Followers

Saturday, December 25, 2010

BERSABARLAH DALAM MENGHADAPI DUGAAN

Dalam menempuhi perjalanan hidup ini, pasti kita melalui pelbagai destinasi suka duka. Sama ada kita yang menempuhinya, atau orang disekeliling kita seperti ibu, bapa, suami, anak-anak, jiran tetangga atau saudara mara...Setiap hari pasti ada sahaja pengalaman baru bagi kita, sama ada suka atau duka...bersyukurlah jika mendapat apa dihajati dan bersabarlah menghadapi segala dugaan. Kerana Allah SWT mahu menguji sejauh mana keimanan kita...

Bahkan Allah SWT sangat simpati kepada orang-orang yang bersikap sabar:
Justify Full
"Dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitan
dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar
(imannya) dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa."
(al-Baqarah:177)

Orang-orang yang bersabar juga amat disayangi oleh Allah SWT:

"Dan Allah menyukai orang-orang yang sabar."
(Ali Imran:146)

Aku bersyukur di atas kurniaanmu ya Allah. Aku bersyukur mempunyai keluarga yang sentiasa bersamaku...Semoga kami tabah dan sabar menghadapi dugaanMu...
Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah petunjuk kepada kami dengan segala petunjuk, mudahkanlah urusan kami ya Allah, kerana engkau yang memudahkan segala urusan..

Semoga hari baru menjadi permulaan perjalanan yang lebih baik...

LindaRahim-Ummyaisy

Thursday, December 23, 2010

TIPS TIPS - DAGING


MEMILIH DAGING
  • Keseluruhan daging baru dan segar.
  • Bewarna merah dan tidak nampak lebam.
  • Terdapat ssedikit lemak sahaja pada daging tersebut.

CARA SIMPAN DAGING SEGAR (Sejuk atau yang dimasak dengan betul)

Daging tidak kira sama ada yang sudah dimasak atau belum sememangnya mudah rosak. Daging harus disimpan pada suhu di antara 0 darjah C (32 dajah F) hingga 4 darjah C (39 darjah F) atau simpan di dalam peti sejuk pada suhu kurang dari 18 darjah C (0 darjah C) atau lebih sejuk. JIka tidak, bakteria yang mengakibatkan keracunan makanan akan membiak dengan lebih cepat dan berlipat kali ganda. Pembiakan akan berlaku lebih cepat selepas 2 jam atau lebih daging berkenaan dibiarkan pada suhu persekitaran. Untuk menyimpan anda perlu meletakkan daging di dalam bekas bertutup atau pembalut makanan terlebih dahulu.

CARA MENGHIRIS DAGING

ikuti cara di bawah bagi memudahkan anda menghiris daging.
  1. Bersihkan daging dan toskan airnya.
  2. Kemudian bungkus daging menggunakan plastik.
  3. Masukkan daging tersebut didalam peti sejuk beku (freezer) dan biarkan selama 1/2 jam.
  4. Setelah dikeluarkan, hirislah mengikut jalur melintang daging tersebut.
MELEMBUTKAN DAGING

Ada pelbagai cara untuk melembutkan daging yang dimasak.
  • Buah keras - Tumbuk lumat buah keras dan masukkan ke dalam lauk daging yang sedang dimasak.
  • Betik muda - Buang kulit betik muda yang masih kecil. Kemudian dihiris dan masukkan ke dalam lauk yang sedang dimasak.
  • Sudu - Masukkan sebatang sudu yang dibuat daripadatembikar ke dalam lauk yang sedang dimasak.
  • Tepung dan kicap - Sebelum dimasak, gaulkan terlebih dahulu daging dengan tepung dan kicap selama 1/2 jam. Setelah itu bilas dan barulah dimasak.
  • Tempe - Masukkan sepotong tempe ke dalam lauk daging yang sedang dimasak.
Anda boleh memilih untuk menggunakan mana-mana cara di atas untuk melembutkan daging yang anda masak.

TIPS TIPS - PAPAN PEMOTONG


MEMILIH PAPAN PEMOTONG (Plastik atau kayu lebih baik?)

Mitos 1: Papan pemotong kayu mempunyai urat kayu hingga mampu menyebabkan bakteria seperti salmonella, e-coli, dan listeria mudah bersembunyi di sebaliknya. Bakteria itu kekal di situ dan tidak mungki dihilangkan selepas cucian.
Mitos 2: Papan pemotong jenis plastik tidak mengandungi liang roma dan ini membuatkan ia mudah dibersihkan.

