Mudah sahaja cara membuat tau fu fa ni. Bahan yang digunakan pun tidak banyak. Semoga anda berjaya membuatnya....
Bahan-bahan:
- 1/2 kg kacang soya (rendam selama 4 jam)
- 3 liter air (3 blender)
- 3 sudu besar tepung jagung
- 1 1/2 sudu teh GDL (saya panggil ubat tau fu fa dan dibeli di kedai bahan membuat kek di Sarawak - mungkin di tempat lain, nama yang digunakan lain)
- 1 cawan air masak
- Kisar kacang soya yang telah direndam. Gunakan air yang telah disukat sebanyak 3 liter sehingga habis. Jangan ditambah air lain. Untuk 1/2 kg kacang soya ini, saya bahagikan kacang soya kepada 3 bahagian, dan setiap kali mengisar, saya akan perah sebanyak 2 kali. (Kisar kacang, perah, kemudian kisar sekali lagi dan perah lagi. Kemudian baru kisar kacang yang lain pula- hampas kacang soya jangan dibuang kerana boleh dibuat kuih wadey)
- Setelah diperah, masukkan air soya ke dalam periuk untuk memasak - tapis air soya menggunakan tapis kecil semasa menuang air soya ke dalam periuk. Akan terdapat buih yang tertinggal di dalam tapis, buang buih tersebut.
- Setelah selesai mengisar semua kacang soya, masak air soya di atas api sederhana selama 30-35 minit. Hendaklah dikacau selalu terutama apabila air mula mendidih.
- Di dalam bekas berasingan, bancuh tepung jagung, GDL (ubat tau fu fa) dan air masak. Pastikan bekas yang digunakan tahan panas dan cukup untuk diisi air soya yang telah dimasak tadi.
- Akhir sekali, tuang air soya yang masih panas ke dalam bekas yang ada bancuhan tepung tadi. Angkat tinggi semasa menuang air. (berhati-hati kerana air soya masih panas)
- Biarkan air soya itu mengeras sendiri. Tidak perlu dikacau- selepas menuang air soya, biarkan sahaja. Masa untuk mengeras lebih kurang 3 jam.
Bahan air gula:
- 1 paket gula melaka (250 gm)
- 5 sudu besar gula pasir
- 6 cawan air
- 2 helai daun pandan
- Masukkan semua bahan di dalam periuk dan masak sehingga semua gula hancur. Sejukkan.