Salam semua... Anda pernah mencuba buat roti sendiri di rumah? Hari ini saya ingin berkongsi resepi roti yang biasa saya sediakan untuk keluarga saya. Sebenarnya ada 2 resepi yang biasa saya gunakan... 1 resepi yang saya gunakan untuk roti dimakan di rumah, dan 1 lagi resepi yang mempunyai cara penyediaan agak rumit dan saya hanya gunakan untuk membuat kelas roti dan untuk tempahan sahaja. Ini cara yang mudah dan selain dari membuat ban kosong, anda boleh juga gunakan resepi yang sama untuk buat ban berinti seperti sardin, sambal bilis, mini piza, keju dan pelbagai lagi mengikut kreativiti masing-masing.
Bahan-bahan:
- 500 gram tepung roti
- 1 biji telur (dipecahkan dan ditimbang 65 gram, tetapi jika berat telur tidak sampai 65gm anda boleh menambah air masak sehingga mencapai berat tersebut)
- 75 gram gula halus
- 10 gram soft pro (pembaik roti) - jika anda membeli bahan di Melaka, ada kedai yang menjualnya dengan nama magic.
- 5 gram garam
- 210 ml air
- 10 gram yis (saya gunakan jenama mauripan)
- 45 gram susu pekat manis
- 60gm lelemak sayuran (shortening)
Cara:
- Jika anda tidak mempunyai mesin pengadun roti, anda boleh menggunakan tangan untuk mengadun. Mula-mula campurkan semua bahan di dalam mangkuk pengadun kecuali lelemak sayuran. Adun dengan pemukul 'hook' selama 3 minit. Jika mengadun menggunakan tangan, adun sehingga semua bahan bergaul rata dan membentuk doh.
- Tambahkan lelemak sayuran dan adun lagi selama 10 minit atau sehingga adunan berbentuk elastik dan tidak mudah putus bila diregangkan.
- Tutup mangkuk adunan dengan plastik dan rehatkan adunan selama 10 minit.
- Kemudian bahagikan adunan 60gm setiap satu dan bentukkan bulat bulat sehingga adunan habis.
- Akhir sekali bentukkan adunan mengikut suka dan letakkan ke dalam loyang yang telah digris dengan mentega. Doh hendaklah diletakkan jarak jarak diantara satu sama lain kerana ia akan mengembang. Biarkan doh selama 2 jam. (jangan dikacau atau dialihkan doh semasa proses kerana doh yang telah kembang akan jatuh dan kemik)
- Jika anda ingin meletakkan inti, selepas proses 4, lempengkan (gelek) doh 60gm tersebut kemudian letakkan inti diatasnya dan balut semula doh menjadi bentuk bulat. Pastikan bahagian bawah doh benar-benar rapat supaya inti tidak terkeluar. Lakukan pula proses 5.
- Jika anda menggunakan oven yang kecil, anda memerlukan loyang yang banyak untuk membakar kerana semua doh akan mengembang serentak. Oleh itu anda perlu menyusun doh (proses 5) sehingga semua doh habis dan tidak boleh mengalihkannya selepas proses itu.
- Akhir sekali bakar pada suhu 180 darjah celcius selama 15 - 20 minit.
Selamat mencuba...
1 comment:
cantiknya...
Post a Comment