Hakikatnya:
Mitos ini akhirnya terbukti salah pada tahun 1993 apabila satu kajian dilakukan oleh seorang ahli mikrobiologi dari Institut Kajian Pemakanan, Universiti Wisconsins mengenai hal ini.
Hasilnya:
Tanpa menyentuh atau membasuh papan pemotong berkenaan, pemerhati telah membuktikan bahawa bakteria pada papan pemotong kayu mati selepas 3 minit. Bakteria pada pemotong plastik bukan sahaja kekal di atasnya malah bercambah setiap malam. Kajian juga menunjukkan bahawa kayu mempunyai bakteria semulajadi yang berfungsi membunuh bakteria jahat.

Cara membersihkan papan pemotong:
Bahan-bahan:
  • Lemon atau limau nipis atau limau kasturi
  • Air
  • Span
Cara:
  1. Basuh papan pemotong dengan air.
  2. Kemudian gosokkan papan pemotong dengan lemon. Lebihkan menggosok pada bahagian yang bertanda.
  3. Bilas dengan air dan jemur di tempat yang redup.
Atau gunakan jer berus periuk.....scrub scrub....tanggal juga yang daki daki tu...

PETUA PETUA - MENURUNKAN BERAT BADAN


Anda menghadapi masalah berat badan? Mula-mula chech BMI anda di bawah dulu, pas tu kalau anda rasa perlu untuk menurunkan berat badan, boleh ikuti salah satu petua di sini...

PETUA 1:PUTIK DELIMA
Ambil 3 hingga 5 biji putik delima, dibersihkan dan ditumbuk hingga lumat. Perah airnya dan minum pati perahannya tanpa gula atau bahan lain. Amalkan setiap hari pada waktu pagi dan malam selama sebulan. Sambil mengamalkan petua ini, jangan lupa untuk menjaga pemakanan dan bersenam.

PETUA 2: CAMPURAN LOBAK MERAH DAN MENTIMUN
Ambil 2 biji lobak merah dan sebiji mentimun. Kemudian kisar dan tapis airnya. Campur iar tersebut dengan sebiji air limau nipis. Bancuh bahan-bahan tersebut hingga sebati, seterusnya diminum sekurang-kurangnya 2 kali sehari. Amalkan petua ini setiap hari hingga berat badan anda berkurangan.

PETUA 3: AIR LIMAU
Selepas makan tengah hari dan makan malam, amalkan meminum segelas air yang dicampur dengan2 biji limau nipis. Boleh diminum sejuk atau suam. Amalkan selama sebulan, insyaallah berat badan akan berkurangan.

TIPS TIPS - KURANGKAN PENGAMBILAN LEMAK


  • Kurangkan pengambilan makanan berminyak dan bergoreng.
  • Guna minyak masak dalam kuantiti yang sedikit dalam masakan. Pilihlah minyak yang berasaskan sayur-sayuran.
  • Kurangkan penggunaan santan. Gantikan dengan susu rendah lemak.
  • Pilih bahagian daging atau ayam tanpa lemak dan buang lemak yang ada sebelum memasak.
  • Hadkan penggunaan lemak seperti margerin, mentega, shortening, mayonis dan krim.
  • Pilih kaedah memasak yang lebih sihat seperti membakar, merebus, mengukus atau memanggang daripada menggoreng.
  • Serap minyak yang berlebihan dengan menggunakan kertas penyerap minyak.

TIPS TIPS - MELANCONG BERSAMA ANAK


Melancong bersama keluarga menjadi aktiviti yang menyeronokkan jika tidak banyak masalah yang dihadapi. Pastinya melancong menjadi kenangan terindah terutamanya bagi anak-anak, kerana selalunya merekalah orang yang paling seronok untuk berjalan-jalan terutamanya pada musim cuti sekolah. Tetapi bagi keluarga yang mempunyai anak kecil atau bayi, sudah tentu pelbagai masalah timbul jika tidak betul-betul membuat persediaan. Peranan ibu bapa sangat penting bagi mengatasi hal ini, kerana masalah yang timbul akan memberi kesan terhadap aktiviti melancong seterusnya mempengaruhi emosi anak-anak yang lebih besar. Di sini saya ada beberapa tip melancong bersama anak bagi memudahkan ibu bapa merancang percutian yang menyeronokkan untuk keluarga.

