vanilla dan air. Gaul rata sehingga adunan membentuk doh.
  4. Tutup bekas dengan plastik dan sejukkan selama 20 minit di dalam peti sejuk.
  5. Setelah dikeluarkan dari peti sejuk, bentukkan pastri. Caranya tekan doh ke dalam mould tat (jangan terlalu nipis, dan jangan pula terlalu tebal). Potong lebihan doh yang terkeluar dari mould dengan menggunakan pisau kecil.
  6. Setelah itu, cucuk dasar doh dengan pencungkil gigi sebanyak 2 lubang.
  7. Setelah habis adunan, bakar pada suhu 180 darjah celsius selama 10-15 minit. Jika pastri telah benar-benar masak, pastri akan mudah keluar daripada doh apabila mould diterbalikkan. Ketepikan pastri dan dibiar sejuk.
Bahan-bahan inti telur/kastard:
  • 250ml air
  • 125 gram gula
  • 5 biji telur
  • 100 gram susu sejat (pilihan saya susu Ideal)
Cara:
  1. Campurkan air dengan gula dan masak sehingga semua gula hancur. Kemudian biarkan sejuk.
  2. Setelah air gula sejuk, campurkan bersama telur dan susu. Gaul rata dan tapiskan bahan kasar yang tidak larut serta buihnya.
  3. Tuang inti kastard ke dalam kulit tat (pastri) yang telah disejukkan.
  4. bakar pada suhu 180 darjah celsius selama 20 minit.
Selamat mencuba...


TAT KEJU BLUEBERRY (BLUEBERRY CHEESE TART)

Salam semua... Untuk resepi tat ini, saya sediakan resepi pastri yang sesuai digunakan untuk tat keju, tat telur, tat badam blueberry, tat kacang hazel, tat buah-buahan dan tat coklat. Bahan lain yang perlu anda sediakan adalah mould tat. Ada pelbagai corak tepi mould tat dan saiz yang boleh dibeli di kedai menjual bahan kek. Setelah mendapatkan mould yang anda suka, bolehlah mencuba resepi ini...

Bahan-bahan pastri:
  • 250 gram tepung gandum
  • 60 gram gula ising
  • 125 gram mentega
  • 1 telur kuning (yolk)
  • 1/2 sudu teh esen vanilla
  • 1 sudu besar air
Cara:
  1. Ayak tepung 3 kali dan campurkan bersama gula ising di dalam mangkuk adunan. Gaul rata.
  2. Masukkan mentega dan gaul adunan sehingga membentuk 'crumbs'.
  3. Tambahkan kuning telur, esen vanilla dan air. Gaul rata sehingga adunan membentuk doh.
  4. Tutup bekas dengan plastik dan sejukkan selama 20 minit di dalam peti sejuk.
  5. Setelah dikeluarkan dari peti sejuk, bentukkan pastri. Caranya tekan doh ke dalam mould tat (jangan terlalu nipis, dan jangan pula terlalu tebal). Potong lebihan doh yang terkeluar dari mould dengan menggunakan pisau kecil.
  6. Setelah itu, cucuk dasar doh dengan pencungkil gigi sebanyak 2 lubang.
  7. Setelah habis adunan, bakar pada suhu 180 darjah celsius selama 10-15 minit. Jika pastri telah benar-benar masak, pastri akan mudah keluar daripada doh apabila mould diterbalikkan. Ketepikan pastri dan dibiar sejuk.
Bahan-bahan inti:
  • 250 gram krim keju
  • 20 gram mentega
  • 60 gram gula halus
  • 1 biji telur
  • Jem blueberry
Cara:
  1. Pukul krim keju, mentega dan gula sehingga kembang. Kemudian tambah telur dan pukul sehingga sebati.
  2. Tuang adunan ke dalam pastri yang telah dimasak (separuh). Kemudian letak sedikit jem blueberry. Tuang lagi adunan di atas jem sehingga penuh pastri.
  3. Setelah selesai, letak sedikit jem blueberry di atas tat dan bentukkan corak dengan pencungkil gigi.
  4. Bakar pada suhu 180 darjah celsius selama 10 minit.
Selamat menjamu selera...

Sunday, March 13, 2011

ROTI MANIS (BAN MANIS/ SWEET BUN)


Salam semua... Anda pernah mencuba buat roti sendiri di rumah? Hari ini saya ingin berkongsi resepi roti yang biasa saya sediakan untuk keluarga saya. Sebenarnya ada 2 resepi yang biasa saya gunakan... 1 resepi yang saya gunakan untuk roti dimakan di rumah, dan 1 lagi resepi yang mempunyai cara penyediaan agak rumit dan saya hanya gunakan untuk membuat kelas roti dan untuk tempahan sahaja. Ini cara yang mudah dan selain dari membuat ban kosong, anda boleh juga gunakan resepi yang sama untuk buat ban berinti seperti sardin, sambal bilis, mini piza, keju dan pelbagai lagi mengikut kreativiti masing-masing.