Kapal terbang:
  • Tempah tempat duduk supaya anda duduk bersebelahan anak anda.
  • Bawa barangan keperluan anak anda dengan tangan ke dalam pesawat supaya mudah untuk diambil jika diperlukan.
  • Beri anak anda makanan dan gula-gula bagi anak yang lebih besar ketika berlepas dan mendarat bagi mengatasi ketidakselesaan daripada tekanan dalam kabin kapal terbang.
  • Bawa bekal makanan bagi bayi anda kerana kebanyakan syarikat penerbangan tidak menyediakan makanan bagi bayi.
  • Bawa alat permainan, majalah atau buku cerita bagi bayi dan anak anda. Syarikat penerbangan juga ada menyediakan pek aktiviti dan anda boleh memintanya.
Kereta / keretapi / bas:
  • Mulakan perjalanan sebelum waktu tidur anak anda dan beri mereka makanan dahulu. Ini supaya anak anda akan tidur semasa perjalanan dan dapat mengurangkan rasa bosan berada di dalam kenderaan yang mungkin memakan masa.
  • Pastikan banyak ruang di dalam kereta tempat anak anda duduk. Letakkan beg di bahagian menyimpan barang, supaya anak anda dapat duduk dalam keadaan selesa. Anak-anak mungkin akan mula memberontak atau bergaduh sesama sendiri jika merasa tidak selesa.
  • Jika menaiki keretapi atau bas, tempah tiket untuk anak anda supaya mereka tidak perlu duduk di atas pangku anda dan menimbulkan rasa tidak selesa.
  • Bawa VCD kesukaan anak anda jika anda mempunyai TV di dalam kereta supaya anak anda boleh menonton di dalam perjalanan atau bawa CD lagu kegemaran mereka supaya mereka boleh berhibur.
  • Untuk perjalan yang jauh dan memakan masa, berhenti di perhentian lebuhraya supaya anak anda boleh pergi ke tandas dan boleh berjalan-jalan untuk meredakan ketegangan.
  • Berboraklah dengan anak-anak anda contohnya tentang pemandangan menarik yang dilihat sepanjang perjalanan kerana ini dapat membantu mereka menghilangkan rasa bosan dan merasa terlalu lama dalam perjalanan.
Tip umum:
  • Beli barangan cenderahati yang menarik minat anak anda dan boleh dijadikan kenangan supaya mereka rasa seronok dan boleh bercerita kepada rakan-rakan.
  • Bawa kain atau tuala kering dan basah untuk tujuan mengelap.
  • Bawa juga beg plastik untuk membuang sampah atau boleh digunakan jika anak anda hendak muntah.
  • Pastikan anak anda mendapat rehat secukupnya bagi mengelakkan mereka merengek di dalam perjalanan.
  • Beritahu anak anda yang lebih besar destinasi yang hendak dituju dan masa perjalanan supaya mereka bersedia melalui perjalanan tersebut.
Sekian, selamat melancong....

Tuesday, December 21, 2010

IKLAN IKLAN (SHAH FLAVOR, KRIPEK'S, SHIDAWIE CAKES)

Semalam (Selasa 12 Disember), saya pergi ke MYDIN Melaka. Besar betul tempatnya berbanding dengan MYDIN pertama yang biasa saya pergi ketika belajar di Kota Bharu Kelantan, 14 tahun yang lalu. Dari luar dah nampak kereta yang bersusun-susun di parking lot...meriah. Ini kunjungan saya yang ke 3 ke MYDIN Melaka. Pada pengamatan saya, tak kira siang atau malam, hujung bulan atau pertenahan bulan, Mydin selalu pack. Ramai yang suka membeli belah di MYDIN ni kerana harga yang ditawarkan murah berbanding pasar raya lain...nak makan senang, nak solat pun selesa. Ini kali pertama saya solat di surau MYDIN Melaka, besar, selesa dan bersih. Saya juga mencuba RFC (Radix Fried Chicken)- sedap...(saya akan upload gambar dan sedikit info RFC kemudian). Sebenarnya tujuan asal saya singgah ke MYDIN ni memang untuk ke RFC lah. Adik saya Nana yang sibuk bercerita fasal RFC ni. Sambil tu saya hendak meninjau ke ekspo IKS di ruang bawah MYDIN ni (info dari adik saya Iwan).
Banyak juga gerai IKS yang mempamerkan prodak masing-masing. Sempatlah saya merasa makanan dan minuman yang diberi rasa secara percuma. Sedap-sedap belaka...Di sini saya nak berkongsi beberapa info tentang beberapa makanan yang menarik minat saya. Bak kata orang 'sekali cuba nak lagi'...dah cuba mesti nak beli...

GERAI SOS CHAR KOAY TEOW SHAHFLAVOR

Ini gerai pertama yang saya kunjungi. Emak saya terus membeli 2 botol sos ini sebab "macam best jer" kata mak saya. Bagi saya pula, nak cuba sebab macam mudah jer...tak perlu tambah garam, gula atau perisa tambahan. Di ekspo ini, sebotol dijual pada harga RM6, tapi kalau 2 botol RM10. Harga asalnya pula RM6.90. Nanti bila saya dah cuba, saya akan sertakan resepinya disini ya. Kalau anda lawati www.shahflavor.blogspot.com pun ada disediakan resepi yang boleh menggunakan sos ini. Atau, anda boleh klik di sini

GERAI KRIPEK'S 'TROPIKAL CRISP

Gerai ini menjual pelbagai jenis kerepek. Lucunya, kerana terlalu banyak kerepek yang dijual, jurujualnya sendiri tidak tahu berapa jenis kerepek yang terdapat di situ..."terlalu banyak" katanya. Saya sempat merasa 3 jenis kerepek, rangup dan sedap. Saya juga membeli 3 jenis (3 bungkus RM10), kerepek bawang, kerepek ubi racik dan tempe rangup. Istimewanya, kerepek ini dibungkus dalam plastik yang 'resealable', oleh itu anda boleh seal kembali plastik jika kerepek yang dimakan tidak habis - bila dibuka semula, kerepek masih rangup seperti kali pertama membukanya. Bagus tu...
Bagi anda yang mahu menjual kerepek, anda juga boleh membeli kerepek yang dibungkus dengan kuantiti yang banyak. Harganya sungguh berpatutan. Anda boleh membungkus semula kerepek tersebut dengan bungkusan sendiri. Anda boleh berhubung sendiri dengan pembekal dan berurusan dengannya. Jika berkesempatan, silalah ke MYDIN Melaka sebelum 23 Disember 2010 untuk melihat gerai Kripek's dan beberapa gerai IKS yang lain.

GERAI SHIDAWIE 'TASTE OF HAPPINESS'

Gerai ni menjual kek lapis Melaka. Hmmmm.....orang Melaka pun dah ada kek lapis sendiri. Ada 11 jenis kek lapis dan 1 kek buah-buahan. Saya dah rasa semuanya, sedap sebab kurang manis dan lembut. Pewarna yang digunakan pun tidak terlalu pekat. Kek ini dibungkus di dalam kotak yang menarik, jadi anda tak perlu bimbang kalau-kalau kek ini terpenyek sebelum anda sampai ke rumah. Oklah, anda boleh lihat gambar-gambar yang saya sediakan di bawah. untuk membuat pilihan sendiri. Untuk mendapatkannya, bolehlah berkunjung ke MYDIN Melaka sebelum ekspo ini berakhir pada 23 Disember nanti atau boleh berhubung terus dengan pengeluarnya seperti alamat yang tertera di atas.

Monday, December 20, 2010

HAPPY BIRTHDAY DAMIA


HAPPY 1ST BIRTHDAY LUVLY DUVLY DAMIA...

Damia ni my 1st niece sebelah mak. Kalau sebelah ayah, ramai yang dah besar panjang (ramai juga yang dok oversea, huhuhuhu). Lahir pada 15 disember 2009...dia yg menjadikan saya mummy Lin... so cute, walaupun saya belum pernah dengar dia menyebutnya...Hehe...Dengar-dengarnya Damia dah pandai bertatih sekarang. Jujurnya kami dah 3 bulan tak bertemu. Cuma jumpa-jumpa di lepi jer...Apa nak dikata, saya di sini...dia di sana...Kali terakhir berjumpa, Damia langsung tak mahu didukung saya. Dia dah kenal orang...hanya hendak pada orang yang biasa dia jumpa saja. Walaupun mama dia (my cousin Anis) duduk di sebelah saya, tetap dia meronta-ronta...Apa nak dikata...Anyway, My Luv Damia...be a good girl, pandai ++ macam mama dan ayah (mama doktor, ayah doktor), tabah macam wan Rai, cantik macam momy Lin (hehe), rajin macam nenek noyang (my gorgeous wan) dan jimat cermat macam datuk noyang (my still handsome datuk). Kalau ikutkan ramai lagi yang nak disebut di sini...jangan berkecil hati kalau tak de nama kat sini ye...Semua orang di sekeliling Damia BEST!!!!!!!!! So you pun WILL BE THE BEST AMONG THE BEST.......My pray with u...Luv - Mummy Lin...