Bahan-bahan:
  • 500 gram tepung roti
  • 1 biji telur (dipecahkan dan ditimbang 65 gram, tetapi jika berat telur tidak sampai 65gm anda boleh menambah air masak sehingga mencapai berat tersebut)
  • 75 gram gula halus
  • 10 gram soft pro (pembaik roti) - jika anda membeli bahan di Melaka, ada kedai yang menjualnya dengan nama magic.
  • 5 gram garam
  • 210 ml air
  • 10 gram yis (saya gunakan jenama mauripan)
  • 45 gram susu pekat manis
  • 60gm lelemak sayuran (shortening)
Cara:
  1. Jika anda tidak mempunyai mesin pengadun roti, anda boleh menggunakan tangan untuk mengadun. Mula-mula campurkan semua bahan di dalam mangkuk pengadun kecuali lelemak sayuran. Adun dengan pemukul 'hook' selama 3 minit. Jika mengadun menggunakan tangan, adun sehingga semua bahan bergaul rata dan membentuk doh.
  2. Tambahkan lelemak sayuran dan adun lagi selama 10 minit atau sehingga adunan berbentuk elastik dan tidak mudah putus bila diregangkan.
  3. Tutup mangkuk adunan dengan plastik dan rehatkan adunan selama 10 minit.
  4. Kemudian bahagikan adunan 60gm setiap satu dan bentukkan bulat bulat sehingga adunan habis.
  5. Akhir sekali bentukkan adunan mengikut suka dan letakkan ke dalam loyang yang telah digris dengan mentega. Doh hendaklah diletakkan jarak jarak diantara satu sama lain kerana ia akan mengembang. Biarkan doh selama 2 jam. (jangan dikacau atau dialihkan doh semasa proses kerana doh yang telah kembang akan jatuh dan kemik)
  6. Jika anda ingin meletakkan inti, selepas proses 4, lempengkan (gelek) doh 60gm tersebut kemudian letakkan inti diatasnya dan balut semula doh menjadi bentuk bulat. Pastikan bahagian bawah doh benar-benar rapat supaya inti tidak terkeluar. Lakukan pula proses 5.
  7. Jika anda menggunakan oven yang kecil, anda memerlukan loyang yang banyak untuk membakar kerana semua doh akan mengembang serentak. Oleh itu anda perlu menyusun doh (proses 5) sehingga semua doh habis dan tidak boleh mengalihkannya selepas proses itu.
  8. Akhir sekali bakar pada suhu 180 darjah celcius selama 15 - 20 minit.
Selamat mencuba...

KEK OREO KUKUS

Salam semua... Kek oreo kukus ni saya cuba-cuba buat sebab dah selalu sangat buat kek coklat. Perbezaan ketara yang saya mula-mula nampak ialah warnanya...kalau kek coklat warnanya coklat, tapi bila saya gunakan biskut oreo, warnanya lebih hitam. Tapi jangan bimbang, sebab rasanya tetap sedap...Oleh kerana ini percubaan pertama saya, jadi saya cuma guna adunan 2 biji telur je. Kalau anda nak buat kek yang lebih besar, boleh lah gandakan adunan. Tetapi kukusnya juga harus besar ya...

Bahan-bahan:
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 sudu teh baking powder
  • 2 biji telur
  • 1 cawan gula kastor
  • 1/2 cawan mentega
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • 100 gram biskut oreo dibuang inti dan dikisar
  • 125 ml susu dipanaskan sebentar ( boleh gunakan susu kotak ataupun bancuhan susu tepung)
  • 2 sudu besar susu pekat manis
  • 1/4 cawan minyak masak
Cara:
  1. Ayak tepung bersama baking powder, kemudian campurkan oreo kisar dan gaul rata. Ketepikan.
  2. Di dalam mangkuk adunan, pukul telur, gula dan mentega sehingga kembang. Kemudian masukkan adunan tepung sedikit demi sedikt sambil dikaup balikkan. (tak perlu pukul)
  3. Masukkan susu suam, susu pekat dan minyak masak. Pukul sebentar cukup sehingga adunan bergaul rata sahaja.
  4. Masukkan adunan ke dalam loyang yang telah digris dengan mentega dan dialas kertas. Kukus selama 45 minit.
Bahan toping:
  • 4 sudu besar susu pekat manis
  • 60 gram biskut oreo dibuang inti dan dikisar
  • 2 sudu besar mentega
  • 2 sudu besar air masak
Cara:
  1. Campur semua bahan didalam mangkuk yang sesuai dan masak secara double boiler.
  2. Setelah kek sejuk, bolehlah curahkan toping dan hias mengikut suka.
Selamat mencuba...