ROTI CANAI TELUR

Salam sejahtera. Pagi ini saya menikmati roti canai yang dibuat oleh adik sepupu saya- Amar... Masih bersekolah tetapi minat memasak dan sangat rajin ke dapur. Bila tiba waktu cuti sekolah, dialah yang selalu memasak di rumah wan saya. Sempat juga saya belajar beberapa resepi dari dia. Terima kasih ya Amar...

Bahan-bahan:
  • 500gm tepung gandum
  • 1 sudu teh garam
  • 250gm air suam
  • 1 biji telur (suhu bilik)
  • 1 sudu besar margerin atau mentega
  • 2 sudu besar susu pekat manis
  • 1/3 cawan minyak masak
Cara:
  1. Campurkan garam ke dalam air dan kacau sehingga garam hancur.
  2. Di dalam mangkuk pengadun (besar, supaya mudah untuk menguli) satukan tepung, telur, margerin dan susu. Gaul rata kemudian campurkan air garam.
  3. Uli semua bahan sehingga menjadi doh (saya tidak sempat ambil gambar semasa doh diuli). Rehat selama 10 minit.
  4. Selepas rehat, uli lagi doh sehingga tidak melekat pada tangan. (anda boleh rehat sebentar, kemudian menguli lagi)
  5. Akhir sekali bentukkan doh menjadi bulat-bulat (lebih kurang 50-60gm) dan perapkan selama 3 jam (atau boleh juga anda menguli doh sebelum tidur dan perapkan semalaman). Cara memerap adalah dengan menyusun doh yang telah dibulat bulatkan di dalam mangkuk atau loyang, kemudian tuangkan minyak masak ke atasnya dan tutup bekas dengan kain, plastik atau penutup.
Cara mencanai roti canai:
  1. Mula-mula, ambil tudung periuk besar (atau dulang atau tempat yang sesuai untuk dijadikan alas.
  2. Tarikkan adunan roti sehingga menjadi lebar dan nipis.
  3. Bancuh telur dan tuang ke atas adunan roti.
  4. Lipat bahagian tepi roti. (4 lipatan)


  5. Setelah selesai, angkat roti dan letak ke dalam kuali yang telah dipanaskan dan dibubuh minyak.
  6. Jika anda hanya mahu roti canai kosong, boleh lakukan cara yang sama, tetapi tidak meletakkan telur.
Selamat mencuba....

Sunday, December 19, 2010

SAMBAL KACANG


Salam sejahtera semua. Sambal kacang yang saya nak kongsi di sini adalah resepi dari bibik Sutiyem. Bibik ni memang cekap memasak dan saya memang banyak belajar darinya. Masakannya nampak macam biasa-biasa sahaja, tetapi bila cuba, baru tahu....Sebab tu saya nak anda cuba resepi sambal kacang ni. Boleh jadikan kuah cicah pucuk ubi, ikan goreng, rojak ataupun ulam ulaman. Sambal kacang inipun boleh tahan lama jika disimpan di dalam peti sejuk. Saya telah cuba simpan selama sebulan di dalam peti sejuk, tetapi ia masih elok dan boleh dimakan. Cuma jangan dicampur air. Kalau hendak menceduk pun, gunakan sudu yang kering. Gambar yang anda lahat di atas adalah sambal kacang yang belum dicampur air didih.

Bahan-bahan:
  • 500gm kacang tanah
  • Satu labu bawang putih dihiris
  • 2 biji bawang besar dihiris
  • 4 batang lada hidup warna merah
  • Cekur - ambil setangkai cekur, biasanya mempunyai 3 - 4 helai daun beserta ubinya/ isi (jika tidak ada pun tak mengapa)
  • 2 helai daun limau purut
  • 1 ketul gula merah (lebih kurang 140gm)
  • 2 sudu teh garam (atau mengikut suka)
  • 1 sudu besar asam jawa
  • Minyak untuk menggoreng
Cara:
  1. Goreng kacang tanah (goreng dengan minyak). Kemudian kisar sehingga halus.
  2. Goreng pula bawang putih dan bawang besar yang telah dihiris. (seperti hendak membuat bawang goreng - goreng berasingan, setelah bawang putih kekuningan, keluarkan dari kuali dan goreng bawang besar pula sehingga kekuningan)
  3. Kemudian goreng lada hidup (lada dibasuh sahaja tanpa dihiris), sehingga agak kecut. Angkat dan ketepikan.
  4. Daun cekur bersama ubinya dan daun limau purut ditumbuk untuk melayukannya. Kemudian campurkan bersama lada hidup yang telah digoreng lalu dikisar menggunakan pengisar kering.
  5. Gula merah dihiris kasar kemudian ditumbuk sehingga hancur.
  6. Akhir sekali, campurkan kacang kisar, bawang goreng, adunan lada, gula merah hancur , garam dan asam jawa. Gaul sehingga semuanya bergaul rata. Anda boleh mengeluarkan biji asam jawa semasa proses menggaul.
Anda perlu mengambil sedikit sambal kacang ini dan campurkannya dengan air panas (air didih). Sukatan air bergantung kepada anda, sama ada mahukannya pekat atau cair. Anda boleh menyimpan sambal ini di dalam peti sejuk dan cuma perlu campurkan dengan air panas jika hendak menikmatinya. Selamat mencuba dan selamat menjamu selera....

Saturday, December 18, 2010

PUDING ROTI AGAR-AGAR


Ini resepi puding roti saya yang terakhir setakat ini.

Bahan-bahan:
  • 4 keping roti
  • 2 biji telur
  • 1/2 cawan susu pekat manis
  • 1 tin susu cair
  • 3 cawan air
  • 10 gm seruk agar-agar
  • 1/2 cawan gula pasir
  • 2 sudu besar mentega
  • 3 sudu besar milo
  • 1 sudu teh esen vanilla
Cara-cara:
  1. Kisar roti bersama telur, susu pekat dan susu cair. Ketepikan
  2. Di dalam periuk, masukkan air, serbuk agar-agar dan gula. Masak di atas api sederhana sehingga semua gula larut.
  3. Tuangkan pula bahan kisar ke dalam adunan agar-agar.
  4. Teruskan mengacau seingga adunan agak pekat. Masukkan mentega dan gaul rata. Tunggu sehingga mendidih. Tutup api.
  5. Asingkan kepada dua bahagian. Satu bahagian dicampurkan dengan milo.
  6. Tuangkan adunan plain ke dalam loyang, kemudian tuang pula adunan milo. Buatkan berbelang-belang supaya nampak seperti marble. Sejukkan.
Selamat mencuba...

PUDING ROTI


Salam sejahtera semua... Ini resepi puding roti yang ringkas dan sesuai untuk hidangan sarapan atau minum petang. Kalau anda gunakan resepi ini, puding roti yang dihasilkan lebih lembut berbanding puding roti caramel.

Bahan-bahan:
  • 4 keping roti disapu mentega dan dicarik-carik (terus disusun di dalam loyang 8 inci yang telah digris mentega)
  • 450ml susu segar dipanaskan sebentar (tidak sehingga mendidih)
  • 3 biji telur
  • 1/3 cawan gula kastor
  • 1 sudu besar tepung kastard
Cara:
  1. Pukul telur bersama gula hingga kembang. Kemudian tambahkan susu yang telah dipanaskan dan tepung kastard. Pukul sehingga semua bahan bergaul rata.
  2. Tuang adunan ke atas roti yang telah disusun di dalam loyang. Biarkan selama 10minit supaya roti kembang.
  3. Bakar pada suhu 180 darjah C selama 30 minit.
Selamat mencuba....

PUDING ROTI CARAMEL


Salam sejahtera semua. Kali ini saya ingin berkongsi resepi puding roti bersama anda. Saya telah mencuba beberapa resepi kerana kebetulan adik beradik saya berkumpul di rumah mak...jadi kalau masak apa pun pasti akan habis. Cuma saya tak dapat nak load gambar sebab terlupa bawa balik kabel kamera. Sebab itulah kalau anda ikuti blog resepi saya, ada beberapa entri terbaru yang tidak bergambar. Saya akan upload kemudian ye....
Kita mulakan dengan resepi puding roti caramel dulu...