Monday, February 14, 2011

TAU FU FA


Mudah sahaja cara membuat tau fu fa ni. Bahan yang digunakan pun tidak banyak. Semoga anda berjaya membuatnya....

Bahan-bahan:
  • 1/2 kg kacang soya (rendam selama 4 jam)
  • 3 liter air (3 blender)
  • 3 sudu besar tepung jagung
  • 1 1/2 sudu teh GDL (saya panggil ubat tau fu fa dan dibeli di kedai bahan membuat kek di Sarawak - mungkin di tempat lain, nama yang digunakan lain)
  • 1 cawan air masak
Cara:
  1. Kisar kacang soya yang telah direndam. Gunakan air yang telah disukat sebanyak 3 liter sehingga habis. Jangan ditambah air lain. Untuk 1/2 kg kacang soya ini, saya bahagikan kacang soya kepada 3 bahagian, dan setiap kali mengisar, saya akan perah sebanyak 2 kali. (Kisar kacang, perah, kemudian kisar sekali lagi dan perah lagi. Kemudian baru kisar kacang yang lain pula- hampas kacang soya jangan dibuang kerana boleh dibuat kuih wadey)
  2. Setelah diperah, masukkan air soya ke dalam periuk untuk memasak - tapis air soya menggunakan tapis kecil semasa menuang air soya ke dalam periuk. Akan terdapat buih yang tertinggal di dalam tapis, buang buih tersebut.
  3. Setelah selesai mengisar semua kacang soya, masak air soya di atas api sederhana selama 30-35 minit. Hendaklah dikacau selalu terutama apabila air mula mendidih.
  4. Di dalam bekas berasingan, bancuh tepung jagung, GDL (ubat tau fu fa) dan air masak. Pastikan bekas yang digunakan tahan panas dan cukup untuk diisi air soya yang telah dimasak tadi.
  5. Akhir sekali, tuang air soya yang masih panas ke dalam bekas yang ada bancuhan tepung tadi. Angkat tinggi semasa menuang air. (berhati-hati kerana air soya masih panas)
  6. Biarkan air soya itu mengeras sendiri. Tidak perlu dikacau- selepas menuang air soya, biarkan sahaja. Masa untuk mengeras lebih kurang 3 jam.

Bahan air gula:
  • 1 paket gula melaka (250 gm)
  • 5 sudu besar gula pasir
  • 6 cawan air
  • 2 helai daun pandan
Cara:
  1. Masukkan semua bahan di dalam periuk dan masak sehingga semua gula hancur. Sejukkan.
Selamat mencuba...

Saturday, February 5, 2011

BROWNIE KURMA

Salam semua...resepi saya kali ini adalah brownie kurma. Sebenarnya ada pelbagai resepi brownie kurma yang saya ada, tetapi ini adalah resepi yang paling sedap dan mudah. So, saya nak berkongsi dengan anda semua dan harap anda berjaya membuatnya.

Bahan-bahan untuk inti kurma:
  • 200 gm kurma dibuang biji
  • 50 gm gula
  • 1/2 cawan air
  • secubit garam
  • 1/4 sudu teh esen vanilla
Cara membuat inti:
  1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk yang sesuai dan gaul rat.
  2. Kemudian, hidupkan api sederhana dan masak bahan tersebut sehingga pekat. Anda perlu menggaul adunan semasa memasaknya.
  3. Ketepikan dan biar sehingga sejuk.
Bahan untuk kek:
  • 190 gm mentega
  • 25 gm serbuk koko
  • 180 gm gula perang
  • 2 biji telur
  • 1 sudu kecil esen vanilla
  • 1/4 sudu teh garam
  • 200 gm tepung gandum
  • 1 sudu teh serbu penaik
  • 50 gram walnut dicincang (boleh juga digantikan dengan badam)
Cara:
  1. Ayak bersama tepung dan serbuk penaik. Ketepikan.
  2. Satukan mentega dan serbuk koko di dalam periuk yang sesuai. Kemudian masak bahan di atas api yang perlahan. Kacau bahan sehingga mentega cair dan adunan sebati. Tutup api dan ketepikan.
  3. Di dalam mangkuk adunan, adun gula, esen vanilla dan garam sehingga semua bergaul rata. Kemudian tambahkan telur satu persatu sambil terus mengadun.
  4. Masukkan pula tepung dan serbuk penaik. Adun sebati tetapi tidak perlu terlalu lama. Cukup sehingga semuanya bergaul rata.
  5. Griskan acuan berbentuk bujur dan taburkan tepung. Tuang separuh adunan ke dalam acuan, kemudian masukkan inti kurma.
  6. Akhir sekali tuang baki adunan ke dalam acuan dan tabur hirisan walnut di atasnya.
  7. Bakar pada suhu 180 darjah C selama 45 minit.
Selamat mencuba...


Friday, February 4, 2011

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...