Bahan-bahan:
  • 2 cawan susu cair @ susu segar
  • 1/4 cawan mentega
  • 1/3 cawan gula kastor
  • 3 biji telur
  • 2 sudu teh serbuk kayu manis (anda juga boleh menumbuk kayu manis hingga hancur)
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • 7 keping roti dipotong kiub
  • 1/2 cawan kismis
Cara:
  1. Masukkan susu dan mentega dalam periuk dan panaskan atas api sederhana sehingga mentega cair sepenuhnya. Tutup api dan ketepikan.
  2. Di dalam mangkuk pengadun, satukan gula, telur, serbuk kayu manis, dan esen vanilla. Pukul pada kelajuan sederhana selama seminit.
  3. Perlahan-lahan tuang adunan susu yang telah suam dan pukul sebentar sehingga adunan bergaul rata.
  4. Susun roti di dalam loyang 8 inci yang telah digris dengan mentega. Tuang adunan susu dan taburkan kismis di atasnya.
  5. Kemudian, bakar pada suhu 180 darjah C selama 45 minit. (saya tak tunggu hingga roti kembang dan bakar pada jangkamasa lebih lama- hasilnya, puding menjadi garing di bahagian atas. Anak lelaki saya suka jenis puding ini kerana dia lebih suka yang rangup berbanding lembik)
Bahan caramel:
  • 1 1/2 cawan susu cair
  • 2 sudu makan mentega
  • 1/3 cawan gula kastor
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • 1 sudu makan tepung gandum.
Cara:
  1. Satukan semua bahan di dalam periuk dan gaul rata.
  2. Kemudian panaskan hingga mendidih. Tutup api dan sejukkan sebelum dihidang bersama puding roti.
Selamat mencuba...

Friday, December 17, 2010

KEK MARBLE

Bahan-bahan:
  • 3/4 cawan tepung gandum
  • 1 sudu teh baking powder
  • 225gm mentega
  • 3 sudu makan susu pekat
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • 5 biji telur yang telah disejukkan dalam peti sejuk (asingkan putih dan kuning telur)
  • 3/4 cawan gula
  • 1 sudu makan ovalette
  • 2 sudu makan perisa oren (saya gunakan jus sunquick)
  • 2 sudu makan serbuk koko
Cara:
  1. Ayak tepung bersama baking powder. Ketepikan.
  2. Dalam mangkuk pengadun pukul mentega, susu dan esen vanilla sehingga kembang.
  3. Dalam bekas yang lain, pukul putih telur hingga ringan, kemudian masukkan gula sedikit demi sedikit ingga habis. Pukul adunan hingga rata.
  4. Tambah pula kuning telur sebiji demi sebiji dan pukul rata.
  5. Campurkan ovalette dan adunan mentega dalam adunan telur. Pukul lagi sehingga adunan bergaul rata.
  6. Akhir sekali masukkan tepung sedkit demi sedikit dan gaul satu arah.
  7. Bahagikan kepada 2 bahagian- 1 bahagian dibiarkan plain. 1 adunan lagi dibahagikan sama banyak kepada 2 bahagian. 1 bahagian dicampurkan sunquick oren dan digaul rata. 1 bahagian lagi dicampurkan serbuk koko dan digaul rata.
  8. Griskan loyang 8 inci dan taburkan sedikit tepung. Mula-mula sudukan adunan plain ke dalam loyang, kemudian adunan oren dan terakhir adunan koko. Lakukan berulang kali sehingga habis.
Selamat mencuba dan selamat menjamu selera...

KEK COKLAT PISANG




Bahan-bahan:
  • 1/2 cawan mentega
  • 1 1/4 cawan gula perang
  • 2 biji telur
  • 1/2 cawan serbuk koko
  • 2 cawan tepung serbaguna
  • 1/2 sudu teh baking soda
  • 1/4 sudu teh garam
  • 1 sudu teh baking powder
  • 1 1/2 cawan pisang lenyek (pisang masak)
  • 1/2 sudu teh esen vanilla
  • 3/4 cawan air
Cara:
  1. Ayak tepung, baking soda, baking powder, garam dan koko bersama. Ketepikan.
  2. Di dalam mangkuk lain, lenyek pisang dan tambahkan esen vanilla. Ketepikan.
  3. Di dalam mangkuk pengadun,adun mentega bersama gula sehingga ringan dan gebu.
  4. Masukkan telur satu persatu.(pukul sehingga adunan rata setiap kali memasukkan telur)
  5. Kemudian, tambahkan pisang lenyek dan adunan kering secara berselang seli. Gaul sekadar untuk meratakan bahan. Jangan telebih pukul.
  6. Tuang adunan ke dalam loyang 8 inci yang telah digris dan dialas kertas.
  7. Bakar pada suhu 180 darjah C selama 50 minit atau sehingga masak. Cucuk dengan cake tester untuk memastikan kek telah masak.
Selamat mencuba...

Thursday, December 16, 2010

KEK CIP COKLAT OAT

Bahan-bahan:
  • 1 3/4 cawan air didih
  • 1 cawan oat
  • 1 cawan gula perang
  • 1 cawan gula kastor (putih)
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1/2 cawan mentega
  • 2biji telur
  • 1 3/4 cawan tepung serbaguna
  • 1 sudu teh baking soda
  • 1 sudu besar serbuk koko
  • 300gm cip coklat
Cara:
  • Campurkan oat ke dalam air didih, gaul rata dan ketepikan.
  • Ayak bersama tepung, baking soda dan koko. Ketepikan.
  • Di dalam mangkuk pengadun, pukul gulaperang, gula kastor , garam dan mentega sehingga gebu.
  • Kemudian, masukkan telur sebiji demi sebiji. Pukul sehingga bahan bergaul rata setiap kali memasukkan telur.
  • Masukkan adunan tepung dan oat secara berselang seli sehingga semuanya habis. Pukul sehingga semua bahan bergaul rata. Akhir sekali masukkan cip coklat dan kaup balikkan adunan menggunakan senduk.
  • Griskan loyang berukuran 8 inci dengan mentega dan alas dengan kertas. Tuang adunan dan bakar pada suhu 180 darjah C selama 60 minit. Periksa kek dengan cake tester untuk memastikan kek sudah masak.
Selamat mencuba....

AMERICAN CHOCOLATE CAKE

Bahan-bahan:
  • 250gm mentega
  • 300gm gula kastor
  • 4 biji telur
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • 50gm serbuk koko dilarutkan di dalam 150ml air suam
  • 250gm tepung gandum
  • 1 sudu teh baking powder
  • 1/2 sudu teh soda bikarbonat
  • 1 sudu teh garam
Cara:
  1. Ayak tepung bersama baking powder, soda bikarbonat dan garam. Ketepikan.
  2. Di dalam mangkuk adunan, adun mentega bersama gula kastor sehingga gebu.
  3. Kemudian masukkan telur satu demi satu dan esen vanilla. Pukul selamat 30 saat pada kelajuan sederhana.
  4. Akhir sekali, masukkan larutan koko dan adunan tepung secara berselang seli. Pukul sekadar untuk meratakan adunan sahaja. Janga terlebih pukul.
  5. Tuang di dalam loyang bulat 9 inci yang telah digris dengan mentega. Bakar pada suhu 180 darjah C selama 60 minit. Cucuk dengan cake tester untuk memastikan kek telah masak.
Bahan frosting:
  • 1 cawan gula kastor
  • 1/4 cawan serbuk koko
  • 1/4 cawan mentega
  • 1/4 cawan susu cair
  • 1 sudu teh vanilla
Cara membuat frosting:
  1. Campurkan semua bahan dan gaul rata.
  2. Masak di atas api selama 1 minit, kemudian biarkan sejuk.
  3. Setelah sejuk, pukul dengan mesin pengadun selama 3 minit.
  4. Setelah kek sejuk, potong kek kepada 2 bahagian. Guna pisau yang panjang.
  5. Lapiskan kek dengan frosting coklat, dan tuang selebihnya di atas kek.

Tuesday, December 14, 2010

IKLAN IKLAN - TUDUNG JARI JEMARIKU BOUTIQUE

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog ini. Entry saya pada kali ini mungkin terdapat sedikit perbezaan dengan entry-entry saya yang sebelum ini iaitu ianya berkenaan dengan rekaan-rekaan tudung terkini yang menarik. Ianya boleh didapati dalam pelbagai saiz dan sesuai untuk kanak-kanak, remaja, dewasa mahupun golongan yang sudah berusia. Untuk maklumat lanjut anda bolehlah klik disini.

Seterusnya mari kita lihat antara rekaan-rekaan tudung yang boleh didapati di Jari Jemariku Boutique ini.





















Baiklah, rasanya itu saja entry saya pada kali ini. Jika ada yang berminat bolehlah klik pada link seperti yang saya nyatakan diatas atau anda boleh saja klik disini. Sekian wassalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...